::cik im::
http://aliimranzone.blogspot.com

MOTIVASI: Saudaraku

Saturday, February 28, 2009

Saudaraku..kau merdeka dibalik alam baru

Saudaraku..kau merdeka dari belengu itu
Kalau betul kau berpegang pada Tuhanmu
Apa helah makhluk itu, tidak berbekas padamu

Saudaraku..kan musnah tentera zalim tak menentu
Akan muncul di alam ini satu fajar baru
Pancaran sinarnya akan memerdekakan rohmu
Lihat..nun fajar baru menari-nari menujumu

Saudaraku..kau tangisi pemergianku
Kau siram pusaraku dengan air matamu
Mereka nyalakan lilin dari reputanku
Kejarlah dengannya kemenangan dan jaya

Saudaraku..jika ku tidur jumpa Kekasih
Raudhah Tuhanku sudah tersedia dan isih
Burung-burungnya berkepak silih
Berada nian berada ditaman firdaus

Saudaraku..ikutlah jejakku ini
Puak demi puak, angkatan baru susuli
Meskipun aku mati, tapi mati suci
Kalian kan lalu dengan kemenangan lagi

Ku membela nama Tuhan dan agama
Dengan yakin atas sunnah, ku jalan selama
Entah demi kemenangan di merata dunia
Entah untuk mendapat balasan dengan anbia'

(sajak assyahid Sayyid Qutb beberapa jam sebelum menghembuskan nafas terakhir di tali gantung)

Sebelum digantung, assyahid Sayyid Qutb ada menyebut, bahawa beliau bermimpi bertemu Rasulullah s. a.w pada malam sebelum digantung. Beliau menunggang kuda putih, Rasulullah bersalam dengannya dan berkata, bertenanglah wahai Sayyid, sesungguhnya kamu telah berjaya mendapat kematian sebagai seorang syahid pada jalan Allah...

Para pembaca sekalian, alangkah beruntungnya mereka yang mati di jalan Allah...

Bagaimana akan berakhirnya hidup kita ini....? Allahummakhtimlana bihusnil khotimah...wala takhtim alaina bisuuil khotimah......air mataku mengalir......


Read On 4 comments

ISLAM: Perempuan Adalah Aurat

Tuesday, February 24, 2009
Sebelum kita pergi lebih jauh dalam membincangkan hukum ini mari kita lihat sebuah hadis nabi S.A.W. yang menyebut:

Maksudnya : Perempuan adalah aurat, dan sesungguhnya apabila dia keluar dari rumahnya syaitan akan sentiasa memerhati dan mengekorinya.

Hadis sahih ini jelas menyebut bahawa perempuan adalah aurat. Tapi harus difahami bahawa bukan semua keadaan perempuan itu aurat.

Perempuan menjadi aurat sekiranya mengangkat suara di hadapan bukan mahramnya.

Perempuan menjadi aurat jika tabarruj yakni berhias berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian orang ramai walaupun menutup aurat dengan sempurna.

Perempuan menjadi aurat jika berwangi-wangian yang boleh menarik perhatian orang ramai di luar rumahnya.

Perempuan menjadi aurat sekiranya mendedahkan auratnya. Dan perempuan menjadi aurat jika memakai pakaian yang tidak syari`e.

Islam melarang wanita memakai seluar samada ketat atau longgar tanpa pakaian labuh hingga ke kaki seperti jubah dan yang seumpamanya kerana beberapa perkara :

1- Kerana menyerupai lelaki. Sabda nabi S.A.W :

Maksudnya: Allah melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orang perempuan yang menyerupai lelaki.

Maksudnya: Rasulullah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan orang perempuan yang memakai pakaian lelaki.

Oleh kerana asal seluar adalah pakaian lelaki dan dipakai oleh semua lelaki maka tidak diharuskan bagi perempuan untuk memakainya.

2- Seluar membentuk anggota wanita. Dan setiap pakaian yang menampakkan bentuk tubuh badan wanita adalah haram dipakai di hadapan bukan mahram. Sabda Nabi S.A.W :

Maksudnya: Dua golongan di kalangan penghuni neraka yang belum pernah aku lihat. Pertama, satu golongan yang sentiasa memegang cemeti untuk memukul-mukul manusia. Dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi seolah-olah bertelanjang, menarik dan menggoda, kepala (rambut) mereka seperti bonggol unta (kerana disanggul atau seumpamanya), mereka sekali-kali tidak akan masuk ke syurga malah tidak dapat mencium baunya sedikitpun walaupun bau syurga itu sudah dapat dicium dari jarak yang begitu jauh.

3- Meniru gaya wanita-wanita bukan Islam. Sabda Nabi S.A.W :

maksudnya: barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum bahawasanya dia adalah dikalangan mereka

Dalam penegasan dalil-dalil yang dinyatakan di atas kita mengulangi bahawa boleh bagi wanita memakai seluar tetapi dengan syarat-syaratnya.

1- Jika dipakai dengan pakaian yang labuh dan longgar.
2- Jika dipakai di hadapan mahram.
3- Kerana darurat seperti dalam keadaan perang atau bencana untuk mudah lari dan menyelamatkan diri.

Pemakaian baju yang berwarna pula tidak ada hukum yang tetap berkenaan dengannya. Tetapi Islam telah menggariskan dan meletakkan satu kaedah, iaitu sekiranya pakaian yang dipakai oleh seorang wanita itu boleh menarik perhatian lelaki-lelaki yang bukan mahram seperti terlalu terang warnanya atau corak-corak yang keterlaluan atau berenda-renda atau labuci-labuci yang berselirat dan bergemerlipan maka hukumnya tidak boleh. Dan hukum ini juga kembali kepada adat sesuatu tempat tersebut. Satu contoh saya berikan. Kalau perempuan di Malaysia kebanyakannya atau hampir kesemuanya memakai baju kurung berwarna warni sehingga pemakaian itu menjadi biasa. Tapi jika dipakai di Negara lain (Negara Arab khususnya) ia adalah sesuatu yang menarik perhatian dan menjadi tumpuan orang, maka ia tidak digalakkan (kalau boleh elak lebih baik).

والله أعلم
Sumber : Sebahagian dari Fatwa Sheikh Muhammad Asy-Syanqithi dan Sheikh Wahbah Az-Zuhaili.

Ustaz Amri Nasron- Cinta-rasul.blogspot.com


Read On 9 comments

DIRI: Wajah-Wajah Imran...

Sunday, February 22, 2009









Read On 32 comments

KAWAN: Tahniah Ihsan!

Thursday, February 19, 2009
Saya ingin merakamkan sekalung ucapan tahniah kepada sahabat saya, Muhammad Ihsan bin Abdullah@ Pak Chan yang telah dipilih sebagai Yang dipertua Persatuan Pelajar Sarjana Muda Pendidikan Islam Universiti Malaya (SMPI) yang baru (sebelum ini beliau memegang portfolio pengerusi Jawatankuasa Sampah dan Najis Halal Haram's House). Dengan perlantikan ini beliau layak menggunakan sebuah kereta mewah milik saya yang disumbangkan khusus untuk perjuangan SMPI.

Ihsan bergaya dengan kereta mercedes e300 compressor milik saya

Pesan saya, jagalah amanah ini dengan baik. Sebagai pemimpin kitalah barisan utama yang akan disoal di akhirat kelak. Semoga Ihsan terus maju jaya. Tahniah!
Read On 11 comments

ISLAM: Benarkah Sayyidina Umar al-Khattab Membunuh Anaknya?

Tuesday, February 17, 2009
Terdapat beberapa buah buku yang tersebar meluas dalam masyarakat yang menceritakan kisah Sayyidina Umar r.a. kononnya telah membunuh seorang anak perempuan dan menanamnya hidup-hidup, seperti sebuah buku berjudul “Sepuluh Sahabat Dijamin Ahli Syurga” oleh Muhammad Ali Quthub, terbitan Pustaka Nasional Pte. Ltd (1984), m.s. 50-51.


Jika cerita seperti itu disiarkan oleh musuh Islam, tentu sekali tiada maksud lain bagi mereka melainkan untuk memburuk-burukkan imej Sayyidina Umar r.a. yang merupakan sahabat karib Rasulullah s.a.w. dan khalifah agung umat Islam.

Jika cerita seperti ini disebarkan oleh mereka dari kalangan Ahli Sunnah wal-Jamaah, pada pandangan penulis, ada dua kemungkinan yang mendorong mereka untuk menyebarkannya.

Pertama, kerana jahil dan kedua, adalah kerana menganggap kisah ini berlaku sewaktu Sayyidina Umar r.a. berada di zaman jahiliah.

Apa yang menjadi hujah mereka, bukankah kisah ini menunjukkan kehebatan Islam dengan kemampuannya yang luar biasa dalam mengubah dan membentuk peribadi manusia sehingga manusia yang sekejam Sayyidina Umar r.a. itu pun telah menjadi sebaik-baik manusia malah pemimpin Islam contoh untuk umat Islam kemudian apabila memeluk Islam?

Bagi penulis, tidak timbul soal kehebatan Islam dalam mengubah kehidupan manusia kerana telah pun terbukti melalui banyak riwayat-riwayat yang sahih tetapi bagaimana dengan cerita kekejaman Sayyidina Umar r.a. ini? Apakah kedudukannya? Adakah ia memang berasas atau hanya dongeng dan cerita rekaan semata-mata?Alangkah berguna kepada para pembaca sekiranya penulis-penulis buku dan artikel-artikel ini mengemukakan tempat rujukan kisah ini supaya amanah ilmiah yang mereka bawakan kepada orang ramai itu disampaikan dengan penuh tanggungjawab.

Kisah ini sebenarnya tidak dapat ditemui dan dikesan walaupun bayangnya di dalam kitab-kitab hadis atau kitab-kitab sejarah yang muktabar. Tentu sekali ianya direka oleh musuh Islam tetapi sungguh malang sekali apabila kita sebagai umat Islam menerima apa saja yang disogokkan dalam cerita atau kisah-kisah sahabat padahal Rasulullah s.a.w. telah pun bersabda yang bermaksud, “Cukuplah seseorang itu menjadi pendusta apabila ia menceritakan apa sahaja yang didengarnya.” ( Hadis Riwayat Muslim)

Tujuan penulis mengkaji semula dan membetulkan artikel-artikel ini tidak lain adalah untuk memelihara kesucian sejarah hidup Rasulullah s.a.w. Juga untuk memberi peringatan kepada umat Islam umumnya, pendakwah-pendakwah, penulis-penulis dan guru-guru agama khususnya supaya berhati-hati apabila membawa sesuatu kisah berhubung dengan Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabat baginda s.a.w. kerana mereka adalah cermin agama Islam.


Supaya lebih jelas kepada para pembaca, penulis putarkan kembali bahagian terpenting daripada kisah Sayyidina Umar r.a. menanam hidup-hidup anak perempuannya (sebagaimana yang disebarkan dalam buku yang dinyatakan di atas).


“...Umar memejamkan mata. Anak itu ditendangnya masuk ke dalam lubang yang digalinya. Ia menangis. Umar tidak menghiraukannya….Umar menutupkan mata dan terfikir, “ Oh! Anakku yang manis dan pintar. Mengapa kau dilahirkan sebagai perempuan?” Ia menangis. Tangannya gementar, tubuhnya menggigil. “ Umar, jangan jadi pengecut,” Tiba-tiba suara itu terdengar berulang kali ditelinganya. Lalu sambil menahan kesedihannya, Umar meneruskan lagi menimbun pasir ke lubang tadi, sehinggalah anaknya itu menghembuskan nafasnya yang terakhir."


Kisah ini selain tidak terdapat di dalam kitab-kitab sahih dan muktabar, ia juga bercanggah dengan kaedah dirayah yang dipakai oleh ulamak Islam dalam menilai sesuatu cerita.


Di antara alasan yang boleh dikemukakan ialah:


1) Tidak ada satu pun riwayat yang boleh dipertanggungjawabkan membuktikan seorang pun daripada kabilah Quraisy menanam anaknya hidup-hidup, apatah lagi untuk membuktikan Sayyidina Umar r.a membunuh anak perempuannya.


2) Adat menanam anak perempuan hidup-hidup berlaku di kalangan setengah-setengah kabilah Bani Tamim dan Asad yang bimbangkan kepapaan menimpa mereka kerana anak-anak itu. (Muhammad Tayyib dan Najjar di dalam kitab Al-Qabasu AL-Waddah’, muka surat 78 Zakaria Basyir dalam Meccan Crucible, muka surat 24). Sebagaimana adanya riwayat menyebutkan Qais bin Hasyim seorang pemimpin kabilah Bani Tamim yang kemudiannya memeluk Islam, telah mengaku menanam hidup-hidup 8 orang anak perempuannya di zaman Jahiliah.


Disana terdapat juga riwayat menyebutkan seorang pemimpin dari kalangan Bani Tamim juga telah menyelamatkan ramai anak perempuan daripada dibunuh oleh ibu bapa mereka kerana takutkan kepapaan dengan membeli anak-anak perempuan. Di antara pemimpin yang menonjol dalam usaha membasmi adat keji ini ialah Sa’sa’ah bin Naajiah, datuk kepada Al-Farazdaq seorang penyair Arab yang terkenal dan Zaid bin Amar bin Nufail.


Sa’sa’ah telah membeli anak perempuan daripada kedua ibu bapanya kemudian memelihara mereka hingga dewasa. Bilangan anak-anak perempuan yang dipeliharanya ialah 360 orang ( At Thabarani dalam Al Mu’jamu’ Al Kabir, jilid 8 m.s. 77). Sementara Zaid bin Amar bin Nufail pula tidak terpengaruh dengan masyarakat sekeliling yang menyengutukan Allah s.w.t dengan sesuatu yang lain malah beliau mencari-cari kebenaran dan sedapat mungkin cuba mengesan serta mengamalkan saki baki peninggalan agama Nabi Ibrahim. Beliau juga membeli anak-anak perempuan daripada ibubapanya lalu memelihara mereka hingga dewasa. Kemudian dia akan membawa anak-anak perempuan itu kepada kedua ibu bapanya lalu berkata kepada mereka , “ Jika kamu suka kepada anak perempuan kamu ini, kamu boleh mengambilnya atau kalau kamu tidak mahu kepada anak perempuan kamu ini biarlah anak-anak perempuan ini bersama saya.” ( Bukhari, jilid 1 , m.s. 540)


Zaid bin Amar bin Nufail bukan sahaja keluarga Sayyidina Umar r.a malah beliau adalah sepupu Sayyidina Umar r.a. Adik perempuan Sayyidina Umar r.a menjadi isteri kepada anaknya Sa’id dan anak perempuan Zaid pula menjadi isteri Sayyidina Umar r.a. sendiri. Takkanlah keluarga yang terkenal dalam usaha-usaha suci menyelamatkan anak-anak perempuan daripada dibunuh oleh ibubapa mereka, tiba-tiba seorang yang sangat menonjol dan yang terpenting daripada mereka sendiri melakukan perbuatan terkutuk ini dengan membunuh anaknya sendiri.


3) Setelah Mekah dibuka, Rasulullah SAW. Berbai’ah dengan perempuan-perempuan mukmin. Diantara ucapan baginda SAW ialah:


“ Kamu tidak lagi akan membunuh anak-anak kamu.” Hindun tiba-tiba berkata, “Kami memelihara mereka semasa kecil, apabila besar kamu pula yang membunuhnya.”


Peristiwa itu tercatat di dalam kitab-kitab hadis dan kitab-kitab sirah dengan jelas dan terperinci. Kata-kata Hindun ini menunjukkan kabilah Quraisy tidak terlibat dengan adat yang keji ini. Sabda Rasullullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim juga membuktikan bahawa kabilah Quraisy tidak terlibat dalam pembunuhan anak-anak perempuan iaitu, Sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud,


“ Sebaik-baik perempuan Arab ialah perempuan Quraisy. Mereka sangat penyayang terhadap anak-anak yatim sewaktu kecilnya dan mereka paling menjaga kedudukan dan harta benda suaminya”.

Apa ertinya pujian Nabi s.a.w terhadap sifat penyayang mereka terhadap anak-anaknya sekiranya mereka juga seperti kabilah-kabilah lain yang terlibat dengan adat membunuh anak-anaknya?


Anak-anak Sayyidina Umar r.a yang lahir sebelum Islam semuanya hidup. Mereka ialah Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah bin Umar dan Abdul Rahman.


4) Dalam tradisi Arab, seorang yang dikurniakan dengan anak sulungnya seperti Nabi kita s.a.w ialah Abu Qasim, anak sulung Sayyidina Umar r.a ialah Abu Hafsin merujuk kepada Hafsah, anak perempuannya. Ini menunjukkan anak perempuan Sayyidina Umar r.a. yang sulung ialah Sayyidatina Hafsah.


5) Perlu juga diperhatikan bahawa disepanjang hayatnya, berapa ramaikah isteri Sayyidina Umar r.a dan juga hamba sahayanya di samping anak daripada mereka itu?


Kerana sejarah menyimpan semua maklumat isteri-isteri dan anak-anak Sayyidina Umar r.a Imam Ibn Jauzi dan lain-lain menyenaraikan isteri-isteri Sayyidina Umar r.a. dan anak-anaknya di samping hamba sahayanya. Beliau menulis, “Sayyidina Umar r.a mempunyai beberapa orang isteri dan mendapat ramai anak.” Isteri beliau ialah:


I) Zainab bt Maz’un

Zainab adalah saudara perempuan Uthman b. Maz’un yang terbilang di antara orang yang memeluk Islam di peringkat permulaan dan saudara sesusu dengan Nabi s.a.w. Dengan Zainab ini Sayyidina Umar r.a telah mendapat tiga orang anak iaitu Hafsah, Abdullah dan Abdul Rahman.


ii) Atikah bt Zaid b. Amar b. Nufail

Daripadanya beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘Iyadh


iii) Jamilah bt Tsabit b. Aflah

Daripadanya beliau mendapat seorang anak lelaki bernama ‘Aasim


iv) Ummul Hakkam bt Al-Harith b. Hisham

Daripadanya beliau mendapat anak perempuan bernama Fatimah.


v) Ummul Kulthum bt Jarwal b. Malik

Daripadanya beliau mendapat dua orang anak perempuan bernama Ubaidullah dan Zaid Al Akbar


vi) Ummul Kulthum bt Ali b. Abi Talib

Daripadanya beliau mendapat dua orang anak bernama Zaid Al Asghrar dan Ruqayyah.


vii) Daripada hamba sahayanya yang bernama Fukayyah dan Luhayyah juga Sayyidina r.a telah mendapat anak. Daripada Fukayyah dia mendapat anak perempuan bernama Zainab dan daripada Luhayyah beliau mendapat anak bernama Abdul Rahman Al Autsar dan Abdul Rahman Al Asghrar.


Jadi, anak-anak Sayyidina Umar r.a adalah seperti berikut:


LELAKI

1) Abdullah

2) Abdul Rahman Al Akbar

3) Abdul Rahman Al Autsar

4) Abdul Rahman Al Asghrar

5) Zaid Al Akbar

6) Zaid Al Asghrar

7) Ubaidullah

8) ‘Aasim

9) ‘iyadh


PEREMPUAN:

1) Hafsah

2) Ruqayyah

3) Fatimah

4) Zainab


Daripada isteri pertamanya Zainab bt Maz’un, Sayyidina Umar r.a mendapat tiga orang anak iaitu Ummul Mukminin Hafsah, Abdullah b. Umar dan Abdul Rahman Al Akbar.Hafsah adalah anak sulungnya daripada Zainab bt Maz’un, sebab itulah beliau dikurniakan dengan Abu Hafsin.


Pada ketika beliau memeluk islam, beliau mempunyai hanya tiga orang anak ini sahaja. Kalau begitu anak yang manakah ditanam hidup-hidup oleh Sayyidina Umar r.a? Apakah namanya dan apakah nama ibunya? Kalaulah Sayyidina Umar r.a betul-betul bencikan atau tidak suka kepada anak perempuan, kenapa pula dia memakai kuniah Abu Hafsin?


Selain daripada alasan yang disebutkan tadi, adakah logic Sayyidina Umar r.a baru mengetahui identity anaknya samada lelaki atau perempuan setelah anak itu berumur 4 tahun?


Mungkin juga orang yang mula-mula menyebarkan kisah ini terkeliru dengan riwayat Wadhin yang dikemukakan oleh Imam Daarini di dalam sunnahnya, atau mungkin ia pura-pura terkeliru.


Riwayat itu menyebutkan bahawa ada seorang lelaki mengadap Rasulullah Saw lalu berkata, “wahai Rasulullah! Kami dahulu orang-orang Jahiliah,kami menyembah berhala dan membunuh anak-anak. Saya pernah mempunyai seorang anak perempuan.Bila saya memanggilnya dia berlari-lari datang kepada saya dan sangat ceria. Pada suatu hari saya memanggilnya dan ia terus mengekori saya. Berdekatan dengan tempat itu ada satu telaga, saya memegang tangannya dan menolaknya masuk ke dalam telaga. Ucapan terakhir yang terkeluar dari mulutnya ialah “ ayah!”


Mendengar ceritanya itu Nabi saw menangis. Orang-orang yang ada berdekatan dengan Nabi saw berkata kepada orang itu, “ kamu betul-betul telah menyedihkan Rasulullah saw.” Nabi bersabda, “orang ini datang bertanyakan sesuatu yang lebih dari itu,” seraya baginda Rasulullah saw berkata kepada orang itu, “ceritakan sekali lagi kisah itu” orang itu pun mengulangi sekali lagi kisah itu sehingga Rasulullah saw menangis sehinnga basah janggutnya.


Kemudian Nabi saw bersabda, “perkara-perkara yang telah dilakukan oleh mereka di zaman jahiliah telah dihapuskan oleh Allah swt dengan masuknya mereka ke dalam Islam. Sekarang mulakan amalan-amalan yang lain” ( sunnah Daarini,jilid 1. ms 3)


Ini adalah satu kisah seorang yang tidak diketahui siapa orangnya, apa namanya? Mungkin orang-orang yang mempunyai maksud jahat mengaitkan cerita ini dengan Sayyidina Umar r.a. padahal cerita inipun jika ditimbang dengan neraca ilmu riwayat juga tidak disabitkan kerana Wadhin merupakan perawi teratas, lahir pada tahun 80H dan wafat pada 149 H, sedangkan dia tidak pula menceritakan perawi lain lain diatasnya. Tidak mungkin dia telah mendengar sendiri kisah ini 80 tahun sebelum kelahirannya.


Dalam istilah ilmu hadis, riwayat seperti ini dinamakan riwayat munqati’, kerana perawi diatasnya tidak disebutkan. Selain itu Wadhin itu sendiri adalah seorang yang dipertikaikan oleh ulamak Rijal Hadits tentangnya. Imam Bukhari,Muslim dan Nasa’I tidak mahu menerima riwayatnya. Ibnu Saad berkata, “ dia seorang yang daif.” Abu Hatim berkata, “ sesetengah riwayatnya baik tetapi setengah yang lain sangat buruk.” Jauzajani berkata, “riwayat-riwayatnya adalah lemah” ( Mizan Al I’tidal, jilid 4. ms 336). Hafidz Ibnu Hajar menulis bahawa, “ingatannya sangat teruk”.


Bila riwayat itu sendiri tidak tahan diuji, di samping orang yang berkenaan tidak disebutkan dengan jelas namanya kenapa pula ada orang yang pandai-pandai mengaitkannya dengan Sayyididina Umar r.a.? Tentu sekali perbuatan seperti ini tidak pernah dilakukan kecuali oleh musuh-musuh Islam.


Diharap masyarakat lebih sensitif menilai keaslian dan kebenaran sesuatu cerita mengikut neraca ilmu atau sekurang-kurangnya bertanya kepada mereka yang ahli. Semoga Allah melindungi kita daripada segala penipuan sejarah mengenai pahlawan-pahlawan besar Islam.


"darulkautsar"



Read On 2 comments

DIRI: Saya di 'TAG!'

Monday, February 16, 2009
Dengan tidak beraral melintang, saya telah di 'tag' (saya pun tak faham apa itu) oleh saudari Intan Shafiqah yang merupakan seorang blogger terkenal masa kini. Untuk tidak menghampakan pihak beliau (walaupun terpaksa ni tau..huhu) saya akan senaraikan juga apa diminta mengikut apa yang terlintas difikiran ketika ini;

sebelum 2, here are the rules

-List these rules on your blog.
-Share 7 facts about yourself on your blog.
-Tell 6 unspectacular quirks of yours.
-Tag 7 people at the end of your post by leaving their names as well as links to their blogs.
-Link the person who tagged you.
-Leave a comment for each blogger.

7 facts about myself:- (yang sempat terlintas je la..)

1. Penyayang
2. Pemurah
3. Penyabar (selalu marah jugak..tapi dalam hati je..kalau marah saya akan diam)
4. Peminat bola sepak
5. Peminat politik (didedahkan sejak dari dalam buaian la katakan)
6. Peminat segala berkaitan persilatan
6. Pengkritik no.1!

6 unspectacular quirks of imran:-

1. Suka nyakat orang
2.
3. Mudah mengingat tapi mudah juga lupa (lebih-lebih lgi berkaitan peribadi)
4. Manja (hehe...;)
5. Sangat sensitif
6. Sangat menyayangi org lain lebih dari diri sendiri ;) (paling poyos)

7 people i want to tag...hmmm...:-

1. Intan Shafiqah (seorang yg sangat aktif di alam cyber ni) -dia ni yang bertanggungjawab tag saya!
2. Shafie (orang lama...warga emas 70 karat)
3. Heartyra (rakan silat yang paling lama di UM..kalau nak tengok gaya bahasa dia yang indah layarilah blog dia..huhu)
4.
5.
6.
7.

cukupla 2 kan..
Read On 2 comments

SILAT CEKAK HANAFI: Kursus Asas Kejurulatihan 2009

Sunday, February 15, 2009
" Sabar untuk mengharungi ujian hidup. Kerana Hidup ini adalah suatu perjuangan!"

Kata-kata dari Che Yusof bin Che Mat@ Uztaz Usop, Ahli Majlis Muafakat Tertinggi Silat Cekak Hanafi itu begitu meransang minat dan semangat kami untuk terus berjuang di dalam seni silat melayu ini. Ustaz Usop mengendalikan sesi ke-6 daripada keseluruhan 7 sesi yang disediakan. Kami didedahkan dengan pengertian sebenar Silat Cekak yang bukan hanya semata-mata silat tetapi merupakan badan dakwah mendidik masyarakat mentauhidkan Allah. Selain itu kaedah pengajaran secara sistematik, tatatertib sebagai tenaga pengajar dan pengamal silat cekak turut disentuh.


Saya bersama Ardi (wakil KUIS)

Kursus sehari ini adalah anjuran Akademi Silat Cekak Hanafi dan berlangsung di Bangunan Akademi yang bertempat di Lorong Kiri 2, Kg. Dato' Keramat, Kuala Lumpur. 'Kembali'nya kami ke bangunan ini juga begitu mengimbau nostalgia kerana pada satu ketika bangunan ini telah menjadi saksi keunggulan PSSCUHM mengatur langkah menjadi antara persatuan silat terbaik di Malaysia. Namun setelah berlaku krisis pada 2006, bangunan yang dulunya dikenali dengan nama Rumah Persatuan diselubungi awan hitam dan tidak lagi ceria seperti sebelumnya. Bangunan ini juga telah menjadi saksi PSSCUHM dihalau keluar oleh bekas rakan-rakan seperjuangannya sendiri.

Kini kami telah kembali. Kami tidak akan menoleh ke belakang lagi. Silat Cekak tidak pernah tidak pernah kenal erti berundur. kami akan terus melangkah mendepani masa. Walau terpaksa menongkah arus dan ranjau berduri. Silat ini perlu dihidupkan semula setelah berada di alam kegelapan hampir 2 tahun lamanya. 2 tahun yang banyak mengajar erti kecewaan, kesabaran, lawan serta kawan di dalam perjuangan.

Air yang kini mungkin titisan satu hari ianya akan menjadi denai. Tanah yang kini mungkin gersang, kami akan suburkan menghijau. Kami ahli Akademi Silat Cekak Hanafi akan bergerak searah, senafas seudara menjulang kembali Seni Silat Cekak di mata dunia!

*Kursus tidak berakhir disini. Untuk penyempurnaan, saya akan dihantar untuk menjalani 'praktikal' di Pusat Latihan Kota Damansara pada awal Mac depan.....Alhmdulillah Imran masih bersemangat....;)
Read On 3 comments

MOTIVASI: Petua Mencuci Hati

Thursday, February 12, 2009
Segala aspek kehidupan bermula daripada hati. Oleh itu di bawah ini terdapat beberapa cara bagaimana hendak mencuci hati.

1) Dirikan solat dan banyakkan berdoa - Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo'a turut katakan "Ya,Allah jadikan hatiku bersih"

2) Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 X sebelum tidur - Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.

3) Solat taubat - Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.

4) Membaca Al-Quran - Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi. Sekurang-kurangnya bacalah "Qulhu-allah" sebanyak 3X


5) Bermaaf-maafan sesama kawan setiap hari - Semasa meminta maaf perlu sebutkan kesalahan yang dilakukan.

6) Bisikan kepada diri perkara yang positif - Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. katakanlah "Aku sebenarnya... ... (perkara yang elok-elok belaka)

7) Program minda/cuci minda - Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati "Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif". Menurut kajian psikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya - CUBALAH!!

8) Berpuasa - Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara- perkara kejahatan.

9) Cuba ingat tentang mati -Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila-bila masa.


10)
Kekalkan wuduk


11) Bersedekah

12) Belanja orang makan.

13) Jaga makanan - jangan makan makanan yang shubhah

14) Berkawan dengan ulama

15) Berkawan dengan orang miskin (menginsafi)

16) Pesan pada orang, jadi baik

17) Menjaga pacaindera (mata, telinga, mulut... dsb), jangan dengar orang mengumpat."

hati ibarat cermin...jika kotor cermin itu, susah untuk dimasuki cahaya...begitulah perumpamaan nur iman kepada hati....renung-renungkan dan selamat beramal...;)
Read On 10 comments

ISU SEMASA: Derhaka: Antara Terengganu dan Perak

Wednesday, February 11, 2009
Penulis: www.syifaarjuna.blogspot.com

Situasi di Perak yang begitu bising berkenaan dengan isu penderhakaan Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin terhadap Sultan Perak membuat negara kita kalut dan haru biru. Dalam Buletin Utama TV3/4 hampir setiap malam disiarkan akan demontrasi dan himpunan rakyat yang marahkan Nizar di seluruh negara. Heboh, Nizar derhaka pada sultan..!

Teringat Arjuna kepada kes perlantikan MB Terengganu selepas pilihanraya ke 12 dulu. Ketika itu heboh sekejap bila Sultan Terengganu pada masa itu melantik Ahmad Said sebagai MB bukannya Idris Jusoh yang menjadi jangkaan banyak pihak. Bila pengisytiharan telah dibuat, maka berduyun-duyunlah penyokong Idris Jusoh membuat perarakan, himpunan dan demontrasi marahkan sultan sehingga ada yang mengibarkan kain rentang "Kami nak Idris natang(binatang).."!

Justeru, dengan tindakan melampau tersebut.. Adakah penyokong-penyokong Idris Jusoh itu tidak menderhaka kepada Sultan Terengganu? Sedangkan kata-kata tersebut boleh ditafsirkan sebagai menghina sultan dan boleh diambil tindakan dibawah Seksyen 4, Akta Hasutan 1948 kerana sultan yang melantik Ahmad Said sebagai MB Terengganu ketika itu.

Mengapa pula TV3/4 tidak memainkan isu penderhakaan kepada sultan ketika itu? Di mana NGO-NGO yang hobinya membuat laporan polis atas kebiadapan mereka yang menghina sultan dan orang Melayu waktu itu? GPMS pula dok kat mana?.. Huh.. Semuanya hipokrit..!

Jelas di sini bahawa isu derhaka Nizar kepada sultan Perak telah sengaja diperbesar-besarkan untuk menjatuhkan kewibawaan Nizar yang terbukti tidak bersalah. Sedangkan semua tahu Nizar bertindak mengikut lunas undang-undang dan telah meminta nasihat daripada pakar pengamal undang-undang dalam tindakannya itu. Justeru, siapa yang bersalah?.. 'Botak tengah' dan kroni-kroninya..!

Nizar, kami berdiri di belakang anda..! Jangan putus asa, inilah gula dalam perjuangan. Manis. Teramat manis bila hadirnya dugaan dalam perjuangan. Tabahkan diri anda. Walaupun anda kalah di dunia.. tidak semestinya anda kalah di akhirat. Jalan perjuangan ini masih jauh.. teramat jauh..! Allah bersama mu.. NIZAR..!


catatan saya: marilah sama-sama buka mata, buka hati...menilai...



Read On 6 comments

ISLAM: Hukum Orang Islam Menyambut Valentine's Day

Tuesday, February 10, 2009
Budaya dan amalan meraikan Valentine’s Day adalah dilarang sama sekali oleh agama Islam. Ini adalah kerana perayaan tersebut mengandungi unsur-unsur ritual dan kepercayaan agama Kristian serta amalannya yang bercampur baur dengan maksiat.

Perayaan Hari Kekasih atau Valentine’s Day mula membudayai di kalangan masyarakat kita khususnya generasi muda, sekitar akhir tahun 1980-an kesan dari budaya asing yang masuk melalui berbagai saluran media sama ada cetak mahupun elektronik. Perayaan ini dikenali sebagai perayaan hari berkasih sayang, yang menurut mereka adalah saat yang paling tepat untuk mengungkapkan perasaan cinta dan kasih sayang kepada orang yang dicintai atau dikasihi.

Antara contoh-contoh sambutan yang diadakan adalah melalui program TV yang ditayangkan atas nama “Valentine’s Special”. Di samping itu, jika kita tinjau persiapan yang dilakukan oleh golongan yang meraikannya, didapati mereka sibuk memilih kad-kad ucapan Hari Kekasih, menempah cenderahati, jambangan bunga dan tempahan untuk makan malam bagi merayakan hari tersebut bersama pasangan masing-masing. Pihak hotel pula menawarkan pakej-pakej istimewa seumpama ‘Makan Malam Hari Kekasih atau Hidangan Makan Malam Romantik’ dan sebagainya yang mempunyai tujuan untuk menyambut Hari Kekasih.

Namun, apa yang membimbangkan sejak kebelakangan ini ialah pesta perayaan Hari Kekasih dirayakan dengan pelbagai sambutan yang tidak bermoral seperti yang dilaporkan oleh media massa, mereka banyak menghabiskan malam perayaan tersebut dengan berpasang-pasangan serta bergaul bebas dan sebahagiannya diakhiri dengan pesta seks.

Sejarah Permulaan Valentine’s Day Kebanyakan masyarakat khususnya generasi muda pada hari ini, hanya mengikut apa sahaja yang datang dari barat tanpa mahu mempersoalkan sama ada Valentine’s Day wajar disambut ataupun tidak. Sebenarnya, Valentine’s Day mempunyai hubungan yang rapat dengan sejarah, tradisi dan ajaran Kristian.

Terdapat tiga pendapat mengenai asal-usul Valentine’s Day :

i. Valentine’s Day bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari sebagai hari cuti bagi orang Juno ratu kepada dewa-dewa dan dewi-dewi Rom. Hari berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi bagi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut, nama-nama gadis Rom ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di sepanjang pesta berlangsung.

ii. Pendapat kedua menyatakan pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine dibunuh kerana pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II (268-270M). Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat di dalam peperangan. Menyedari hakikat itu, St. Valentine dan St. Marius telah mengahwinkan orang-orang Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan tersebut, St. Valentine telah ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari dalam tahun 270 Masihi. Bagi memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati kematian St. Valentine sebagai upacara keagamaan.

iii. Pendapat ketiga mengatakan Valentine’s Day diambil daripada nama seorang paderi yang paling berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St. Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas Pope. Apabila St. Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya dari pengamal protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St. Valentine merupakan seorang Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan, lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Tindakan St. Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk St. Valentine sendiri.

Hujjah dan Dalil:

Islam sangat prihatin dan menghendaki supaya umatnya mempunyai identiti yang tersendiri dan berbeza dengan identiti umat yang lain. Kerana itu penghayatan akidah Islam, pelaksanaan ibadah, muamalah dan akhlak serta tradisi-tradisi yang ada pada umat Islam tidak boleh sama dan serupa dengan umat lain. Dalam erti kata lain umat Islam tidak boleh mencampur adukkan akidah dan peribadatan agamanya dengan akidah dan peribadatan agama lain. Hukum Islam jelas dalam hal melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W. : Bermaksud : “Sesiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia akan ditolak.” ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sebagai kesimpulannya, budaya dan amalan meraikan Valentine’s Day adalah dilarang sama sekali oleh agama Islam. Ini adalah kerana perayaan tersebut mengandungi unsur-unsur ritual dan kepercayaan agama Kristian serta amalannya yang bercampur baur dengan maksiat. Di dalam Islam, usaha untuk memupuk kasih sayang tidak semestinya dilakukan hanya pada hari tersebut sahaja kerana cinta merupakan satu proses yang berpanjangan dan berterusan sehingga seseorang menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Hai orang kafir. Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) apa yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagi aku agamaku.” (al-Kafirun ayat 1-6)

Demikian juga penampilan peribadi umat Islam tidak boleh sama dengan umat lain dalam hal-hal bersifat individu, misalnya dalam hal berpakaian, minuman, hiasan rumah, gaya hidup, penampilan dan sebagainya.

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 pada 21 Februari 2006 telah memutuskan bahawa : “Amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam”.

Rujukan:

Jabatan Mufti Negeri Selangor


Read On 3 comments

ISU SEMASA: Perak oh Perak...

Sunday, February 08, 2009
Rasanya tidak lengkap jika saya tidak memberikan sebarang komentar tentang isu semasa yang sedang hangat di dalam negara sekarang. Ini adalah kerana tulisan saya sebelum ini tentang isu semasa tergantung kepada keputusan Sultan Perak terhadap permintaan Menteri Besar, YAB Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk membubarkan DUN Perak.

Perkembangan menunjukkan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah tidak memperkenankan permintaan itu dan telah meminta Menteri Besar dan barisan Exconya meletakkan jawatan. Sebenarnya perkara itu tidaklah menjadi kesalahan pihak Sultan tetapi yang menjadi pertikaian di kalangan rakyat ialah tentang bidang kuasa Sultan terhadap perlucutan dan perlantikan jawatan Menteri Besar itu. Adakah Baginda berhak menggantikan Menteri Besar dengan cara yang sebegitu rupa ataupun perlu melalui proses Undi Tidak Percaya di dalam sidang DUN dan sebagainya.

Mengikut bacaan Sultan Perak yang kebetulan seiring dengan hasrat kem BN untuk membentuk kerajaan baru, semestinya keputusan itu menggembirakan mereka. Namun apa yang saya lihat, keresahan rakyat juga didasari dengan sebab yang kukuh. Bagi rakyat Perak, khususnya penyokong Pakatan Rakyat, mereka berhak merasa sedih dengan apa yang terjadi (kelakuan 3 Adun PR yang melompat) tetapi lebih terhiris jika ianya dibuat tidak mengikut saluran undang-undang yang betul apatah lagi disertai perkenan Sultan Perak yang disayangi mereka selama 25 tahun pemerintahan Baginda. Bukan kalah menang yang menjadi persoalan. Persoalannya adakah peralihan ini mengikut undang-undang? Saya yakin keadaan akan kembali menjadi tenang jika persoalan undang-undang ini diselesaikan.

Pelbagai tafsiran telah dinyatakan oleh pengamal undang-undang mahupun mereka yang tidak berkeahlian. Saya merasakan mahkamah adalah institusi yang paling bertanggungjawab untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku. Jika Sultan Perak di pihak yang benar, tunjukkan di mana hujahnya dan berikanlah kemenangan untuk memerintah secara sah kepada BN. Jika DS Nizar yang derhaka itu di pihak yang benar, kembalikan kuasa mentadbir kepada beliau (sekurang-kurangnya sehingga sidang DUN yang akan datang) atau Sultan perkenankanlah pembubaran DUN yang menjadi permintaan beliau dan majoriti rakyat negeri Perak. Kerana masing-masing ada bidang kuasa, jangan dilupa rakyat juga mempunyai bidang kuasa untuk menentukan pemerintah sebenar mereka melalui pilihanraya.

Berkenaan isu 'hukum' lompat parti, saya serahkan kepada pengusaha projek 16 Sep dan anda semua untuk menjawabnya. Tanpa menyebelahi mana-mana pihak, saya berpendirian double standard dalam hal ini. Bagi saya hijrah ke arah kebaikan itu suatu yang mulia, hijrah ke arah keburukan itu pula sesuatu yang zalim apatah lagi jika proses hijrah itu melibatkan rasuah dan penyelewengan.

Setakat ini coretan saya. sila rujuk websites berikut untuk mengetahui hukum melompat, penjelasan DS Nizar, DSAI, Tun Mahathir, Dr.Haron Din dan sebagainya.

http://anwaribrahimblog.com/
http://anwaribrahimblog.com/2009/02/08/perutusan-mb-perak-yab-dato-seri-ir-mohamad-nizar-jamaluddin/
http://www.zaharuddin.net/content/view/800/72/

http://saifulislam.com/?p=4633

http://drmaza.com/home/?p=550
http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=19285&Itemid=1

http://chedet.co.cc/chedetblog/2009/02/lompat-lagi.html


"Allahumma aarinal haqqan haqqa warzuqnattiba'ah, waarinal baatilan baatila warzuqnashtinabah"
Read On 1 comments

::cik im::

My photo
::ialah anak kelahiran Sandakan,Sabah::menetap di Tangkak,Johor::Syariah (Fiqh dan Usul), Akademi Pengajian Islam,Universiti Malaya::

::cik im di sini::


ShoutMix chat widget

::sahabat cik im::

::saudara cik im::

::pilihan cik im::

::pelawat cik im::