Bertudung dan Ungkapan Hina Hukum?
Monday, July 13, 2009Ia adalah satu perkara yang amat menyedihkan, ia sebenarnya hasil dari sikap sebahagian umat Islam hari ini mengambil ringan tentang hukum Islam.
Berkenaan larangan melihat kali kedua kepada aurat ini diriwayat dalam beberapa buah hadith, antaranya hadith : “Dari Jarir bin Abdullah, ia berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a. w. tentang melihat (aurat wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka jawab Nabi: Palingkanlah pandanganmu itu!” (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi) – Iaitu, Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua kalinya.
Demikian juga kata Baginda SAW kepada Ali KW :
Ertinya : “Jangan kamu ikuti satu pandangan dengan pandangan yang lain, kerana yang pertama bagimu ( diampunkan) dan tidak bagi yang kedua” ( Riwayat Ahmad, Abu Daud)
Artis & Lawak Hukum
Lebih teruk lagi terdapat artis Malaysia yang sanggup menggunakan lafaz-lafaz Islam seperti ‘MashaAllah’ dan ‘InshaAllah’ serta ‘Allahu Akbar’ dalam lakonan lawak mereka sambil sengaja disebut dalam bentuk yang melucukan. Ini amat jelas memperlawakkan lafaz mulia Islam, ia amat kerap dilakukan oleh satu kumpulan pelawak
Demikian juga dengan ucapan alhamdulillah bagi seorang artis yang berpakaian separuh bogel dikhalayak umum apabila berjaya meraih sesuatu anugerah di media. Atas nama seni dirasakan tindakannya halal. Pada hakikatnya jika lakonannya itu penuh dengan adegan ‘peluk
Ketika itu, kemenangan mereka di atas pentas dan melafazkan ucapan sedemikian adalah satu bentuk mempermainkan hukum dan lafaz Islam di tempat yang tidak sewajarnya. Seolah-olah seorang yang ingin merompak membaca ‘Bismilah’ ketika memulakan rompakannya dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’ apabila berjaya terlepas dari kejaran polis, atau menyebut ‘Alhamdulillah’ di dalam tandas, atau seperti seorang peminum arak mengucapkan “alhamdulillah” apabila menyelesaikan minumannya.
Menurut kaedahnya, semua ini menambahkan lagi dosa si pelaku terbabit disebabkan wujud unsur penghinaan samada secara langsung atau tidak langsung kepada hukum serta lafaz mulia Islam. Walaupun mereka tidak langsung berniat untuk menghina lafaz mulia itu.
Apabila ia adalah sebuah hukum atau ucapan zikrullah, maka adalah tidak harus sama sekali sesiapa juga mempermainkan atau menyebutnya di tempat yang tidak sewajarnya. Nabi SAW bersabda :-
Ertinya : ” Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka sejauh antara timur dan barat” ( Riwayat Al-Bukhari dengan Fathul Bari, Bab Hifdz Lisan, 11/376 , no 6477)
Imam Ibn Hajar Al-Asqolani menegaskan bahawa erti hadith ini adalah seorang yang bercakap tanpa jelas maksud ayatnya sehingga menjadikan ia boleh membawa maksud yang pelbagai sehingga sebahagiannya boleh mencarikkan sesuatu hukum. (Fath Al-Bari, 11/376)
Hina Islam, Bertudung & Bermaksiat Lebih Besar Dosa
“Amat memalukan la ustaz, saya baru jumpa satu video yang tunjukkan pasangan melayu ditangkap di tasik-tasik dan tempat awam tengah bercumbuan, apa pandangan ustaz, hampir 95 % darinya bertudung jenis tak sempurna tu ustaz, ustaz tau tak?” tanya seorang pendengar kuliah saya sejurus selepas kuliah saya berkenaan aurat.
Kemudian selang beberapa hari, pemuda ini menghantar email kepada saya beserta satu petikan video yang dimaksudkan. La Hawla Wala Quwwata Illa Billah..wa Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun..memang amat mendukacitakan.
Pemuda itu juga menulis seperti ‘kepeningan’ dan ‘kebingungan’ dengan persekitaran ini dengan katanya
“Boleh tak agaknya saya buat kesimpulan bahawa hampir semua wanita yang bertudung pendek atau fesyen, dengan kain belah atau baju sempit atau baju kurung biasa, semua ni jenis yang ‘murah’ dan boleh diajak seks bebas dengan mudah hari ni, apa pandangan ustaz?” Mengurut dada saya mendengar kesimpulan pemuda berpakaian kemas dan bekerjaya profesional ini. Sudah tentu amat marah para wanita dengan kesimpulan si pemuda ini.
“Saya hanya masih percaya dengan wanita yang berjubah dan bertudung labuh sahaja sekarang ini ustaz, harapnya mereka dapat pertahan maruah dan kesucian mereka serta tak jadi macam si pemakai tudung pendek yang terbukti tiada banyak beza dengan free hair” katanya lagi dengan tegas.
Selepas pemuda ini mengutarakan pendiriannya barulah saya memberikan penjelasan panjang lebar. Bagaimanapun saya belum berhasrat menyebutnya di ruangan ini, cukuplah saya dedahkan betapa kecewanya pemuda profesional ini dengan apa yang berlaku di hadapan matanya.
Kesimpulannya, wahai wanita bertudung kembalikan maruah anda dengan tutupan aurat yang sebenarnya, akhlak wanita Islam yang sebenarnya, janganlah merosakkan imej Islam itu dengan maksiat yang amat dimurkai Allah SWT. Sesungguhnya kenikmatan duniawi amat amat sementara, carilah kenikmatan akhirat yang kekal abadi.
Dari sudut hukum pula, hal wanita bertudung yang melakukan maksiat, dosanya sudah tentu lebih hebat dari wanita yang tidak bertudung yang melakukan maksiat. Hal ini boleh difahami dari ayat seperti :-
Ertinya : Wahai isteri-isteri Nabi, barangsiapa di antaramu yang melakukan maksiat dengan jelas, maka di gandakan azab buatmu dua kali ganda” ( Al-Ahzab : 59 )
Memang benar ayat ini ditujukan khas buat isteri-isteri Nabi SAW disebabkan kemulian dan kedudukan mereka yang sangat mulia, bagaimanapun ayat ini sebenarnya menggariskan bahawa setiap kali bergandanya kemuliaan, maka bergandalah dosanya (jika melakukan maksiat), demikian hukuman ke atas wanita bebas lebih berat dari wanita hamba sahaya di zaman silam. Dikatakan sebabnya adalah kerana bertambahnya mudarat dan penghinaan kepada Nabi SAW (Al-Jami’ Li Ahkam AL-Quran ; AL-Qurtubi, 14/ 114 dengan sedikit pindaan )
Demikian jualah bagi wanita bertudung yang telah menaik tarafkan kedudukannya dengan kemuliaan Islam, tetapi kemudiannya melakukan maksiat. Maka jika bersandarkan kaedah di atas, jelaslah dosa mereka bertambah besar kerana maksiat itu sendiri dan merosakkan imej Islam secara jelas. Bertaubatlah. Demikian juga halnya maksiat (termasuk pelaburan internet yang disepakati haram secara sepakat ulama dunia dan Malaysia) yang dilakukan oleh seorang ustaz yang jauh lebih besar dosanya dari dosa oleh lelaki biasa di sebabkan imej dan kedudukan yang dibawanya.
Sekian,
Rujuk: http://www.zaharuddin.net/
Minggu Pertama : Menguji Daya Tahan
Friday, July 10, 2009
Cabaran sebagai pelajar peringkat Sarjana sedikit sebanyak dapat dirasai bahangnya. Minggu pertama mengajar saya erti kepentingan persiapan mental sebelum menghadiri sesuatu kelas. Apa yang dimaksudkan pesiapan mental di sini ialah persiapan intelektual, pemikiran, asas yang kukuh dalam topik yang akan dibincangkan oleh pensyarah sebelum kuliah bermula.
Jika tidak, kita akan berasa sangat kerdil bersama-sama dengan pelajar lain yang rata-ratanya mempunyai ilmu yang tinggi berdasarkan latar belakang akademik, profesion serta pengalaman mereka. Mulut akan terkunci rapat, nak berkata sesuatu pun berfikir banyak kali, takut apa yang diperkatakan nanti merendahkan nilai pandangan orang lain terhadap diri. Maklumlah, rakan sekelas ada yang bergelar Ketua Penolong Mufti, Pensyarah, Peguam, Konsultan, Ketua Jabatan, Pegawai Tinggi, Ustaz dan sebagainya yang membuatkan diri berasa 'gerun!'
Namun, inilah cabaran yang harus ditempuhi. Kebanyakan pelajar lain adalah lulusan Timur Tengah termasuk Mesir, Jordan, Syiria disamping pelajar-pelajar Indonesia dan Singapura. Temtu sahaja pengetahuan di dalam bidang agama lebih-lebih lagi bahasa Arab sangat tinggi. Saya dan beberapa rakan-rakan UM lain pada awalnya berasa agak 'rendah diri', namun selepas melihat idea dan hujah yang diguna pakai oleh pelajar-pelajar lain di dalam membicarakan sesuatu isu, kami mulai yakin bahawasanya pengajian peringkat Sarjana Muda di Universiti Malaya yang kami lalui dulu ada kelebihannya tersendiri.
Berlalulah sudah seminggu tempoh pengenalan kursus. Minggu-minggu mendatang pasti lebih mencabar. Doakan semoga diri terus diberikan kesabaran, kekuatan dan petunjuk di dalam perjalanan menuntut ilmu Allah ini.
Bidadari...
Sunday, July 05, 2009Kalau orang bertanya saya tentang “Bidadari” idaman hati untuk berkongsi hidup ini….....
Kau hadir dengan pelita hati
Sungguhmu melangkah kesopanan
Tiada bicara dapat dilafazkan
Pulangku kau sambut dengan senyuman
Pemergianku didoakan kemuliaan
Kau sulam kasih sayang ini dengan kemesraan
Walau kesederhanaan yang mampu ku hulurkan
Kau tadah penuh keredhaan
Limpah syukurmu,ku susun rapi
Sunguh dirimu dapat ku hargai
Sebagai bidadari
Kau permaisuri hati
Kau permata suci
Akan ku tatahkan hatiku dengan sinar iman
Akan ku hiasi jiwamu dengan kewajiban
Tanda mensyukuri anugerah Tuhan
Serta anak yang menjadi penawar
Dirimu anugerah Tuhan
Amanah buat insan beriman
Rusuk kiriku dicantumkan
Pendaftaran Selesai..
Friday, July 03, 2009
Alhamdulillah proses pendaftaran untuk pengajian Master berjalan lancar siang tadi. Saya kini sah bergelar pelajar Sarjana Syariah, UM. Suasana hari pendaftaran juah berbeza dengan pendaftaran dgree dulu. Rata-rata pelajar baru yang mendaftar nampak sudah berumur dan mungkin ramai yang sudah berkahwin...
Berita agak baik diterima ialah permohonan untuk mendapat pembiayaan di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Kedua telah berjaya. Ini bermakna yuran pendaftaran pagi tadi akan dipulangkan kembali kepada saya. *kepada Abah, sabar-sabarlah ye..nanti dah dapat baru im pulangkan..jangan dok sms hari-hari tanya bila akan dapat...hehe
Sekarang saya cuba menyiapkan proposal disertasi master secepat mungkin untuk memohon biasiswa yang ditawarakan oleh pihak Pascasiswazah, UM. Biasiswa yang agak lumayan itu semestinya menjadi idaman saya untuk membiayai kehidupan seharian di kota metropolitan serba mencabar ini...doakanlah saya berjaya...
*Hari pertama di KL selepas cuti panjang di kampung..terasa kelainan...rindu mak abah...rindu Midon..Nazar...Pak Talib...durian.....
Wajahnya Muslim, Juadahnya Belum Tahu
Tuesday, June 30, 2009
"Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudaratannya kembali kepada dirinya sendiri; dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali, dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang kamu perselisihkan" ( Al-An'am : 164 )
Imam Al-Qurtubi menjelaskan, ketiadaan kaitan ini hanya dari sudut dosa di akhirat, mankala di dunia, orang yang tidak melakukan dosa masih terdedah kepada azab yang dikenakan ke atas pelaku dosa. Ia berdalilkan kepada ayat dari Surah Al-Anfaal : 25 iaitu:
"Dan peliharalah dirimu daripada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di kalanganmu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya"
TERIMA HADIAH DAN TANGGUNGJAWAB
"ustaz, saya ada terima hadiah aiskrim dari seorang rakan, tapi sebab saya baru sampai UK, dan tak tahu apa jenama dan kandungan yang halal, saya hanya bergantung kepada dia, boleh tak ustaz?" soal seorang pelajar di United Kingdom
"Ye la, tak kanlah dia nak bagi saya aiskrim ada babi pulak kan" tambahnya lagi sebelum sempat saya memberikan buah fikiran.
"Jika demikian, enta boleh makan aiskrim itu" jawab saya ringkas.
"Tak perlu baca ingredients ke ustaz?"
"Dah tadi anta kata, tak tahu apa yang halal, begini, kalau reti, bacalah dan buat penilaian ikut ilmu serta keyakinan sendiri, jika tiada mampu bergantung sahaja kepada penilaian rakan yang beri tu"
"Perlu tidak saya tanya dia direct,contohnya saya tanya "ni halal ke"?" katanya meminta penjelasan lanjut.
"Dua-dua boleh, nak tanya boleh, tidak tanya pun boleh juga, yang mesti adalah baca bismillah sebelum makan" saya menerangkan, cadangan itu berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w menerima daging dari seorang yang tidak dapat dipastikan sama ada ia disembelih atau tidak, maka diajar oleh Nabi untuk membaca basmalah.
"Kalau rasa kawan tu betul-betul rapat, sudut budaya dan adab pun ok, boleh ajukan pertanyaan, tapi kalau rasa ia sampai boleh menggugat hubungan persaudaraan, senyap saja dan balik semak sendiri dan buat keputusan, saya sendiri pernah simpan hadiah sekotak aiskrim yang orang bagi, akhirnya kami buang kerana tidak yakin, walaupun yang memberi tu rakan Islam juga" tambah saya lagi
MEMANG KERAP
Memang benar, bukan sesekali malah dalam banyak keadaan, kita tidak mampu untuk sentiasa meneliti dan menyemak segala-galanya, khususnya di dalam hal makanan.
Ketika kita memesan makanan di sebuah restoran milik orang Islam, adakah kita pasti ayam, daging lembu yang digunakan untuk menyiapkan hidangan adalah halal?.
Adakah kita dituntut untuk menyelidiki dan bertanya setiap masa, setiap kali? Bagaimana pula jika semasa memilih makanan di bazaar Ramadhan. Adakah semuanya halal ? atau adakah mencukupi hanya bergantung kepada bangsa atau agama penjual? Jika Islam, adakah secara automatic makanannya juga halal ? Bagaimana pula jika penjual itu berbangsa Melayu, adakah secara automatik dia juga Islam dan makanannya halal ? Begitukah sifirnya?
Jawapan yang ideal namun kurang praktikal adalah :
Semua tidak halal kecuali setelah yakin melalui kajian, semua bahan yang digunakan adalah halal.
Memberi jawapan sedemikian memang mudah, namun pelaksanaannya kurang dimampui. Islam tidak diturunkan untuk menyusahkan, namun begitu sebahagian hukum Islam ada yang dirasai sukar, bertujuan menguji sejauh mana keimanan umat Islam terhadap larangan dan suruhan Allah swt.
Pun begitu, semua arahan dan larangan yang dituntut oleh Islam, masih berada di dalam ruang lingkup kemampuan manusia biasa. Tiada arahan yang tidak dimampui oleh tenaga manusia, sebagai contoh wajib sebulan sekali solat di angkasa, puasa mestilah 48 jam berturut-turut tanpa makan dan minum.
Tiada di dalam Islam tuntutan sedemikian. Firman Allah swt : -
"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya."
( Al-Baqarah : 286 )
Atas alasan ini, jawapan kepada pelbagai persoalan di atas adalah :-
Semua penjual Islam WAJIB bertanggungjawab menjual barang yang halal sahaja. Oleh itu,
- Jika dijual ayam : Wajib dipastikan diambil ayam tersebut dari pembekal yang diyakini melaksanakan proses sembelihan yang sempurna.
- Jika buka restoran : wajib dipastikan ayam, daging dan lain-lain bahan mentah yang dibeli adalah halal, dari pembekal yang halal.
- Jika buka gerai : wajib bertanggungjawab di hadapan Allah swt akan semua hidangan atau juadah yang dijual. Semuanya menggunakan bahan yang halal dan diadun tanpa sebarang kandungan haram seperti arak dan sepertinya.
- Jika beri hadiah : Wajib bertanggungjawab bahawa hadiah makanan yang diberi, adalah makanan yang halal, telah dipastikan melalui ilmu, ia tidak mengandungi kandungan haram.
- Jika buat kenduri, rumah terbuka, jamuan : Wajib bertanggungjawab memastikan semua juadah adalah dari bahan halal, jika caterer yang menyediakan, wajib tuan rumah memastikan caterer bertanggungjawab ke atas perkara tersebut.
Semua pemberi hadiah, penjual makanan dan minuman, penjemput ke majlis dan pembekal memastikan bahan yang mereka sedia dan beri adalah HALAL. Tanggungjawab HALAL tergantung di atas bahu mereka, tiada cop halal JAKIM bagi sepinggan mee mamak, semangkuk mee bandung dan tom yom, secucuk satay dan ayam percik. HALALnya bergantung kepada si penjual dan mereka yang menghidang (jika kenduri).
Saya fikir amat PENTING untuk diingatkan para penjual, pemberi, penjemput, penjamu dan sebagainya berkenaan tanggungjawab mereka ini. Kerana umat Islam sememangnya tidak mampu untuk bertanya dan menyelidiki setiap satu hal di atas.
Saya sebenarnya merasa sedikit bimbang, apabila umat Islam pada ketikanya kelihatan bergantung sepenuhnya kepada bangsa. Jika restoran dilihat dilayan oleh Melayu, tanpa ragu dan bimbang lagi, diyakini semua hidangannya adalah halal. Sebenarnya, ramai Melayu dan Mamak yang bukan lagi Islam, ramai juga peniaga Melayu dan Mamak yang tersangat ambil mudah bab halal, sehingga ada kemungkinan mereka ingin menjimatkan kos dengan membeli ayam bangkai (tidak sembelih yang lebih murah) untuk restorannya, untuk kedai ayam perciknya, untuk jualan di kedai sataynya dan sebagainya.
Maka tulisan ini ingin mengingatkan mereka bahawa TANGGUNGJAWAB di hadapan Allah swt kelak adalah di bahu mereka semata-mata.
Saya masih ingat, beberapa orang ahli Majlis Penasihat Syariah berbangsa Arab di sebuah bank Islam, ketika menghadiri mesyuarat Syariah di Malaysia, mereka menyangka semua makanan di Malaysia adalah halal, disebabkan Malaysia terkenal sebagai sebuah Negara umat Islam. Sehingga mereka tidak sedar, begitu banyak kedai Cina bukan Islam yang menghidangkan makanan haram. Disebabkan tidak tahunya itu, mereka kenyang di kedai Cina. Entah halal atau tidak ...tidalah diketahui.
PROGRAM ISLAM DI HOTEL, MAKANANNYA?
Satu lagi trend masakini adalah menganjurkan program di hotel-hotel besar lima bintang. Syarikat swasta dan tidak terkecuali sektor awam kerajaan kerap menganjutkan program besar di hotel sebegini. Bayangkan satu persidangan ulama Fiqh sedunia dibuat di hotel lima bintang di Putrajaya. Yang hadir adalah kumpulan ulama terhebat di seluruh dunia, apabila tiba waktu makan, mereka semua makan tanpa banyak soal. Semua bersangka baik ia adalah halal, sedangkan berapa banyakkah hotel lima bintang di Malaysia yang mendapat sijil iktiraf makan dan dapurnya bersih serta halal?!
Saya tidak mendakwa ia haram, Cuma ingin menarik perhatian semua bahawa TANGUNGJAWAB memastikan halal adalah penganjur. Mereka menanggungnya di dunia dan akhirat.
PERSIDANGAN KEWANGAN ISLAM DI LONDON PROMOSI ARAK?
Baru-baru ini satu persidangan besar 8th Annual Islamic Finance Summit, dianjurkan di
Memang ada hujah, kononnya kerana ramai juga peserta yang bukan Islam. Namun ia hujah yang karut lagi salah.
Ada pula yang berkata, "Dah penganjurnya pun bukan syarikat milik Islam, ia hanya sebuah syarikat latihan yang popular dunia, dan diketahui ia bukan milik umat Islam"
Ye, saya faham, ia memang bukan milik Islam, tetapi amat buta syarikat ini sehingga di dalam sebuah konferen kewangan Islam sedunia, di samping pemakluman bertulis tempat solat, borang itu ini, tempat makan dan lain-lain, dengan tidak pekanya mereka memasukkan sekali maklumat berkaitan bar serta restauran jualan arak.
PERSIDANGAN LAIN?
Demikian, sebegitu banyak persidangan berkaitan Kewangan dan Perbankan Islam dianjurkan. Memang sudah menjadi lumrah, ilmu perbankan dan kewangan Islam adalah satu jenis ilmu yang eksklusif sehinggakan persidangan mereka juga amat mahal yurannya dan bertempat di hotel lima bintang.
Sekali lagi diingatkan, penganjur bertanggungjawab memastikan makanan pagi, tengahari dan petang di persidangan itu adalah halal. Para peserta TIDAK AKAN MAMPU BERTANYA, malah sebahagian memang tidak MAHU BERTANYA kerana dijangka akan lebih menyusahkan mereka.
Kita sepatutnya bimbang, akan wujudnya persidangan dan seminar berkaitan hal ehwal dan ilmu Islam, tetapi makanan yang dihidang adalah ayam tidak sembelih, daging bangkai lembu, manisan berperisa arak dan sebagainya. Justeru itu, penganjur perlu lebih peka dan membuat demand serta meletak syarat kepada pihak hotel untuk memastikan semua bahan untuk persiapan makanan adalah HALAL.
Jika tidak, mereka akan bertanggung jawab atas segala dosa makanan haram yang disuap oleh peserta, seluruhnya..
"Eh..bukankah kita tak tanggung dosa orang lain?" soal seorang rakan setelah mendengar penjelasan saya di atas.
"benar, itu jika tiada kaitan, namun mengabaikan tanggungjawab, punyai kaitan, sama seperti seorang bapa mengabaikan nafqah isteri dan pelajaran agama anaknya, bukankah dia berdosa, malah menanggung dosa atas segala sikap buruk dan kejahilan anaknya?" Jelas saya.
Itulah yang disebutkan oleh nabi s.a.w :
Ertinya : "Setiap kamu adalah penjaga dan bertanggungjawab atas perkara yang di bawah jagaan dan tanggungjawabnya" ( Riwayat Al-Bukhari)
Sampaikan ingatan ini kepada seramai mungkin peniaga dan penjual. Ingatkan kepada pemberi hadiah, penjemput kenduri, pengusaha kantin dan caterer bahawa mereka mempunyai TANGGUNGJWAB yang besar. Bukan sekadar kira-kira untung rugi di buku log akaun mereka sahaja yang mesti diambil kira, tetapi KIRA-KIRA DOSA di akhirat lebih wajar dan lebih penting untuk difikirkan.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
30 Jun 2009
Selamat Datang 'Galatico'!
Tuesday, June 30, 2009‘Galaticos’ merupakan istilah yang digunakan untuk menggambarkan kehebatan pemain-pemain bola sepak hebat di dalam kelab bola sepak Real Madrid. ‘Galaticos’ bermaksud orang dari planet asing merupakan satu sanjungan peminat tehadap reputasi pemain-pemain bertaraf ‘bintang’ pada beberapa musim yang lepas apabila pasukan ini dibarisi oleh pemain-pemain handalan dunia seperti Zinadene Zidane, Luis Figo, Ronaldo, David Beckham, Raul, Roberto Carlos dan sebagainya.
Setelah projek pertama tersebut ‘gagal’, kini sekali lagi Real Madrid dikatakan cuba mencipta pasukan ‘galaticos’ yang kedua apabila sudah mengesahkan (setakat ini) 2 orang pemain terbaik di muka bumi iaitu Kaka dari Brazil dan Cristiano Ronaldo dari Portugal. Kontrak yang bernilai ratuan juta Euro melibatkan dua orang pemain itu merupakan sejarah baru bagi dunia bola sepak.
Semalam Kaka sudah diperkenalkan dihadapan lebih 30 ribu peminat yang hadir menyambut beliau di stadium kebanggaan, Santiagao Bernabeu. Saya yang mengikuti acara tersebut secara langsung di laman web rasmi kelab turut terasa teruja dan tidak sabar untuk menuggu hasil gandingan Kaka dan Ronaldo.
Setiap anak muda yang meminati dunia bola sepak Eropah pasti ada sebuah pasukan yang diminati. Biar apapun cakap-cakap orang tentang ’galaticos’ Real Madrid, reputasi selaku 9 kali juara Eropah patut diimbas untuk menggambarkan pasukan Real Madrid adalah pasukan bola sepak paling cemerlang dalam dunia kelab-kelab bola sepak Eropah untuk wajar digeruni. Selamat datang wahai Kaka, ahlan wasahlan ya Ronaldo!!..;-) ;-p
*Kaka pakai no.8 yang dulunya digunakan oleh Fernando Gago, tak pasti nape xjadi pakai no.5 yang menjadi kebangaan Zidane.
*tulisan ini saja nak bagi penyokong kelab lain panas..hehe
Debar Menunggu Semester Baru Pengajian
Sunday, June 28, 2009
Persiapan teknikal giat diusahakan sekarang. Esok saya akan selesaikan yuran pendaftaran serta medical check up. Alhamdulillah untuk pengajian semester baru nanti saya banyak menerima sponsor pakaian. Kesempatan ini bak jugakla ucapkan ribuan terima kasih kepada hamba Allah yang sangat baik hati itu... :) Selain persiapan teknikal, persiapan mental juga saya usahakan dengan mengulang kaji sedikit sebanyak pelajaran-pelajaran peringkat yang lepas serta berusaha memantapkan pengusaan bahasa.
Kelas silat, junior jabatan, budak rumah baru, disertasi, yuran, biasiswa, assigment, presentation, english, arab, bla bla bla...................................semuanya mendebarkan.........sekadar luahan...
Protes Rosmah di UM: 2 ditangkap, 3 masih dijejaki bantu siasatan
Saturday, June 27, 2009
Kuala Lumpur 26 Jun 05:45 p.m│Media hari ini menerima pemkembangan terkini berkenaan isu protes tulisan ‘Altantuya, C4, puaka, pembunuh’ yang ditujukan kepada Wanita Pertama Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor di Universiti Malaya tempoh hari. Menurut sumber polis, setakat ini seramai 2 orang individu telah ditahan manakala 3 lagi masih dicari bagi membantu siasatan.
“2 individu yang ditahan tersebut ialah Mohd Izzudin Hilmi dan Mohd Sharuddin, masing-masing berusia 21 tahun,”ujar pegawai polis yang tidak mahu namanya disiarkan.
Mohd Izzzudin Hilmi telah ditahan polis pada pagi Rabu lalu oleh pihak polis cawangan Brickfield berikutan dilihat berlegar-legar di sekitar akademi tersebut pada awal pagi hari kejadian. Kemudian, Mohd Sharuddin pula ditahan di kediamannya di Lembah Pantai. Kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan tersebut.
Media walaubagaimana pun gagal mendapatkan penjelasan mengenai individu yang masih lagi dicari polis.
Dalam pada itu, media cuba menghubungi Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Profesor Dr. Ahmad Hidayat Buang dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar universiti tersebut, Datuk Prof. Madya Dr. Azarae Hj. Idris bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan isu yang membabitkan imej universiti terhadap tokoh tersebut, namun menemui kegagalan.
Setakat ini siasatan masih lagi diteruskan.
Terdahulu, Universiti Malaya gempar apabila tulisan tanda protes terhadap tokoh tersebut ditulis di Akademi Pengajian Islam. Rosmah Mansor yang datang bagi merasmikan Majlis Peramian ‘Gaza Di Bela’ anjuran badan antarabangsa, Power of 10 Sen walaubagaimanapun dipercayai tidak menyedari kejadian tersebut.
Wanita Pertama Malaysia tersebut sebelum ini telah digembar-gemburkan di internet melalui laman video YouTube menggunakan perkhidmatan bomoh dan pawang bagi menguasai kabinet kerajaan Malaysia, dan tingkah-laku suami beliau Dato’ Seri Najib Tun Razak khasnya.-um-today













