::cik im::
http://aliimranzone.blogspot.com

Terkejut Beruk!

Thursday, May 28, 2009
Kita rakyat biasa terkejut bila Perdana Menteri tersayang, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan rasa terkejut dengan tahap kezaliman dan tindakan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan oleh ceti haram atau ah long terhadap mangsa mereka yang gagal melunaskan hutang


Mana tidak terkejutnya. Kita yang betul-betul rakyat ini sudah lama terkejut dengan pembunuhan terhadap kanak-kanak. Ingat arwah Nurin Jazlin? Kita sudah lama terkejut dengan kes-kes ragut dan pecah rumah. Kita terkejut dengan kekejaman pembunuhan model Mongolia. Pendek kata hari-hari kita terkejut. Bangun pagi tidur malam asyik terkejut.

Itu baru hal jenayah saja kita terkejut. Hal-hal dasar pun banyak yang kita terkejut. Kiranya rakyat Malaysia adalah rakyat yang paling selalu terkejut. Harga ayam naik kita terkejut, harga minyak naik kita terkejut, harga tol naik kita terkejut. Macam-macamlah kejutan.

Jadi, bila kita dapat tahu pemimpin rakyat kita terkejut, kita pun terkejut dan tepuk dahi: Laaaa baru nak terkejut!






Read On 4 comments

The Dream's Final!

Wednesday, May 27, 2009

Jangan lupa saksikan "The Dream's Final" sepanjang zaman di antara Manchester United menentang Barcelona live daripada Stadium Olimpico, Rome, Itali jam 2.30 pagi nanti. Perlawanan dijangka klasik itu menjadi medan pertarungan 2 pemain terhebat dunia ketika ini, Christiano Ronaldo dan Lionel Messi disamping nama-nama besar lain dunia bola sepak moden. Selain itu, beberapa prospek lain turut menjadikan perlawanan tersebut sangat ditunggu-tunggu di seluruh dunia, antaranya kecerdikan taktikal 2 pengurus, variasi jentera serangan dan pertahanan paling ampuh di dunia ketika ini, harga pasaran pemain menjelang musim baru, dendam kesumat, penciptaan sejarah baru UCL dan sebagainya turut menjadikan perlawanan dijangka dramatik. Apapun teman-teman, jangan dilupakan ambil kesempatan berjaga malam untuk beribadah juga. "Bola bola jugak, Tuhan jangan dilupakan!".Adios! ;)




Read On 6 comments

Doa Buat Tokyam

Monday, May 25, 2009
Hari-hari 'cuti' saya dihabiskan dengan rutin harian yang hampir sama. Namun kesempatan masa terluang akan saya manfaatkan untuk menyediakan seberapa mungkin 'keperluan' diri untuk menyambung pengajian peringkat master. Keputusan peperiksaan sedikit menggembirakan walaupun ada rasa sedikit kurang puas di dalam hati. Apapun, segala puji bagi Allah atas keputusan ini, alhamdulillah.

Dalam pada itu, perkembangan atok kesayangan saya yang kami panggil 'tok yam' sedikit menggusarkan. Tok yam yang banyak membelaku ketika kecil dikatakan hanya terlantar dan menangis tanpa dapat berkata-kata dengan 'mesra' seperti dulu lagi. insyaAllah pada hari Khamis atau Jumaat ini, kami sekeluarga akan pergi ke Kedah menziarahi beliau. Kepada pembaca yang sudi, diharap dapat mendoakan kesejahteraan tok yam.



Read On 6 comments

Agama Yahudi

Saturday, May 23, 2009
Part 2

BANI ISRAEL DI MESIR

24. Pada kurun ke-17 sebelum masehi Mesir diperintah oleh bangsa asing yang bernama Haxsos sepanjang tempoh 2098-1857 sebelum masehi. Di sepanjang tempoh pemerintahan Haxsos bangsa Yahudi telah masuk ke Mesir melalui salah seorang anak Nabi Yaacob a.s iaitu Nabi Yusuf a.s. Kedatangan Bani Israel ke Mesir telah disambut oleh pemerintah Haxsos pada ketika itu dengan penuh penghormatan.

25. Bani Israel bersama dengan bapa mereka Israel (Yaacob) seramai 70 orang telah mendiami satu kawasan yang bernama Ghasan terletak di bahagian Timur Mesir. Di sepanjang tempoh mereka berada di Mesir, mereka hanya melakukan pekerjaan yang senang lagi menguntungjkan seperti mengembala, membuat perhiasan emas dan perak dan berniaga.

26. Di sepanjang pemerintahan Haxsos ke atas bumi Mesir, Bani Israel mendapat pelbagai keistimewaan berbanding dengan masyarakat pribumi. Keadaan ini berterusan sehinggalah panglima yang bernama Ahmash berasal dari keluarga ke-18 kerajaan Mesir berjaya menghalau orang-orang Haxsos daripada bumi Mesir.

27. Apabila kerajaan Mesir diperintah kembali oleh penduduk asalnya.maka Bani Israel tidak lagi mendapat keistimewaan sebagaimana terdahulu semasa pemerintahan Haxsos. Orang-orang Mesir mula mencurigai Bani Israel disebabkan oleh :-

i. keistimewaan yang mereka kecapi di zaman Haxsos telah menim bulkan rasa dengki dan cemburu dihati orang-orang Mesir.

ii. Selepas kekalahan Haxsos, mereka terpaksa bekerja keras seperti rakyat jelata Mesir dan tidak mendapat apa yang mereka perolehi di zaman Haxsos.

iii sikap mereka yang suka mengasingkan diri dari masyarakat Mesir telah menimbulkan rasa curiga di kalangan pemerintah. Ini menye babkan mereka bangkit memberontak dan menimbulkan kacau bilau terhadap kerajaan Mesir.

28. Orang-orang Mesir merasakan sikap masyarakat Yahudi yang suka mengasingkan diri dan pertambahan bilangan mereka telah menjadi ancaman terhadap keselamatan negara. Maka mereka merancang untuk menghalang perkara tersebut yang mana pada ketika itu Mesir diperintah oleh seorang Maharaja dari keturunan Diraja yang ke-19 bernama Ramsis II. Akhirnya kerajaaan Mesir telah mengeluarkan perintah agar mana-mana anak lelaki yang dilahirkan di kalangan Bani Israel supaya dibunuh bagi membolehkan perempuan-perempuan di kalangan mereka mengahwini orang-orang Mesir. Pada ketika itulah lahirnya Nabi Musa a.s.

BANI ISRAEL KELUAR DARI MESIR

29. Setelah berlaku apa yang kita semua ketahui di antara Nabi Musa dan Firaun maka Nabi Musa a.s meminta daripada Firaun untuk membawa keluar kaumnya dari bumi Mesir menuju ke suatu tempat yang telah dijanjikan oleh Allah kepada mereka.

30. Terdapat perbezaan pendapat di kalangan ahli sejarah, mengenai keluarnya Nabi Musa dan kaumnya dari bumi Mesir. Setengah riwayat mengatakan bahawa Firaun mempersetujui akan permintaan Musa dan setengah yang lain mengatakan bahawa Firaun memaksa Musa dan kaumnya tinggal di bumi Mesir sebagai hamba.

31. Maka Musa dan kaumnya telah menuju ke arah timur. Apabila mereka sampai di persisiran Teluk Suez mereka dapati di hadapan mereka ialah lautan yang terbentang dan di belakang mereka, bala tentera Firaun mengejarnya. Maka Nabi Musa pun berdoa kepada Allah lalu berlaku satu mukjizat yang mengkagumkan. Bani Israel dapat menyeberangi lautan tersebut dengan selamat dan di waktu yang sama Firaun dan bala tenteranya mati di telan laut.

32. Apabila Musa a.s dan kaumnya telah menjejaki tebing semenanjung Sinai, maka bermulalah kehidupan baru bagi Bani Israel. Sudah semestinya kehidupan ini berbeza dari kehidupan yang lama. Di Mesir terdapat pelbagai kemewahan dan kenikmatan berbeza dari semenanjung Sinai. Kehidupan mereka boleh dikatakan lasak dan mencabar kerana di sekeliling mereka dipenuhi oleh batu batan yang panas dan terdedah kepada bahang kepanasan matahari, lebih-lebih lagi sumber air yang jarang di dapati kawasan tersebut .

33. Bani Israel begitu marah dengan kehidupan baru mereka lalu berjumpa dengan Nabi Musa a.s dan meminta daripadanya untuk mengembalikan semula mereka ke Mesir .

34. Nabi Musa a.s telah dipanggil oleh Allah untuk bermunajat kepadaNYA selama 30 hari. Sepanjang pemergian Nabi Musa a.s untuk bermunajat dan menerima Kitab Taurat, Bani Israil telah dipimpin oleh saudaranya Nabi Harun a.s .

35. Apabila Nabi Musa a.s terlambat pulang dari bermunajat kepada Allah, Bani Israel mula meragui kenabian dan agama yang dibawa olehnya. Salah seorang dari pemimpin mereka yang bernama Samiri, telah menghimpunkan emas, perak dan barang perhiasan lalu membentuk seekor anak lembu dan membawa patung tersebut ke hadapan Nabi Harun a.s. Dia meminta daripada kaumnya supaya menyembah dan menyembelih korban kepada Tuhan baru mereka.

36. Sekembalinya Nabi Musa a.s dari bermunajat, dia membawa bersamanya kitab Taurat sebagai ajaran dan panduan kepada Bani Israil setelah dia mendapati kaumnya mensyirikkan Allah dengan menyembah berhala yang dibuat oleh Samiri.`

35. Apabila Nabi Musa a.s terlambat pulang dari bermunajat kepada Allah , mulalah Bani Israil meragui akan kenabian dan agama yang olehnya . salah seorang daripada pemimpin

yang bernama Samiri telah menghimpun emas, perak, dan barang perhiasan daripada bani Israil dan membentuk seekor anak lembu lantas membawa patung tersebut ke hadapan Nabi Harun a.s lalu dia meminta daripada kaumnya supaya menyembah dan menyembelih korban kepada Tuhan baru mereka .

36. Sekembalinya Nabi Musa a.s dari bermunajat dengan membawa bersamanya kitab Taurat sebagai ajaran dan panduan kepada Bani Israil, ia dapati kaumnya telah menyekutukan Allah dengan menyembah berhala yang dibuat oleh Samiri, maka dia merasa begitu marah terhadap perbuatan mereka.

37. Nabi Musa a.s dengan perasaan penuh kecewa telah menghapuskan tulisan-tulisan Kitab Taurat yang diturunkan oleh Allah kepadanya dan meminta kepada kaumnya supaya bertaubat .

38. Nabi Musa a.s dan kaumnya merentasi semenanjung Sinai menuju ke Palestin iaitu bumi yang telah dijanjikan oleh Allah kepada mereka. Bagi memenuhi janji tersebut mereka dituntut untuk memerangi orang-orang Kan'an iaitu penduduk Palestin tetapi mereka enggan dan takut untuk berperang kerana mereka telah sekian lama diasuh dengan kehidupan yang senang dan hina.

39. Disebabkan keengganan mereka maka Allah telah menghukum mereka dengan mengharamkan mereka daripada memasuki tanah suci Palestin yang telah dijanjikan oleh Allah kepada mereka.

40. Bani Israel telah disesatkan oleh Allah di sebuah padang yang luas bernama Tieh selama 40 tahun. Sepanjang tempoh tersebut Allah telah mematikan mereka yang ingkar terhadap suruhan Nabi-NYA dan diwaktu yang sama telah wafatlah Nabi Harun a.s kemudian diikuti oleh Nabi Musa a.s.

41. Setelah kewafatan Nabi Musa a.s, Bani Israel dipimpin oleh seorang muridnya yang taat dan berjiwa pahlawan iaitu Yusha' Bin Nun. Dengan kepimpinan Yusha' dan ketabahan Bani Israel mereka berjaya memasuki tanah Palestin.

BANI ISRAEL DI BUMI PALESTIN

42. Bani Israel telah mendirikan kerajaan mereka di bumi Palestin selama 500 tahun. Di sepanjang pemerintahan Bani Israel, mereka tidak pernah merasa aman dan damai melainkan di zaman pemerintahan Nabi Daud a.s dan awal pemerintahan Nabi Sulaiman a.s selama 50 tahun.

43. Sejarah pemerintahan Bani Israel di bumi Palestin telah dibahagikan kepada 3 zaman : -

i. Zaman pemerintahan Qadi (hakim)
ii. Zaman pemerintahan beraja
iii. Zaman perpecahan dan kehancuran

bersambung...



Read On 0 comments

Realiti Tugas Seorang Guru

Tuesday, May 19, 2009
Tarikh 16 Mei setiap tahun ditetapkan sebagai sambutan Hari Guru. Sambutan Hari Guru disambut di peringkat kebangsaan hinggalah ke peringkat sekolah. Pelajar-pelajar yang mengenang jasa guru akan memberi hadiah, bekas pelajar yang masih mengingati gurunya akan menghantar sms ucapan hari guru walau pun semua itu tidaklah diharapkan oleh insan yang bergelar guru.

Sedar atau tidak sebenarnya tugas yang dilakukan oleh warga guru adalah tugas yang amat berat iaitu usaha untuk ‘memanusiakan’ manusia, untuk membentuk insan bersahsiah dan bermoral tinggi serta sentiasa menyeru murid-muridnya ke arah kebaikan. Sebagaimana firman Allah dalam surah Fussilat ayat 33 yang bermaksud ;

Siapakah yang lebih baik kata-katanya daripada seseorang yang menyeru kepada Allah dan beramal soleh dan berkata : sesungguhnya aku dari kalangan orang-orang Islam.

Warga guru sebenarnya menyambung dakwah Rasulullah saw iaitu menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh para pelajar.
Sebagaimana sabda Rasulullah saw ;

Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegahnya dengan tangan. Sekiranya tidak mampu maka cegahlah dengan lidah. Sekiranya tidak mampu maka cegahlah dengan hati. Itu adalah selemah-lemah iman
(hadis riwayat Muslim )

Kerjaya ini juga akan dapat saham akhirat yang tidak putus-putus dengan ilmunya yang diambil manfaat oleh pelajarnya dan mengamalkan hadis Rasulullah saw ;

Apabila meninggal dunia seseorang maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara ; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya.

(hadis riwayat Muslim)

Semua yang disebut di atas akan diperolehi sekiranya dilakukan semata-mata untuk mencari reda Allah. Dengan kata lain niat hendaklah ikhlas. Alangkah ruginya sekiranya tugasan yang dilakukan hanya kerana menjalankan tanggungjawab mengajar semata-mata, cukup bulan dapat gaji dan elaun. Langsung tidak fikirkan macam mana dengan ibadat mereka, akhlak mereka dan masa depan mereka.

Sememangnya tidak dinafikan tugas guru pada masa kini amat berat dengan masalah keruntuhan moral. Dulu masalah disiplin pelajar berkisar dengan merokok, ponteng kelas, vandalisme tapi pada masa kini pelajar terlibat dengan minuman keras, pil khayal, merempit, curi dan yang paling membimbangkan ialah seks bebas. Semua ini adalah cabaran buat insan yang bernama guru. Apatah lagi pelajar masa kini tidak boleh ‘disentuh’ langsung. Silap hari bulan guru boleh disaman oleh ibubapa pelajar.

Sesungguhnya pengorbanan seorang guru terlalu besar. Namun terdapat pelajar langsung tidak menghargainya. Seorang guru boleh menghadiri kelas tambahan petang, malam malah mengorbankan cuti hujung minggu untuk membantu pelajarnya memperoleh kecemerlangan. Namun pelajar tanpa rasa bersalah ponteng kelas tersebut. Guru mencurahkan ilmu sebaik mungkin dan mengharapkan pelajar mengulangkaji serta mengamalkannya, namun mereka biarkannya ilmu itu hilang begitu sahaja. Guru sentiasa mendoakan untuk pelajarnya agar mendapat kecemerlangan namun pelajar setelah mendapat kecemerlangan terus melupakan gurunya. Guru sentiasa mengingati wajah anak didiknya walau pun telah bertahun-tahun, Cuma nama sahaja terlupa. Tapi pelajar sengaja mengelakkan diri bila bertembung atau buat-buat tidak kenal bekas gurunya. Semua itu guru tidak ambil kisah, janji di akhirat dapat ganjaran di sisi Rabb yang tidak pernah lupa, Tuhan yang tidak pernah terlepas pandang terhadap amalan hambanya.

Wahai insan yang masih seorang pelajar atau pernah bergelar pelajar. Doakanlah kebaikan untuk gurumu, ucapkanlah penghargaan dan terima kasih untuknya dan sapa dan bertanya khabarlah mereka bila bertemu. Percayalah, Semua itu amat mengembirakan hati mereka. Jadilah insan yang berterima kasih dan mengenang budi. Sesungguhnya sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia nescaya dia seorang yang tidak mensyukuri nikmat-nikmat Allah sebagaimana mafhum hadis Nabi. Siapalah kita tanpa guru. ‘TERIMA KASIH CIKGU’.

~SELAMAT HARI GURU KEPADA SELURUH WARGA PENDIDIK DARIPADA CIK IM~







Read On 1 comments

Perintah Digantung

Tuesday, May 12, 2009
Saya merasa dengan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali yang membenarkan permohonan Datuk Zambry Kadir untuk menggantung perlaksanaan penghakiman YA Hakim Datuk Abdul Aziz semalam yang mengisytiharan Dato Seri Mohamad Nizar sebagai MB negeri Perak yang sah.

Saya tidak nafikan mana-mana pihak yang terkilan dengan mana-mana keputusan seseorang Hakim berhak untuk membuat rayuan.

Namun undang-undang memperuntukkan dibawah Aturan 13 Kaedah Mahkamah Rayuan bahawa "sesuatu rayuan tidak boleh menggantung penguatkuasaan sesuatu penghakiman".

Ini bermakna dari segi prinsip perundangan, sesuatu penghakiman itu tidak boleh digantung atau ditahan penguatkuasaannya kecuali pihak yang merayu tersebut boleh membuktikan wujud satu keadaan istimewa dimana jika penghakiman itu dilaksanakan akan menyebabkan rayuan mana-mana pihak akan menjadi hampa (jika rayuannya dibenarkan).

Didalam kes ini, keputusan Mahkamah Tinggi sekadar mengesahkan kedudukan YAB Dato Seri Nizar sebagai Menteri Besar, dan itulah kedudukan beliau sebelum daripada ini.

Jadi tidak timbul keadaan istimewa. Ianya akan jadi keadaan istimewa sekiranya keputusan itu menyebabkan negeri Perak tidak ada MB sehingga rayuan itu didengar dan diputuskan.

Keputusan itu sekadar menyatakan Zambry Kadir bukan Menteri Besar. Menguatkuasakan penghakiman tersebut bermakna beliau perlu mengosongkan pejabat dan rumah Menteri Besar.

Sekiranya rayuan beliau dibenarkan pun ianya tidak membawa apa-apa kerugian kepada beliau. Pejabat dan rumah Menteri Besar tetap ada disitu. Jawatan Menteri Besar tetap wujud dalam negeri Perak. Gajinya pun boleh dibayar semula menggantikan bulan-bulan yang beliau tidak mendapat gaji beliau sebagai MB.

Apa yang saya nampak keadaan istimewa itu hanyalah bagi BN kerana mereka kehilangan kerusi MB. Dan kehilangan kerusi MB bagi BN bukanlah keadaan istimewa saperti yang disyaratkan oleh undang-undang untuk memberikan perintah penggantungan perintah Mahkamah Tinggi tersebut.

Apatah lagi Hakim Datuk Ramly dalam perintahnya menyatakan bahawa Zambry Kadir masih lagi MB. Ini adalah merit kes itu sendiri yang mana telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi sebagai sebaliknya.

Bagaimana mungkin Hakim Datuk Ramly yang tidak membicarakan kes tersebut dan tidak mendengar saksi dan keterangan boleh menyatakan Zambry Kadir sebagai MB sedangkan Hakim yang membicarakan kes itu iaitu YA Dato Aziz telah memutuskan sebaliknya.

Selanjutnya saya hairan bagaimana Hakim Datuk Ramly boleh membicarakan permohonan Zambry tersebut dengan bersidang seorang diri sebagai Hakim Mahkamah Rayuan sedangkan undang-undang menyatakan dibawah Aturan 14 Kaedah Mahkamah Rayuan bahawa "melainkan dinyatakan sebaliknya, apabila sesuatu permohonan itu boleh dibuat di Mahkamah Tinggi atau Mahkamah Rayuan, ianya HENDAKLAH dibuat di Mahkamah Tinggi dahulu" (sila rujuk juga buku Civil Procedure tulisan Jefrey Pinsler m/s 860).

Bermakna permohonan Zambry sepatutnya difail dan didengar oleh Hakim yang membuat keputusan itu dahulu iaitu YA Dato Aziz. Malahan YA Dato Aziz telah pun mengarahkan peguam Zambry supaya memfailkan permohonan secara bertulis.

Dan inilah keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes PP v. Dato Seri Anwar Ibrahim apabila membincangkan isu permohonan penggantungan hukuman penjara terhadap DSAI dahulu sementara menanti rayuan.

Jadi bagaimana mungkin Hakim Datuk Ramly sebagai Hakim Mahkamah Rayuan boleh mendengar dan membicarakan permohonan penggantungan penghakiman oleh Zambry sebelum YA Dato Aziz mendengar dan membicarakannya!

Saya khuatir keputusan Haim Datuk Ramly akan mengujudkan satu "precedent" baru yang bercanggah dengan semua prinsip dan keputusan Mahkamah-mahkamah sebelum daripada ini.

Peguam YB Zulkifli Nordin
http://zul4kulim.blogspot.com/


Read On 1 comments

UM Kekal Universiti Terbaik Negara

Monday, May 11, 2009
KUALA LUMPUR 11 Mei — Universiti Malaya (UM) mendahului empat universiti tempatan yang lain dalam senarai 100 Universiti Terbaik Asia, kedudukan serantau pertama yang dikeluarkan oleh The Times Higher Education (THE)-Quacquarelli Symonds (QS).

UM menduduki ranking ke-38 sementara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di ranking ke-51, Universiti Sains Malaysia (USM) di kedudukan ke-69, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di kedudukan ke-82 dan Universiti Putra Malaysia (UPM) di kedudukan ke-90.

Pengarah Urusan QS, Nunzio Quacquarelli berkata keputusan yang dikeluarkan oleh QS.com Asian University Rankings, adalah berdasarkan ukuran kecemerlangan serantau sesebuah universiti.

“Universiti yang berprestasi cemerlang ditentukan bukan sahaja berdasarkan kualiti tetapi juga produktiviti kajian mereka, berbanding universiti serantau yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata universiti di Malaysia mempunyai prestasi yang baik, dengan jumlah pelajar antarabangsa dan fakulti yang banyak, yang menjadikan Malaysia tarikan kepada pelajar antarabangsa. - Bernama





Read On 2 comments

Salam Perpisahan...

Friday, May 08, 2009
Pelajar tahun akhir bersama para pensyarah


Majlis Makan Malam Prpisahan JFU berjalan lan car walaupun terdapat beberapa masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. Sekalung tahniah diucapkan untuk seluruh warga JFU yang terlibat menjayakannya.



Persembahan Silat Cekak Hanafi



Pada pagi keesokannya saya meneruskan aktiviti bersama ahli rumah. Trip yang bertujuan merapatkan hubungan antara ahli rumah sewa kami itu bagimanapun hanya disertai kurang separuh bilangan keseluruhan ahli. Walaubagaimanapun, ianya sangat bermakna dan menyeronokkan. Terima kasih tak terhingga kepada ustaz Anuar Ramli dan kawan-kawan yang terlibat.




Pie, Aj, Im, Rezza, Napi, ustaz Nuar






Sekadar berkongsi pengalaman. Ukhwah fillah..insyaAllah...




Read On 6 comments

10 Tip Temuduga Kerja

Monday, May 04, 2009
Berikut adalah 10 tip temuduga kerja yang anda boleh adaptasi.

1. Buat Kajian Tentang Syarikat/Majikan.

Buat kajian tentang latar belakang syarikat kerana besar kemungkinan penemuduga akan bertanya kepada anda sejauh mana anda tahu tentang syarikat mereka. Ini penting kerana ia menunjukkan sama ada kita benar benar berminat untuk berkerja di syarikat tersebut atau kita sekadar ambil mudah sahaja. Pada zaman internet ini, amat mudah untuk kita mendapatkan maklumat berkenaan syarikat syarikat tersebut melalui laman web mereka.

Anda juga perlu ambil tahu sebanyak mungkin berkenaan dengan berita berita terkini yang berkaitan dengan syarikat tersebut. Sebagai contoh adakah anda membaca berita 2, 3 hari lepas bahawa syarikat yang anda pohon bakal bergabung dengan syarikat yang lain dan bakal mengurangkan jumlah pekerja? Jika ya, maka anda berada dalam situasi yang tidak bagus. Yalah, takkan bila baru masuk kerja sudah nak kena diberhentikan? Malang betul.

2. Buat Kajian Tentang Jawatan Kosong Yang Dipohon.

Pastikan anda mendalami tentang jawatan yang dipohon terutama tugas tugas utama yang perlu dilakukan apabila anda menjawat jawatan berkenaan. Sebagai contoh, jika jawatan yang dipohon ialah Pembantu Akaun, senaraikan rutin rutin tugasan yang mungkin anda akan lakukan jika diterima menjadi seorang Pembantu Akaun di syarikat tersebut. Anda mungkin tidak mengetahui kesemuanya, tetapi apa yang anda boleh lakukan ialah dengan menyenaraikan sebanyak mungkin senarai tugasan dan memilih beberapa yang anda fikirkan paling tepat.

Memang amat memalukan jika kita sendiri tidak tahu apakah tugas tugas yang bakal kita lakukan untuk jawatan yang bakal kita pegangi. Pasti si penemuduga juga akan jatuh mood apabila mengetahui anda tidak cukup serius untuk mengambil tahu tentang selok belok jawatan yang kita pohon.

3. Sediakan Senarai Contoh Soalan Temuduga Yang Mungkin Ditanya Kepada Anda

Banyak sumber yang ada menyediakan senarai contoh soalan temuduga yang boleh anda dapati. Salah satu daripadanya ialah dari laman web SKOR Career.

Selain daripada contoh soalan temuduga yang ditulis dalam Bahasa Inggeris, anda juga akan mendapat manfaat berkenaan dengan tip tip serta panduan menghadiri temuduga.

4. Berlatih Hadiri Temuduga Secara Praktikal dan Role Play.

Tiada gunanya kalau kita sekadar mengutip contoh contoh soalan temuduga jika sekiranya kita tidak mempraktikkannya secara praktikal atau role play. Role play di sini bermakna anda mencari seorang pasangan untuk memainkan peranan sebagai penemuduga, manakala anda menjadi calon pekerja. Si penemuduga ini akan bertanyakan soalan kepada anda berdasarkan kepada soalan soalan yang telah anda kumpul dan anda berlatih menjawab soalan soalan tersebut satu demi satu.

Setelah temuduga role play selesai, tibalah masa untuk anda membuat kaji selidik ke atas persembahan anda dalam temuduga tadi. Dapatkan pendapat daripada pasangan anda tentang prestasi temuduga anda, buat analisa terhadap kelemahan anda, dan cuba perbaiki kelemahan itu. Ulang role play sehingga anda dan pasangan anda berasa puas hati. Insyaallah, dengan melakukan role play ini berulang kali, keyakinan anda akan bertambah tinggi. Perasaan gemuruh anda akan berkurang.

5. Cari Maklumat Tentang Penemuduga

Sebaik baiknya cari maklumat tentang penemuduga anda. Anda tidaklah perlu mendapatkan nama mereka, tetapi seboleh bolehnya cuba siasat apakah jawatan yang dipegang oleh si penemuduga tersebut. Ini kerana adalah penting untuk mengetahui penemuduga itu datang dari bahagian mana sama ada dari bahagian Sumber Manusia atau bahagian yang berkaitan dengan jawatan anda. Ini kerana jika penemuduga datang dari bahagian Sumber Manusia, soalan yang bakal dikemukan lebih bersifat menganalisa sifat sifat seperti kemahiran berkomunisi, membuat analisa serta personaliti anda. Jika temuduga melibatkan bakal bos anda, maka soalan temuduga akan digabungkan untuk mengkaji sikap anda serta kemahiran dan pengetahuan anda dalam bidang yang diperlukan oleh jawatan yang dipohon.

6. Ambil tahu jenis temuduga yang bakal anda lalui.

Adalah penting untuk anda mengetahui jenis temuduga yang bakal anda hadiri untuk membolehkan anda membuat persediaan yang rapi dan secukupnya. Persediaan yang rapi membolehkan anda memposisikan diri anda untuk memberi kelebihan berbanding calon temuduga lain.

Adakah temuduga anda merupakan temuduga secara perseorangan (1 to 1)? Adakah ia temuduga secara berpanel dan berkumpulan? Persediaan untuk menghadapi kedua dua jenis temuduga ini adalah berbeza. Jika temuduga itu adalah secara perseorangan, persediaan untuk menghadapinya lebih mudah. Ini kerana temuduga secara perseorangan tidak akan berlangsung terlalu lama. Paling lama pun dalam 2-3 jam. Jadi kita boleh menumpukan persediaan kita terhadap topik yang bakal dibincangkan. Manakala temuduga secara berkumpulan akan membabitkan soalan dalam pelbagai aspek, terutamanya jika temuduga berkumpulan itu memakan masa yang lama dan membabitkan beberapa sesi temuduga.

7. Senaraikan soalan untuk ditanya kepada majikan.

Temuduga kerja bukanlah sejenis interaksi yang hanya membenarkan majikan bertanyakan soalan kepada calon pekerja sahaja. Ia adalah 2-way street. Ini bermakna, selain daripada menjawab soalan, anda juga boleh menanyakan soalan kepada mereka. Ini penting kerana, walaupun mereka menyukai kita dan berhasrat untuk melantik kita memegang jawatan kosong yang ada, keputusan samaada untuk bersetuju berkerja dengan mereka terletak kepada kita. Jika kita mendapati syarikat tersebut tidak sesuai dengan kita berdasarkan beberapa kriteria yang tertentu, maka kita berhak untuk menolak tawaran kerja tersebut.

Jadi ambillah kesempatan ini untuk bertanyakan kepada majikan tersebut tentang beberapa perkara. Contohnya:

  1. Bagaimanakah potensi saya untuk berkembang di syarikat ini jika saya bekerja di sini? Adakah syarikat ini mempunyai perancangan yang teliti untuk semua pekerja mereka?
  2. Saya ingin tahu apakan isu isu serta cabaran yang perlu dipikul jika saya memegang jawatan ini.
  3. Boleh saya tahu kenapa jawatan ini kosong? Adakah ia jawatan yang baru diterbitkan, atau seseorang telah meninggalkan jawatan ini lalu ia menjadi kosong?

Inilah masanya untuk anda mengetahui lebih lanjut tentang maklumat syarikat tersebut yang selama ini anda perlukan jawapan. Sesi temuduga adalah sesi ringkas yang berakhir dalam beberapa jam, tetapi apabila anda bekerja di syarikat tersebut, berkemungkinan anda akan terus bekerja selama 4-5 tahun. Jadi gunakan kesempatan pada waktu temuduga dengan sebaik mungkin.

8. Sediakan resume serta salinan dokumen lain yang lengkap.

Saya cukup kecewa apabila calon temuduga gagal menyediakan dokumen penting seperti resume dan juga salinan fotokopi dokumen lain seperti keputusan peperiksaan dan transkrip. Lebih mengecewakan apabila saya sendiri memberi pesan kepada mereka untuk membawa item yang diperlukan. Kadang kadang mereka datang sambil lewa membawa thumb drive yang mengandungi resume mereka dan pandai pandai pula menyuruh penemuduga untuk mencetak resume mereka. Cara ini sungguh tidak sopan dan biadap.

Sebenarnya, ini jelas menggambarkan sikap atau attitude calon pekerja itu sendiri. Jika mereka tidak serius dalam memohon pekerjaan dan menghadiri temuduga, mereka juga tidak serius dalam bekerja. Jadi penyelesaian kepada masalah ini adalah mudah. Saya akan menjalankan sesi temuduga yang ringkas, beri nasihat kepada calon tersebut dan akan menyuruh mereka pulang. Mereka tidak akan disenarai pendekkan untuk jawatan tersebut, tetapi mereka telah belajar sesuatu yang berguna - iaitu jangan main main dalam mencari pekerjaan.

9. Pastikan anda tahu lokasi temuduga dan buat strategi untuk sampai awal

Jika pada waktu untuk bertolak ke tempat temuduga barulah anda terhegeh hegeh menyemak di mana letaknya lokasi temuduga anda, lambat laun anda akan terlambat sampai ke lokasi. Ini adalah satu lagi sikap ambil mudah yang sering kali terbawa bawa oleh calon pekerja. Jika anda tidak berapa pasti tempat tersebut, ambil usaha untuk melawati sekitar tempat tersebut sehari (atau waktu malamnya) sebelum temuduga yang sebenar.

Ramai calon yang beranggapan, jika mereka lewat, itu tidak mengapa asalkan mereka menelefon majikan yang bakal menemuduga mereka. Alangkah silapnya tanggapan ini. Walaupun panggilan anda dijawab dengan suara dan muka yang manis, anda tidak tahu bagaimanakah persepsi penemuduga terhadap anda. Jika penemuduga tadi telah merancang mesyuarat selepas temuduga bersama anda, ini bermakna, mesyuaratnya akan tertangguh. Jika anda memberi masalah ini kepada penemuduga, nahaslah anda.

Jika perancangan anda silap, anda akan lewat. Apabila anda terlewat, fokus anda akan terganggu. Anda akan cepat gementar dan menggelabah. Bila sudah menggelabah, prestasi temuduga anda akan jelas merosot. Anda bakal menemui kegagalan.

10. Bersedia dengan kod pakaian yang sesuai.

Tidak kiralah anda ini jenis punk, rock, hip hop dan sebagainya, bila tiba waktu temuduga, pastikan kod pakaian yang betul! Untuk lelaki, kemeja cerah yang bertali leher, dan seboleh bolehnya memakai kot gelap. Seluar panjang berwarna hitam atau gelap adalah sesuai, diiringi denga kasut kulit berwarna gelap dan dikilatkan. Pemakaian anda akan memberikan impresi pertama (first impression) kepada penemuduga anda, dan dalam first impression, tiada peluang kedua untuk anda, jadi pastikan anda memberi first impression yang baik.

Untuk wanita pula, sesuai memakai executive blouse berwarna gelap.

Selamat berjaya dalam temuduga kerja anda!





Read On 0 comments

::cik im::

My photo
::ialah anak kelahiran Sandakan,Sabah::menetap di Tangkak,Johor::Syariah (Fiqh dan Usul), Akademi Pengajian Islam,Universiti Malaya::

::cik im di sini::


ShoutMix chat widget

::sahabat cik im::

::saudara cik im::

::pilihan cik im::

::pelawat cik im::