Definisi ‘Urf dan Adat
Istilah ‘urf mempunyai hubungan yang erat dengan perkataan adat. Para sarjana hukum Islam (usuliyyin) hampir tidak membezakan di antara kedua-duanya. Kedua-dua istilah ini merupakan budaya. Dalam penggunaan bahasa Melayu istilah ‘urf jarang diguna pakai berbanding dengan perkataan adat.
Secara etimologinya perkataan ‘urf berasal dari perkataan Arab ‘arafa yang bererti mengetahui. Orang pertama dikatakan menentukan takrif ‘urf ialah A-Nasafi. Al-Jurjani di dalam kamus istilahnya al-Ta‘rifat, menjelaskan istilah ‘urf sebagai perbuatan atau kepercayaan dalam mana orang berpegang teguh dengan persetujuan kekuatan mental dan tabiat semula jadi mereka juga mahu menerimanya sebagai benar.
‘Urf dan adat merupakan istilah yang sinonim dan identik dari segi praktiknya walaupun terdapat perbezaan dari segi etimologinya dalam penggunaan bahasa Arab dan Melayu. Selaras dengan pandangan Ibn ‘Abidin (1252H) dalam artikelnya Nasyr al-‘Urf fi Bina’ Ba‘d al-Ahkam ‘ala al-‘Urf yang menyamakan kedua-dua instrumen tersebut.
Menurut Imam al-Ghazali, adat atau ‘urf diertikan sebagai sesuatu yang telah mantap dalam jiwa manusia dari segi akal fikiran serta diterima oleh tabiat yang sejahtera atau sesuatu yang menjadi kebiasaan manusia yang mempunyai tabiat-tabiat yang sejahtera lahir daripada penghuni sebuah negeri Islam dengan syarat ia tidak berlawanan dengan nas syarak.
Kedudukan ‘Urf dan Adat Dalam Syariat Islam
“Urf juga dikenali dengan adat telah ditakrifkan dengan “sesuatu yang telah menjadi kebiasaan oleh manusia dan mematuhinya dalam urusan kehidupan harian sehingga sebati dengan mereka serta menjadi suatu perkara yang lumrah samada ‘urf itu qawli atau ‘amali, ‘amm atau khass, sahih atau fasid,”.
Syariat Islam telah meninggalkan banyak perkara yang tidak ditentukan batas sempadan secara jelas, bahkan sengaja membiarkannya kepada ‘urf untuk menghukum, menentukan batas sempadan dan perinciannya.
Justeru itu wujud satu kaedah fiqhiyyah yang diterima pakai oleh semua ulama’ iaitu العادة محكمة yang bermaksud adat yang am dan khas akan dijadikan rujukan atau hakam, bagi menentukan hukum syarak khususnya ketika berlaku perselisihan kerana ia juga merupakan asas pembinaan hukum-hukum yang tidak dinaskan. Tetapi apabila ada nas maka wajib mengamalkan nas itu dan tidak harus meninggalkan nas dengan mengamalkan adat.
Walau bagaimanapun, dalam membina atau mempengaruhi pembinaan budaya baru, hukum Islam tidak bersikap menolak semua sekali budaya yang sudah dihayati masyarakat. Malah, kelaziman atau ‘urf iaitu suatu asas budaya yang paling kukuh telah diterima sebagai salah satu sumber hukum Islam.
‘Urf dihuraikan sebagai kelaziman yang diterima umum dan berakar umbi dalam masyarakat. Ia boleh terbentuk dalam apa sahaja sifat manusia baik kata-kata, perbuatan, pandangan akal, perasaan atau seumpamanya. Kata ‘Abd Allah Ibn Ahmad al-Nasafi,’urf ialah suatu kebiasaan hidup yang diterima akal dan tabiat yang murni.
Syarat-Syarat Pengambilkiraan ‘Urf dan Adat
Sarjana usul telah menggariskan beberapa syarat dalam pengambilkiraan ‘urf dan adat sebagai asas hukum. Ini bagi memastikan nilai yang diterimapakai tersebut tidak bertentangan dengan objektif syariah untuk merealisasikan dan mengoptimumkan segala kebaikan dan meminimumkan kemudharatan. Syarat-syarat tersebut adalah;
i. ‘rf itu tidak berlawanan dengan nass syara‘, sebaliknya jika ia berlawanan dengan nass, maka ‘urf tersebut tidak boleh diambilkira dan diamalkan seperti transaksi berunsur riba, pendedahan aurat dan sebagainya.
ii. ‘Urf itu telah diamalkan secara menyeluruh dan meluas oleh masyarakat. Kalaupun ada yang tidak mengamalkannya hanya dalam jumlah yang minimum.
iii. ‘Urf atau adat yang akan dirujuk dalam sesuatu tindakan itu sudah wujud ketika hendak dilakukan tindakan itu. Ertinya, ‘urf itu telah mendahului waktu tindakan dan berterusan sehingga masa berlakunya tindakan itu.
iv. Tidak wujud sesuatu perkataan atau perbuatan yang berterus terang menyalahi ‘urf. Maka tidak harus berpegang kepada ‘urf sekiranya terdapat perkataan dan perbuatan yang mengetepikan penggunaan ‘urf
dan adat
v. Pengamalan ‘urf tersebut mestilah umum merangkumi seluruh negara. Yang zahir pada kaitan ini hanya khusus kepada ‘urf yang membataskan yang umum dan mengikatkan yang mutlak.
vi. ‘Urf itu hendaklah dimestikan (mulzaman) di mana wajib beramal dengannya pada pandangan manusia. Syarat ini terdapat dalam fiqh Maliki dan Hanafi.
Post a Comment