ISLAM: Wanita Bukan Berasal daripada Tulang Rusuk
Saturday, January 31, 2009Abu A`la al-Mawdudi menulis komentar bagi ayat pertama surah al-Nisa’ ini: “Umumnya para pentafsir al-Quran menyebutkan Hawa dicipta daripada tulang rusuk Adam dan Bible juga menyebutkan perkara yang sama. Kitab Talmud pula menambah bahawa Hawa diciptakan daripada tulung rusuk Adam yang ketiga belas. Tetapi al-Quran tidak menyentuh langsung perkara ini dan hadis-hadis yang dipetik untuk menyokong pandangan ini mempunyai makna yang berbeza dari yang sering difahami. Oleh itu, perkara yang terbaik ialah membiarkan perkara yang tidak dijelaskan seperti yang terdapat dalam al-Quran dan tidak perlu membuang masa bagi menentukan perinciannya.” (The Meaning of The Quran, jil. 2 hal. 94)
Menurut al-Mawdudi, hadis-hadis Rasulullah s.a.w. tidak menyatakan perkara yang sebagaimana yang tersebar dalam masyarakat Islam iaitu sebenarnya tidak ada satupun hadis baginda s.a.w yang menerangkan asal- usul kejadian Hawa.
Kaedah yang sebenar ialah tidak perlu memberatkan diri dalam menentukan perkara yang Allah s.w.t. tidak menyatakan dengan terang dan jelas. Contohnya, apabila Allah s.w.t. menyebutkan cerita tentang bahtera Nabi Nuh tidak perlu bagi kita untuk menentukan apakah saiz dan kapasitinya atau bahan buatannya. Perincian itu bukan menjadi maksud penurunan al-Quran. Apa yang penting ialah menjadikan peristiwa tersebut sebagai iktibar dab pengajaran. Dengan kata lain, al-Quran bukan kitab sejarah atau sains tetapi kitab yang memberi panduan hidup kepada manusia supaya selamat di dunia dan akhirat.
Dalam hal ini Shah Waliyullah menyebutkan dengan jelasnya. Kata beliau ketika mengulas kisah-kisah yang diceritakan oleh al-Quran: “Bukanlah maksud cerita-cerita di dalam al-Quran untuk mengetahui cerita itu sendiri. Maksud sebenarnya ialah supaya pembaca memikirkan betapa bahayanya syirik dan kemaksiatan serta hukuman Allah hasil dari perbuatan syirik itu di samping menenangkan hati orang-orang yang ikhlas dengan tibanya pertolongan dan perhatian Allah kepada mereka” (al-`Fawz al-Kabir Fi Usul al-Tafsir, hal. 138)
Mengapa Berlaku Kekeliruan Tentang Kejadian Hawa Ini?
Ada beberapa faktor mengapa berlaku kekeliruan dalam memahami makna sebenar ayat ini:
1. Berpegang Dengan Riwayat Israiliyyat
Fasal yang kedua di dalam Sifr al-Takwin menyebutkan Hawa diciptakan daripada tulang rusuk kiri Nabi Adam ketika baginda sedang tidur. (Tafsir al-Manar, jil. 4, hal. 268.) Disebabkan ada riwayat dalam kitab-kitab yang dahulu, ahli-ahli tafsir terus menganggap ia sebagai sokongan atau pentafsiran kepada al-Quran. Bagaimana mungkin ayat al-Quran ditafsirkan dengan riwayat Israiliyyat walhal penurunan kitab-kitab nabi terdahulu lebih awal lagi daripada al-Quran. Sepatutnya, kitab yang turun kemudianlah yang menjelaskan kitab-kitab yang terdahulu.
Hadis berkenaan perkara ini mempunyai beberapa versi. Antaranya ialah;
1. Perempuan itu diciptakan daripada tulang rusuk
2. Perempuan seperti tulang rusuk.
3. Perempuan adalah tulang rusuk.
2. Mengkhususkan Keumuman Hadis Tanpa Nas Yang Jelas
Antara kesilapan dan kekeliruan ialah mengkhususkan lafaz hadis yang menyebut perempuan kepada Hawa. Hadis-hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w. semuanya dengan jelas menyatakan perempuan dalam bentuk tunggal atau jamak dan tidak ada yang menyebutkan Hawa secara khusus. Jelasnya, para pentafsir menyangka wanita dalam hadis tersebut adalah Hawa tanpa berdasarkan kepada nas yang lain yang menentukan makna yang dikehendaki oleh Rasulullah s.a.w. itu.
3. Kesilapan Memahami Kata Sendi Nama Min
Walaupun perkataan min itu memberi erti “daripada”, “punca sesuatu perkara” atau “sebahagian”, kata sendi nama min juga mempunyai makna lain seperti “untuk menyatakan sebab” dan “menyatakan jenis sesuatu perkara”. Oleh itu, pemakaian huruf ini dalam bahasa Arab adalah luas dan tidak semestinya terikat dengan satu makna sahaja. (lihat, Ibn Hisyam, Mughni al-Labib, jil. 1, hal. 319)
Abu Muslim al-Asfahani mengatakan, maksud menciptakan daripadanya pasangannya ialah menciptakannya dari jenisnya. (lihat Hasyiah Zadah `Ala al-Baidhawi) Ini seperti ayat-ayat al-Quran berikut:
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Surah al-Rum: 21)
Dialah yang menciptakan langit dan bumi; Dia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri dan menjadikan dari jenis binatang-binatang ternak pasangan-pasangan (bagi bintang-binatang itu); dengan jalan yang demikian dikembangkanNya (zuriat keturunan) kamu semua. Tiada sesuatupun yang sebanding dengan (ZatNya, sifat-sifatNya dan pentadbiranNya) dan Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat. (Surah al-Syura: 11)
Dan Allah telah menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri dan menjadikan bagi kamu daripada pasangan-pasangan kamu anak-anak dan cucu dan memberikan rezki kepada kamu daripada benda-benda yang baik. (Surah al-Nahl: 72)
Ayat-ayat ini tidak boleh difahami sebagai isteri-isteri kita itu diciptakan daripada diri atau jasad kita tetapi mestilah difahami sebagai “mereka itu dari jenis yang sama dengan kita”.
Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul dari jenis kamu, yang amat berat baginya kesusahan kamu, sangat berharap akan keimanan kamu dan sangat kasih serta menyayangi kepada orang-orang yang beriman. (Surah al-Taubah:128)
Sesungguhnya Allah s.w.t. telah memberikan kurniaan yang besar kepada orang-orang yang beriman ketika Dia mengutuskan seorang rasul kepada mereka dari kalangan mereka sendiri, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan Kitab dan Hikmah. Sesungguhnya mereka sebelum itu berada di dalam kesesatan yang nyata. (Surah Ali Imran: 164.)
Kedua-dua ayat ini dengan jelasnya menyebutkan Rasulullah s.a.w. yang diutuskan kepada kita adalah dari kalangan manusia yang sama seperti kita bukan dari kalangan makhluk yang lain seperti malaikat.
Dengan itu, hadis ini ditafsirkan sebagai sifat dan perasaan perempuan itu daripada jenis yang mudah bengkok.
Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah menyakiti jirannya dan hendaklah dia menjaga wanita dengan sebaik-baiknya kerana sesungguhnya mereka diciptakan daripada tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok ialah yang paling atas, jika kamu berusaha untuk membetulkannya kamu akan mematahkannya, jika kamu terus biarkan begitu ia akan terus bengkok. Oleh itu terimalah pesanan supaya menjaga wanita-wanita dengan baik. (Hadis riwayat al-Bukhari no: 4890)
Perempuan itu seperti tulang rusuk. Jika kamu ingin memperbetulkannya kamu akan mematahkannya. (Hadis riwayat al-Bukhari4889).
Hadis ini telah dikemukakan oleh Imam al-Bukhari di dalam kitab al-Nikah bab berlembut dengan wanita. Tujuan al-Bukhari mengemukakan hadis ini ialah untuk menyatakan sifat fitrah wanita bukannya hakikat kejadian mereka. Apakah tubuh atau jasad wanita akan mudah patah apabila dikasari oleh orang lain? Tentu sekali tidak.
Sesungguhnya perempuan itu seperti tulang rusuk. Jika kamu ingin memperbetulkannya kamu akan mematahkannya. (Hadis riwayat Muslim no: 1468.)
Hadis ini lebih jelas lagi menyatakan sifat perempuan itu seperti tulang rusuk bukan diciptakan daripada tulang rusuk. Penggunakan partikel kaf ini bagi menyatakan persamaan antara perempuan dan tulang rusuk. Sementara ayat yang kedua merupakan sudut persamaan antara kedua-duanya.
Kecenderungan Imam al-Bukhari ketika membuat Tarjamatul Bab di dalam Sahihnya, iaitu:
Bab berlembut dengan wanita dan Sabda Nabi s.a.w.: Sebenarnya perempuan itu seperti tulang rusuk.
Dengan membuat tajuk begini Imam al-Bukhari tidaklah berpendapat bahawa Hawa itu dijadikan daripada tulang rusuk kiri Nabi Adam.
Begitu juga di dalam al-Adab al-Mufrad, Imam al-Bukhari mengemukakan riwayat:
Sesungguhnya perempuan itu tulang rusuk. Jika kamu mahu untuk meluruskannya maka kamu akan mematahkannya. (al-Adab al-Mufrad, no: 747)
Apakah hadis ini menyatakan hakikat perempuan itu sebenarnya tulang rusuk? Tentu sekali tidak. Hadis ini merupakah satu bentuk tasybih atau perumpamaan yang mempunyai nilai balaghah atau retorik yang tinggi di mana perkataan yang menyatakan persamaan tidak digunakan begitu juga sudut keserupaan tidak disertakan. Ayat yang kedua boleh juga dikatakan sebagai bukti bahawa perkataan tulang rusuk tidak difahami secara harfiah.
Sokongan Kepada Penafsiran Ini
Penafsiran min bukan dengan makna punca atau asal-usul sesuatu adalah sesuai hadis berikut:
Daripada Abu Qilabah daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w. berada dalam satu perjalanan. Ada seorang budak yang dikenali dengan Anjisyah menarik unta yang ditunggangi oleh wanita-wanita. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: Wahai Anjisyah! Perlahankanlah kerana yang kamu tarik itu ialah botol-botol kaca. Perawi, Abu Qilabah, berkata: Maksudnya ialah wanita-wanita. (Hadis riwayat al-Bukhari no: 5857.)
Rasulullah s.a.w. menggambarkan wanita sebagai golongan yang lembut dari segi perwatakan dan cukup sensitif. Baginda menyebutkan wanita seperti botol-botol kaca yang mudah pecah jika tidak dijaga dan diberi perhatian.
Kesimpulan
Hadis ini perlu difahami secara balaghah iaitu berdasarkan retorik bahasa Arab. Rasulullah s.a.w. menyampaikan pesanan ini dalam bentuk tasybih (perumpamaan) supaya maksud pesanan difahami dengan lebih mendalam. Tegasnya, supaya pendengar lebih peka dan prihatin bukan memberi perhatian kepada makna harfiah. Rasulullah s.a.w. membuat perumpamaan wanita seperti tulang rusuk bukan bermaksud untuk merendahkan kedudukan mereka tetapi sebagai peringatan kepada kaum lelaki supaya memberi perhatian kepada mereka, melayani mereka dengan baik, mendidik dan menjaga hati mereka. Sama seperti lelaki, wanita sama-sama berperanan untuk menegakkan agama dan menguruskan hal ehwal kehidupan.
Dengan pemahaman yang betul tentang hadis-hadis ini maka tertolaklah anggapan bahawa wanita adalah dari kelas kedua kerana kononnya dijadikan daripada orang lelaki iaitu Adam!
"DARULKAUTSAR"
DIRI: Pelancaran Gerakan Mansuhkan PPMSI
Saturday, January 31, 2009Selepas solat jamak di R&R Seremban, kami terus menuju ke SOGO. Tepat jam 3 kami sampai di sana. Namun suasana 'hangat' pelancaran gagal kami kesan seketika kerana kehadiran begitu ramai anggota polis yang beruniform dan berpakaian preman. Kami mencari-cari Dato' Dr. Hassan Ahmad dan Datuk A. Samad Said yang dikatakan akan hadir. Alhamdulillah kami ketemu juga dengan Dr. Hassan, namun beliau sedang lepak bersama teman-teman pejuang dalam 'majlis minum petang bersama wartawan sambil ditemani pegawai-pegawai keselamatan' di restoran Secret Recipe yang terletak di hadapan pintu masuk SOGO..huhu..rupa2nya majlis pelancaran telah 'selamat' berlangsung dengan 'aman' akibat campur tangan pihak polis..tahniah!
Begitulah sedikit bayangan ekspedisi kami hari ni..berjaya bertemu tokoh pejuang bahasa, tetapi gagal mendapatkan suasana 'hangat' majlis yang menjadi impian kami..apapun tahniah buat Dr Hassan, Dato' A.Samad Said dan rakan-rakan yang komited untuk terus berjuang memartabatkan Bahasa Melayu di tanah air tercinta ini!...
*teringat tadi terdengar sepasang kekasih berbual:
Perempuan: Bang, perhimpunan ape 2?
Lelaki (pandai): Pakatan Rakyat la 2..tak habis-habis nyusahkan orang!
kepada semua...selamat menilai....;)
"Bahasa Budaya Bangsa"
DUNIA: Anak Ulama Konservatif Syiah Dedahkan Ahmadinejad Berketurunan Yahudi.
Thursday, January 29, 2009Manusia yang terkenal dengan cadangan bersifat retorik untuk menghapuskan Israel dari peta dunia bernama Ahmadinejad ini dari datang kelompok bergaris keras - hardliners, menerima tamparan hebat dengan pendedahan dari anak ulama syiah dari kumpulan sederhana - konservatif, Dr. Mahdi Khazali yang menulis artikel tentang peranan Yahudi dalam kerajaan Iran. Dr. Khazali mendedahkan Ahmadinejad nama sebenarnya ialah Saburjian berasal keturunan Yahudi dari wilayah Aradan.
Berikut link-link sumber :
http://www.drkhazali.com/articles-and-mails/397-1387-11-06-07-27-46.html
http://www.guardian.co.uk/world/2005/jul/02/iran.roberttait
http://www.rferl.org/content/Were_Ahmadinejads_Ancestors_Jews_/1375318.html http://www.israelnationalnews.com/News/News.aspx/129649
http://tenteradajjal.blogspot.com/2009/01/berita-paling-sensasi-januari-2009.html
PENDIDIKAN: J-Qaf Lepasan SPM, Wajarkah?
Wednesday, January 28, 2009(penulis merupakan seorang guru Bahasa Inggeris yang telah berkhidmat selama 28 tahun di bidang perguruan)
ISU SEMASA: Kugan, Lompat, PPSMI, Israel..
Wednesday, January 28, 2009Kematian Kugan sangat menggemparkan. Bukan kerana dia suspek kes jenayah ataupun berketurunan India miskin, tetapi saya melihat 'pembunuhan' di bawah kawalan Polis sebagai isu utama. Sebuah Suruhanjaya Diraja perlu dibentuk segera untuk menyiasat perkara ini kerana kes ini melibatkan pihak polis dan rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap mereka. Jika pihak berkenaan tidak mengambil tindakan sewajarnya, saya bimbang perkara tidak diingini akan berlaku. Kes ini juga membuka fikiran rakyat tentang wibawa pihak kerajaan di dalam menegakkan keadilan tanpa mengira latar bangsa!
Kes kedua melibatkan bekas Adun UMNO yang melompat parti ke dalam PKR. Bagi BN, tindakan Adun Bota itu jelas memperlihatkan sifat tidak bermoral PR memancing Adun2 BN ke dalam PR. Apa yang saya ingin nyatakan untuk dinilai secara kristis, secara zahir umum melihat 'lompat'nya Adun tersebut bukan kerana paksaan atau rasuah daripada PR, tetapi secara sukarela (jika kerana rasuah, tentu sahabat kita daripada GERAK, U. Nazree Yunus sudah awal2 report kepada BPR bukan?).
Justeru hijrah ke arah kebaikan itu bukankah suatu yang baik?. Tetapi jika ianya mempunyai agenda di belakang tabir, kita serahkan sahaja kepada Allah untuk menghisabnya. Persepsi BN dan PR berbeza, yang penting bagi saya, jika ianya berpaksikan politik, tentu sahaja ada jurang yang bersifat anjal, asalkan keadilan itu ditegakkan!
Disamping 2 kes hangat tersebut, satu lagi isu besar tidak harus dikesampingkan. Pada hari Sabtu ni jam 3 petang, Gerakan Mansuhkan PPSMI akan 'melancarkan' gerakan mereka bagi mengembalikan pembelajaran matematik dan sains ke dalam bahasa Melayu. Uniknya gerakan 'menentang' dasar kerajaan ini bukan ditunjangi oleh ahli PR, tetapi oleh bekas Pengarah DBP sendiri iaitu Dato Dr. Hassan Ahmad sambil disokong oleh ahli-ahli akademik, pejuang-pejuang bahasa, NGO dan parti-parti politik. Isunya jelas, jika kerajaan berdegil untuk meneruskan dasar PPSMI, GMP akan mengadakan demonstrasi besar-besaran ala Bersih membawa keranda 'Bahasa Melayu" menandakan terkuburnya martabat bahasa ibunda di tanah air sendiri!
Dengan pergolakan politik dalam negara yang tidak berpenghujung, kita juga dikejutkan (walau tak terkejut) dengan pencabulan gencatan senjata oleh rejim laknatullah Israel untuk terus membedil bumi Gaza. Sayangnya, tangis air mata umat islam seluruh dunia tidak manghentikan kekejaman ini. Malangnya masih ada umat Islam yang tidak peka lantas seringan2nya bentuk bantuan iaitu "DOA" juga tidak dikirimkan untuk saudara seagama mereka. Ada juga suara sumbang yang menyalahkan roket-roket dan pejuang-pejuang berani mati yang dilancarkan Hamas. Semoga Allah mengampuni dosa mereka. Dengan nama Allah, walau tidak berpeluang syahid di bumi Gaza, diri ini menyokong penuh perang JIHAD Pergerakan HAMAS!! walau dengan apa cara sekalipun!!..mereka yang terkorban dimataku adalah SYUHADA!!
"Allahummansuril Mujahidin fi Kulli Makaan.........."
KAMPUS: Landskap Baru Politik Mahasiswa
Wednesday, January 28, 2009Secara statistik, Pro Mahasiswa Nasional kali ini berkubu di UM (20 kerusi), UIAM (17 kerusi), UPM (13 kerusi) , UKM (12 kerusi), UPSI (8 kerusi), UTM (10 kerusi) dan USM (6 kerusi) telah membentuk hampir 90 buah kerusi berbanding hanya kira-kira 45 kerusi pada tahun 2007.
Peningkatan jumlah kerusi sekali ganda ini merupakan penanda aras yang baik bagi menjawap persoalan sejauhmana respon golongan mahasiswa kepada arus perubahan politik yang dimulakan rakyat pada 8 Mac lepas.
Namun demikian, saya berpandangan - dalam situasi UIAM - situasi ‘won uncontested‘ di banyak fakulti terutamanya cawangannya di Kuantan dan juga kerusi Antarabangsa adalah satu situasi yang kurang sihat dari sudut pendidikan demokrasi kepada mahasiswa. Tambahan pula peratus keluar mengundi merosot hampir 3 % dalam keadaan sistem semudah e-voting telah diperkenalkan beberapa tahun. ‘Pesta demokrasi’ di Fakulti Undang-undang, Ekonomi dan Ilmu Wahyu seharusnya menjadi benchmark kepada makna demokrasi berpilihanraya yang sebenar kepada semua fakulti di UIAM.
Selain itu, saya juga mengharapkan kemenangan ini hendaklah memberikan makna kepada momentum gerakan Pro-Mahasiswa Nasional itu sendiri, apatah lagi dalam keadaan pindaan AUKU yang saya kira bakal memberi kesan besar kepada kebangkitan semula gerakan mahasiswa.
Orientasi gerakan bertunjangkan ‘kerajaan mahasiswa’ di UM dan UIAM serta ‘pembangkang’ yang kuat di UKM, UPM, UTM, USM dan UPSI semestinya menjadi landasan kukuh ke arah mengembalikan semula kegemilangan Badan Bertindak Mahasiswa Negara.
Taring ‘watchdog‘ BBMN dahulu sangat menakutkan sang Pemerintah apabila banyak isu-isu di sebalik tabir kampus yang tidak didedahkan media dan universiti sendiri akhirnya berjaya diselak dan disentak oleh BBMN, akibat penguasaan kampus-kampus utama oleh golongan Islamis ini.
Kita selaku kelompok terbesar gerakan anak muda kini tidak boleh lagi hanya menjadi tukang angguk dan pasukan sorak yang paling ramai dalam demonstrasi, tetapi kita juga mestilah menjadi towering figure yang mampu dirasai kehadirannya oleh muslimin dan dihormati hujahnya oleh massa.
"MAHASISWAKINI"
MOTIVASI: Renungan Buat Kaum Hawa..
Tuesday, January 27, 2009Ingatlah ada dua pilihan terbentang
Yang Pertama..
Kamu jadi seperti kelapa..
Mudah diperoleh..
Diparut..
Diperah..
Dan diambil santannya..
Lepas tu hampasnya dibuang…
Yang Kedua..
Kamu menjadi sebutir mutiara..
Berada di dasar lautan..
Tersimpan rapi..
Dilindungi kulit..
Bukan senang nak melihat..
Apa lagi mendapatkannya..
hanya orang yang bertuah..
Beruasaha menyelami dasar lautan..
Dapat memperolehnya..
Harganya mahal sekali..
Dan ia akan tersimpan selamanya..
Jadi..
Kamu pilihlah samada
Hendak menjadi kelapa ataupun mutiara..
Di sebalik santan..
menjadi penyedap makanan..
diperah segala kenikmatan..
dengan mudah jatuh menjadi titisan..
akhirnya habis kari dimakan..
pulut panggang sisa habis ditelan..
dan santan hilang tak jadi ingatan..
yang terasa lazat hanya kari dan pulut panggang..
orang tak kenang jasa santan..
*gambar hiasan
Mutiara..
tertanam di dasar yang paling dalam..
sukar andai mengharap jadi perhatian kerana
dilapisi kulit yang keras
menghadang..
namun kiranya ditemui insan..
akan menjadi permata hiasan..
terletak tinggi di cincin idaman..
atau di leher nan jinjang..
atau di lengan menawan..
makin lama mutiara tertanam..
makin tinggi nilaian..
OLEH ITU..TENTUKAN YANG MANA SATU
PILIHAN..
Menjadi santan..
mudah jadi perhatian..
tapi hanya sebentar jadi santapan..
kemudian hilang segala nikmat dan pujian..
Menjadi mutiara..
sukar ditemukan..
namun bila dihias indah gadis perawan..
hilang ia..tangisan mengiringi berzaman..
wallahua’lam..
*mya d amante
SILAT CEKAK HANAFI: Majlis Ijazah Asas
Tuesday, January 27, 20092. Tidak boleh menderhaka kepada Ibu
3. Tidak boleh menderhaka kepada Ayah
4. Tidak boleh bergaduh sesama Ahli
5. Tidak boleh mencaci Silat Melayu (asli) yang lain
Dengan pengijazahan ini bermakna para 37 penuntut baru telah sah bergelar ahli silat cekak dan berhak menerima silibus pembelajaran buah-buah silat.
Selain Ijazah Asas, turut diadakan Ijazah Tamat untuk 5 orang penuntut lama, tahniah diucapkan!!
Majlis berjalan dalam suasana muhibbah diakhiri dengan jamuan ringan untuk Ijazah Asas dan jamuan khas maraikan ahli tamat dan Guru Utama di Kolej ke-6 UM.
Pesanan saya untuk ahli tamat; jadilah seperti resmi padi.."makin berisi makin tunduk"..bersama kita SEGERAK SEARAH, SENAFAS SEUDARA untuk mendapatkan kembali PSSCUM yang menjadi nostalgia kita sejak awal 1970 an..
"Peneraju Warisan Mutlak"
SILAT CEKAK HANAFI: Hari Tenaga Pengajar 2009
Tuesday, January 27, 2009*tarikh di kamera silap setting
Perjalanan majlis telah mendapat liputan meluas media tempatan termasuk New Straist Times, Berita Harian, Kosmo dan lain-lain. PSSCUHM juga telah melancarkan tabung sumbangan khas untuk Gaza dan menawarkan khidmat ahlinya untuk membantu mangsa perang di sana.
Semoga sambutan kali ini memberikan semangat baru untuk Silat Cekak Hanafi kembali bangkit menggegar arena beladiri tanah air setelah dilanda TSUNAMI pada beberapa tahun lepas. Hidup Cekak Hanafi!
DIRI: Jelajah alam baru..BLOG!
Tuesday, January 27, 2009Hari ke-4 cuti, hari ke-2 saya berada di rumah..assignmen subjek Amalan Fatwa masih belum selesai, Paper Projek untuk sambungan bab 1 juga masih belum diusahakan..perhatian saya banyak tertumpu kepada "berkhidmat" untuk abah dan menceriakan rumah..juga kepada untuk bidang baru saya iaitu BLOG! :)
Pada asalnya saya kurang berminat untuk menulis di blog macam ni...alasannya "sibuk" dengan assigmen dan benda-benda lain, tapi lepas tengok ramai kawan-kawan mula menulis, terasa ketinggalan zaman plak kalau saya tak mencuba..selain itu, saya juga mula berfikir blog mungkin satu ruangan untuk orang lain mengenali diri saya dengan lebih dekat (perkembangan dan pemikiran) disamping ruangan untuk berkongsi maklumat berguna bersama mereka..
"aali Imran" yang bermaksud "keluarga Imran" saya pilih sebagai tema bersempena semangat kekeluargaan dan persaudaraan Islam yang saya cuba aplikasikan di dalam blog ini...
Blog ini masih baru dan memerlukan masa untuk menjadikannya benar-benar berkesan...jika diberikan kesempatan saya akan cuba memperbaiki setiap kelemahan dari masa ke semasa...
"Unzur ila ma qaala wala tanzur ila man qaala"
MOTIVASI: Imej Baru..
Tuesday, January 27, 2009Dalam pencarian menentukan arah tujuan
Wahai sekalian rakan
Pencarianmu itu
Telah dinyatakan tujuan kita diciptakan
Pemuda yang semangat jihadnya teguh di hati
Yang perlu hanya kesedaran
Banggalah dengan gayamu
ISLAM: Panduan Berinteraksi dengan Khilaf Ulama
Tuesday, January 27, 2009Tetapi, bagaimana pula jika antara jawapan para ulama, para mufti, atau para ustaz terdapat percanggahan antara satu sama lain? Yang mana satukah yang paling betul untuk dipegang?
Adakah boleh dia memilih mana-mana pendapat mengikut kesesuaian dirinya? Atau dia wajib memilih pendapat yang paling sahih? Jika wajib memilih pendapat paling sahih, bagaimana seorang awam mampu menilainya sebagai sahih?
Penyelesaian kepada persoalan ini ialah perlunya kita mengetahui kaedah berinteraksi dengan khilaf ulama. Kaedah-kaedah ini dibuat supaya orang awam tidak kebingunan dan akhirnya mengambil jalan mudah iaitu pilih mana-mana pendapat yang disukai. Memilih mana-mana pendapat tanpa ada prinsip adalah satu tindakan yang salah. Ia ditegah oleh sekalian ulama.
Ibn as-Solah berkata, “Ketahuilah, sesiapa yang memadai dalam fatwa dan amalannya dengan mengikuti satu-satu pendapat dalam suatu masalah, dan beramal dengan mana-mana pendapat yang disukai, tanpa melihat dan bergantung kepada kajian dalam mentarjihkannya, maka sesungguhnya dia adalah jahil dan melanggar ijmak”.
Manhaj yang perlu dilalui dalam menyaring dan memilih pendapat para ulama, ialah berpandukan kaedah-kaedah di bawah:
PERTAMA: Apabila terserlah bahawa satu-satu pendapat lebih kuat dan rajih berbanding pendapat-pendapat lain, berdasarkan dalil masing-masing, maka hendaklah memilih pendapat yang paling kuat dalilnya.
Bagi orang awam, dua orang mujtahid yang berselisih pendapat diibaratkan sebagai dua dalil yang bercanggahan. Sebagaimana seorang mujtahid wajib membuat pemilihan antara dalil-dalil, begitulah seorang awam mesti membuat pemilihan antara pendapat dua orang mujtahid.
Timbul persoalan, bukankah orang awam tidak mampu untuk mentarjih (memilih pendapat)? Ya, Orang awam tidak dituntut mentarjih seperti kaedah mujtahid mentarjih. Ia cukup rumit.
Orang awam hanya mentarjih antara dua pendapat yang muktabar. Lagipun, tidak benar mengatakan orang awam langsung tidak mempunyai kemampuan memilih atau memahami dalil.
Walaupun tidak menyamai taraf mufti dan mujtahid, sekurang-kurangnya dengan mendengar hujahan mereka, seorang awam dapat membuat keputusan pendapat mana yang dilihat kuat.
Jika tidak mampu untuk melihat kekuatan pendapat berdasarkan hujahan masing-masing, maka hendaklah berpindah kepada kaedah seterusnya.
KEDUA: Mengambil pendapat majoriti ulama, dan ditarjihkan oleh ramai ahli ilmu. Kerana dengan cara memilih pendapat kebanyakan ulama, kemungkinan untuk berlaku kesilapan adalah lebih tipis, berbanding dengan mengambil pendapat yang dipilih oleh segelintir atau beberapa ulama sahaja
.
Jika kaedah ini tidak dapat diaplikasi disebabkan bilangan yang sama atau hampir sama, sehingga tidak kelihatan salah satu pendapat mempunyai kelebihan dari sudut bilangan mujtahid yang mendokongnya, maka hendaklah berpindah kepada kaedah yang seterusnya.
KETIGA: Mengambil pendapat ulama yang dilihat lebih tinggi ilmunya dan kelihatan lebih warak dan bertaqwa daripada yang lain. Kerana taqwa kepada Allah adalah salah satu faktor mendapat petunjuk Allah kepada pendapat yang lebih benar.
Ketinggian ilmu dan ketaqwaan seseorang ulama boleh diketahui berdasarkan kemasyhurannya, rujukan penuntut ilmu terhadapnya, atau melalui pengalaman kita mendengar dia menjawab soalan dan menyebut hujahan.
Jika orang awam tidak mengetahui perihal keilmuan dan ketaqwaan antara muft-mufti, dan baginya mereka sama sahaja, maka hendaklah berpindah kepada kaedah seterusnya.
KEEMPAT: Mengambil pendapat yang paling berjaga-jaga atau paling selamat (Ihtiyath). Contohnya, mufti A berfatwa hukum sesuatu masalah ialah wajib, dan mufti B berfatwa hukumnya sunat. Berdasarkan kaedah ini, hendaklah memilih pendapat mufti A kerana ia lebih berjaga-jaga. Begitu juga antara fatwa haram dan harus, hendaklah memilih fatwa haram kerana lebih selamat.
Diriwayatkan bahawa Al-Laits bin Saad berkata, “Apabila datang perselisihan, kami mengambil yang paling ihtiyath (berjaga-jaga atau selamat)”.
Jika kaedah mengambil langkah jaga-jaga tidak boleh digunakan kerana tidak jelas, atau mengambil pendapat yang berjaga-jaga membawa masyaqqah, maka bolehlah berpindah kepada kaedah terakhir.
KELIMA: Mengambil pendapat yang paling mudah antara pendapat-pendapat yang muktabar. Kerana dimaklumi bahawa syariat Islam dibina di atas prinsip memudahkan dan tidak memberatkan umat. Banyak ayat-ayat Quran dan hadis yang menjelaskan prinsip ini. Nas-nas itu menjadi saksi bahawa boleh mengambil pendapat yang paling ringan dalam situasi kepayahan.
Tetapi kaedah memilih pendapat paling ringan hanya boleh diaplikasi setelah keempat-empat kaedah sebelum itu tidak dapat digunakan. Jangan terlalu mudah melangkah kaedah-kaedah tersebut untuk mencapai kaedah terakhir ini. Seseorang yang terlalu kerap menggunakan kaedah mengambil pendapat mudah, perlu memperbanyakkan muhasabah adakah dia benar-benar memahami manhaj ini?
PENUTUP:
Demikian manhaj yang perlu dilalui oleh seseorang yang bukan mujtahid dalam berinteraksi dengan kepelbagaian pendapat di hadapannya. Lima kaedah yang perlu diikuti, supaya pemilihan satu-satu pendapat adalah berdasarkan prinsip dan bukan hawa nafsu semata-mata.
Lima kaedah tersebut ialah:
i- Yang disokong oleh dalil.
ii- Yang disokong oleh majoriti.
iii- Yang lebih alim dan bertaqwa.
iv- Yang lebih berjaga-jaga.
v- Yang lebih ringan.
Wallahu A’lam.
Rujukan: - Ikhtilaf Al-Mufteen, oleh: as-Syeikh as- Syarif Hatim
DIRI: Blog ini...
Tuesday, January 27, 2009Assalamualaikum...
Blog ini dicipta untuk ahli keluarga, sahabat-sahabat, teman-teman dan seluruh pengunjung berkongsi pengalaman mengenai diri saya, mendapatkan artikel-artikel terpilih serta beberapa persoalan-persoalan hukum Islam untuk dikongsi bersama...
Blog ini tidak terikat dengan cabang informasi tertentu tetapi bersifat meluas asalkan dikira relevan dan memberi manfaat kepada pengunjung mengikut kaca mata penulis..
Segala kebaikan datang dari Allah dan keburukan datang dari diri saya sendiri walau hakikat sebenar tetap dari Tuhan Maha Kuasa..
Selamat melayari....blog ini.....