Alhamdulillah..
Friday, August 28, 2009Segala puji bagi Allah atas nikmat iman dan Islam. Syukur masih dikurniakan pentas untuk beramal ibadat di bulan penuh keberkatan ini.
Pengajian semakin meniti hari-hari sukar. Timbunan kerja yang masih belum beres, tuntutan proposal disertasi dan sebagainya menjadi satu cabaran yang memerlukan kecekalan untuk menempuhinya. Namun, alhamdulillah dengan izin Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, ada 'suntikan' khabar gembira yang pastinya akan membulatkan lagi tekad diri untuk lebih bersungguh di dalam pengajian...:)
Bicara tentang puasa 'orang bujang di perantauan' ini, rutin harian sahur sekitar jam 5.15 pagi. Jadual memasak sahur secara giliran menjadikan jalinan ukhwah di HHH terasa sungguh manis walaupun kekadang masakan chef2 kekurangan rasanya. Apapun, ini tetap proses tarbiah yang dikira positif untuk masa kelak. Berbuka pula tidak menjadi masalah, hidangan istimewa sentiasa menanti kehadiran kami di masjid-masjid berhampiran..:)
Selamat Meneruskan Ibadah Puasa Buat Seluruh Pengunjung Cik Im.
"MAN SOOMA RAMADHONA IIMANAN WAHTISABAN GHUFIRO LAHU MA TAQADDAMA MIN ZANBIHI"
Jangan Berlebih-Lebihan Dalam Menyatakan Hal Membatalkan Puasa
Tuesday, August 25, 2009Ulama terbilang dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.
Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para ulama dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang kurang sesuai. Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang tidak memerlukan perhatian begitu mendalam.
Masalah ini dilihat semakin bertambah, apabila ijtihad dalam bab ini semakin bercambah hingga menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan (awam) menjalankan ibadah ini dengan tenang kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa amat cabang (furu’) dan terlampau banyak. Ia menyebabkan orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa ini. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan ramadhan. (Taysir al-Fiqh – Fiqh As-Siyam, hlm 86-87)
Sebagai contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah :-
1) Raih Taqwa : Firman Allah yang mengarahkan kita berusaha meraih taqwa di dalam bulan ini. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.
2) Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran : Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat.
3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang ‘Confirmed’ : Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.
4) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang ‘Confirmed’: Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.
Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja. Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah. Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.
Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.
Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan. Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :-
1) Darah keluar dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.
Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar’ dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah di pinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida’ dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)
2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.
Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja’ atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.
3) Pil elak haid untuk puasa penuh :
Hukumnya : Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa.
4) Penyembur gas untuk pesakit lelah :
Hukumnya : Pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Tidak dinafikan ia satu isu yang amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.
Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Juali 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang.
Bagaimanapun para ulama masih bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat kerana Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)
5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:
Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, pain killer dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.
Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercangah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar’iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).
Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.
6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa dalah lebih baik.
Ia berdasarkan hadith : “Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).
7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat :
Hukumnya : Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramdhan. Pahala puasanya pula akan terhapus Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : “Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah” (Riwayat Ibn Hibban)
Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa
Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.
Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-
Ertinya : “Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya” (Riwayat Abu Daud, 2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)
Dan satu lagi adalah : -
Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :-
“aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)” (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi’ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)
Al-Qaradawi pula menambah “berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya ” (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )
Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari ramadhan.
9) Wanita tamat haid
Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.
Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)
Dalilnya adalah :-
Ertinya : “Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya” ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )
10) Keluar air mazi
Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?
Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.
Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai’e, Hasan albasri, As-Sya’bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.
11) Keluar air mani tanpa setubuh
Mencium dan menyentuh sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.
Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)
Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.
Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.
Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.
12) Menelan air liur
Hukum : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159)
13 ) Mandi
Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh. Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa.
14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.
Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.
Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Quddamah menolak pandagan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)
Zaharuddin.net
Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan
Wednesday, August 19, 2009Ramadhan menjelma lagi..
Menghimpun rahmat dan maghfirah..
Bertambah keberkatannya dengan amal ibadah..
Diri tunduk keinsafan dan rasa berdosa..
Bulan kemuliaan yang dikurniakan ini..
usah dibiarkan berkatnya berlalu sia-sia sahaja..
Ia hadir bagai air bah..membasuh daki dunia..
Sambutlah Ramadhan dengan jiwa terbuka
Seperti ketibaan orang yang kita cnta..
Dengan ucapan Ahlan Wasahlan..Marhaban ya Ramadhan..
Hati gembira..pintu terbuka..
Rahmat Allah yang Maha besar..
Di taburi mutiara hikmah al-Quran
Lantas dibelenggu nasfu dan syaitan..
Didatangkan pula lailatul qadar..
Pengobanan yang dibuat balasannya syurga..
Ahlan Wasahlan ya Ramadhan...
Alhamdulillah..kita hampir dipertemukan dengan bulan paling mulia di dalam ajaran suci Islam untuk sekelian kalinya. Bulan yang dianggap madrasah terbaik ini diharap mampu menjelmakan nilai mukmin sebenar di dalam hati setiap muslim.
Ramadhan kali ini disambut di saat seluruh dunia bertarung dengan ancaman kepupusan umat manusia. Pandemik, bencana alam dan sebagainya wajib dilihat sebagai BALA untuk peringatan kita. Ramadhan pentas terbaik memuhasabah diri agar jika tiba saat 'pergi tak kembali' nanti kita di dalam keadaan bersedia.
InsyaAllah esok (Jumaat), kami sekeluarga akan bertolak ke Kedah atas beberapa urusan. 1 Ramadhan akan disambut di
SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH PUASA KEPADA SEMUA MUSLIMIN DAN MUSLIMAT
AHLAN WA SAHLAN WA MARHABAN YA RAMADHAN
Halimah Ahmad : Satu Dalam Sejuta
Tuesday, August 18, 2009
Dari Blog : SU LPT, PSSCUHM
Salam buat semua pejuang agama dan anak watan. Pada hari Isnin 10/08/09 jam 1.15pm, kita menerima khabar duka bahawa insan yang amat kita kenali lagi hormati telah kembali ke Rahmahtullah setelah sekian lama beliau menyimpan segala derita yang ditanggung. Bagi setiap warga Cekak yang pernah mengambil ujian Sijil Rendah Persilatan, tesis Hanafi Hj Ahmad dan Silat Cekak pasti menjadi bahan rujukan utama, dan insan yang menukilkan catatan yang isinya bagaikan permata di hati warga Cekak kini telah kembali kehadrat Illahi selamanya..beliaulah Puan Hajah Halimah binti Ahmad.
Hanya insan biasa tapi akal fikirnya menyantun catatan kehidupan Pemimpin Agung yang bernama Ustaz Hanafi Hj. Ahmad jauh luarbiasa hasilnya. Sehingga kini itulah catatan kehidupan Ustaz Hanafi yang ada. Satu-satunya dan akan pasti kekal selama mana perjuangan ini kita pelihara dan teruskan. Selayaknya kehadiran beliau dalam arus perjuangan Silat Cekak ini hanya satu dalam sejuta.
Ketika berada di Kota Bahru pada 8/8/09 dalam usaha membuka kelas baru kita di KPTM Kota Bahru hati saya sentiasa teringatkan Kak Limah yang pada ketika itu agak kritikal di sebuah Hospital Swasta di Ibu Kota. Namun pada 10/08/09 jam 1.15pm panggilan yang saya terima daripada seorang sahabat setia adalah khabar yang telah diduga dan lafaz Inna Lillahi Wa innaa Lillahi Rajiun terus saya ucapkan dan Al-Fatihah saya hadiahkan. Sesungguhnya, kita adalah milik Allah Yang Esa dan kepadaNYA kita kembali.
Ketika meziarahi beliau pada Khamis 6/8/09 terasa pilu dihati bila mengenang segala jasa dan budi baik beliau yang tidak pernah padam. Masih teringat pada tahun 1999, saya pernah hadir ke pejabat beliau di DBP dengan niat memohon jasa baik beliau untuk membeli Kitab Perundangan Islam tulisan Prof Dr Wahbah Az Zuhaili berjumlah 6 jilid. Beliau cukup bersahaja dan tiada berkira dalam membantu saya pada ketika itu biarpun saya hanya baru mengenali beliau. Masih saya ingat ketika itu Kak Limah bertanya, ”Lan, engkau ni belajar Silat Cekak masa Ustaz Hanafi ke?” Saya kata, ”Saya tak sempat Kak Limah, setahun Ustaz meninggal baru saya belajar”. ”Tapi cara engkau bercerita mengenai Ustaz macam engkau kenal dia” ujar beliau. Saya senyum dan menjawab, ”Kalau Kak Limah nak tahu puncanya saya boleh bercerita mengenai Ustaz kerana saya baca thesis yang Kak Limah tulis, Hanafi Hj Ahmad dan Silat Cekak. Cara hurai yang Kak Limah bentang cukup bersahaja dan senang di baca”. Beliau terdiam dan tersenyum puas
.
Sememangnya bagi warga Cekak, biar apa pun pendirian kita thesis Hanafi Hj Ahmad dan Silat Cekak amat mendalam dan besar kesannya di jiwa kita. Itulah jasa Kak Limah yang tidak dapat kita nafikan dan ketepikan. Malah lima tahun yang lalu Kak Limah pernah menyuarakan hasratnya untuk menyambung thesis tersebut berdasarkan catatan dan rakaman temubual dengan Ustaz Hanafi yang masih ada di dalam simpanan beliau. Namun kini hasrat itu terpadam seketika. Mungkin suatu masa nanti ada waris beliau yang dapat melanjutkan usaha murni tersebut demi perjuangan Silat Cekak Hanafi yang kita kasihi ini.
Saya percaya dipihak Tuan Hj Md Nasir dan anak-anak kehilangan Kak Limah amat terasa. Malah saya yang mengenali beliau sering teringat-ingat gurau senda dan keramahan Kak Limah yang sukar ditandingi...itulah kelebihan beliau. Sikap bersahaja dan mudah mesra itu menjadikan beliau amat disenangi dan dihormati.
Sudah pasti pada usia beliau yang relatifnya muda untuk pergi meninggalkan kita amat terkesan dijiwa kita. Tapi itulah ketentuan Allah Yang Maha Pengasih. Semuanya ini adalah peringatan kepada kita yang hidup bahawa ajal dan hidup itu milik DIA Yang Maha Berkuasa. DIA lah Al Khalik penentu segala urusan lagi Maha Bijaksana atur susunNya. Mungkin kita merindu beliau tapi rindu Allah mengatasi segalanya. Mungkin kita mengasihi beliau tapi cinta Allah melangkaui kasih dan sayang kita. Itulah hakikatnya dan ianya bermakna hidup harus kita teruskan sehingga tiba masa kita pula untuk sujud dan mengadap PENCINTA ABADI.
Biar pun usianya pendek dalam bilangan, tetapi panjang dalam kenangan. Tidak bermakna umur yang pendek maka cetek jua amalannya. Jika banyak sumbangan dan budi baik beliau sepanjang hayatnya maka pasti panjang kenangan indahnya dan pasti jua harum namanya di mata manusia juga kehadrat Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Mengetahui. Yang pastinya catatan Hanafi Hj Ahmad dan Silat Cekak adalah sumbangan besar beliau yang tiada tandingan dan tiada jua gantinya.
Moga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya dan ditempat disamping makam kekasihNYA. Kepada kekasih dan buah hati yang ditinggalkan, beliau hanya hilang di mata tapi tetap hidup subur dalam ingatan dan kenangan. Segala jasanya akan tetap hidup selama mana perjuangan silat ini yang diusahakan bersama oleh Almarhum Ustaz Hanafi kita bela dan martabatkan.
Subhanallah, Alhamdu Lillah, Allahu Akhbar.
Al-Fatihah dan Al-Ikhlas kita hadiahkan kepada Allahyaharmah Puan Hajah Halimah binti Ahmad. Pantun karangan Ahmad Babji ini saya hulurkan sebagai tanda kenangan dan terima kasih daripada seluruh warga Cekak atas jasa membina dan memperjuangkan hasrat murni lagi suci ALMARHUM USTAZ HANAFI BIN HJ AHMAD.
SARANG BALAM DI PANGKAL TEBU,
TEMPAT NURI MENCARI MAKAN,
LAKSANA AYAM KEHILANGAN IBU,
BEGITULAH KAMI KEHILANGAN PUAN.
TEMPAT NURI MENCARI MAKAN,
CELAH MENCELAH PUCUK KELADI,
BEGITULAH KAMI KEHILANGAN PUAN,
YANG BANYAK MENANAM BUDI,
CELAH MENCELAH PUCUK KELADI,
DITEPI PAYA HUJUNG BATASNYA,
YANG BANYAK MENANAM BUDI,
TAK UPAYA KAMI MEMBALASNYA,
DITEPI PAYA HUJUNG BATASNYA,
TEBU TUA DIKERAT-KERAT,
TAK UPAYA KAMI MEMBALASNYA,
DARI DUNIA HINGGA AKHIRAT.
TEBU TUA DIKERAT-KERAT,
PUCUKNYA ADA DIPANGKAL PINANG,
DARI DUNIA HINGGA AKHIRAT,
SEUMUR HIDUP TERKENANG-KENANG.
Salam dan Al-Fatihah.
Wanita Memakai Stokin Di dalam Rumah
Monday, August 17, 2009Dalam Al-Mufassal Dr Abb Karim Zaidan ada disebutkan satu bab khas mengenai kaki dengan tajuknya : “Adakah kaki wanita dikira sebagai aurat?” (Rujuk Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar ah wa al-bait al-Muslim fi al-Syari’ati al-Islamiah , Jilid 3 , masalah 2282 , ms.198)
Beliau mengatakan bahawa masalah menganggap kaki wanita sebagai aurat atau tidak adalah perkara yang menjadi khilaf dikalangan ulama mazhab.Ringkasnya :
1. Mazhab Hanafi mengatakan kaki wanita adalah tidak termasuk dalam lingkungan aurat.
2. Mazhab Maliki pula terbahagi kepada 2. Sebahagian ulamanya mengatakan tidak aurat dan sebahagian yang lain mengatakan aurat.Walaubagaimana pun pendapat yang muktamad dalam mazhab maliki ialah kaki bukan aurat.
3. Mazhab Syafi’e pula mengatakan ianya sebagai aurat.
4. Mazhab Hambali pula menghukumkan kaki wanita sebagai aurat.
Pendapat yang Rajih :
Pendapat yang dipilih oleh As-Syaikh Dr.Abd Karim Zaidan dalam Ensiklopedianya tersebut ialah kaki wanita dikira sebagai aurat dan wajiblah bagi setiap wanita itu untuk menutupnya , kecuali jika terdapatnya hajat atau keperluan yang menyukarkan wanita tersebut untuk menutup kakinya, maka dalam hal ini ianya dibolehkan untuk tidak menutupnya.
Dalam hal , tetamu yang datang berkunjung ke rumah , adalah lebih baik jika dapat diusahakan untuk ditutup kaki tersebut dengan apa cara sekali pun , samada dengan memakai stokin atau pun melabuhkan pakaian / kain hingga menutupi kaki tersebut.Ini kerana pada pandangan kami , kami tidak nampak sebarang masyaqqah yang menjadi penghalang daripada menutup kaki tersebut , yang mana berbeza keadaannya dengan wanita yang menguruskan kerja-kerja dapur atau kenduri-kendara yang sememangnya mempunyai masyaqqah yang menyukarkan.
Konvokesyen Sarjana Muda Syariah
Wednesday, August 12, 2009
- Selamat juga bergraduasi untuk ijazah Sarjana Muda. Upacara pengurniaan disempurnakan oleh Raja Dr. Nazrin Shah.
- Tahniah kepada rakan-rakan seperjuangan di Jabatan Fiqh dan Usul dan rakan-rakan aliran ilmu yang lain....
- Jutaan terima kasih kepada mak abah yang bersusah payah datang dari jauh untuk meraikan diri ini..walaupun baru konvo degree, terasa sangat-sangat dihargai...terasa juga beban harapan yang disandarkan....
- Juga buat Dayah n Adan, ustaz Anuar Ramli, rakan-rakan Halal Haram House dan tidak lupa juga rakan-rakan serta adik-adik silat yang sangt baik hati...syukran jazilan ala kulli hal...
Al-Fatihah Buat Tokyam Tersayang
Sunday, August 09, 2009Tanggal 16 Syaaban 1430h pulangnya tokyam tersayang kerahmatullah. Tokyam yang menderita pelbagai jenis penyakit akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada petang Jumaat di rumah maklong di Padang Serai, Kedah.
Mengimbau kenangan, tokyam adalah atok yang paling rapat dengan aku. aku rapat dengan tokyam kerana pada usia kecil aku tinggal bersama tpkyam di kampung. Tokyam suka memasakkan aku roti jala sambal telur, kuih lopes dan bubur warna-warni yang memang menjadi kegemaran sejak kecil. Sehingga besar pun, jika aku katakan teringin sesuatu, pasti tokyam akan berusaha menyediakannya. Masakan tokyam bagi aku memang tiada tandingannya.
Namun sudah agak lama aku tidak berbual mesra dengan tokyam. Sejak beliau jatuh sakit beberapa tahun lalu, tokyam sudah jarang sangat bercakap. Aku juga sedikit terkilan tidak dapat bersama-sama beliau saat terakhir umurnya. Kalimah terakhir yang aku dengar daripada mulutnya ialah pada beberapa bulan lepas apabila ditanyakan oleh emakku adakah beliau masih mengenail siapa orang di hadapannya, tokyam menjawab " kenal ai....imran...". kalimah itu sangat menyentuh hati kerana beliau memang sudah tidak mahu bercakap dengan sesiapaun saat itu...
Terlalu banyak kenanganku bersama tokyam. aku digelar cucu kesayangan beliau sehingga ada pakcik makcik yang cemburu dengan status itu. tokyam memang atok yang sangat baik. Aku tidak akan mampu melupakan saat-saat indah bersama beliau. saat aku mengucupi beliau buat kali keakhir, aku teringat kata-kata yang selalu diulang beliau satu masa dulu "im....atok doakan im jadi seorang ulama satu hari nanti...jadi orang yang berguna kepada masyarakat.." aku menahan sebak waktu itu....
Semoga roh Almarhumah Hajjah Asiah binti Mohd Tahir dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman...ALLAHUMMAGFIRLAHA WARHAMHA WA'AFIHA WA'FUANHA...