1. Buat Kajian Tentang Syarikat/Majikan.
Buat kajian tentang latar belakang syarikat kerana besar kemungkinan penemuduga akan bertanya kepada anda sejauh mana anda tahu tentang syarikat mereka. Ini penting kerana ia menunjukkan sama ada kita benar benar berminat untuk berkerja di syarikat tersebut atau kita sekadar ambil mudah sahaja. Pada zaman internet ini, amat mudah untuk kita mendapatkan maklumat berkenaan syarikat syarikat tersebut melalui laman web mereka.
Anda juga perlu ambil tahu sebanyak mungkin berkenaan dengan berita berita terkini yang berkaitan dengan syarikat tersebut. Sebagai contoh adakah anda membaca berita 2, 3 hari lepas bahawa syarikat yang anda pohon bakal bergabung dengan syarikat yang lain dan bakal mengurangkan jumlah pekerja? Jika ya, maka anda berada dalam situasi yang tidak bagus. Yalah, takkan bila baru masuk kerja sudah nak kena diberhentikan? Malang betul.
2. Buat Kajian Tentang Jawatan Kosong Yang Dipohon.
Pastikan anda mendalami tentang jawatan yang dipohon terutama tugas tugas utama yang perlu dilakukan apabila anda menjawat jawatan berkenaan. Sebagai contoh, jika jawatan yang dipohon ialah Pembantu Akaun, senaraikan rutin rutin tugasan yang mungkin anda akan lakukan jika diterima menjadi seorang Pembantu Akaun di syarikat tersebut. Anda mungkin tidak mengetahui kesemuanya, tetapi apa yang anda boleh lakukan ialah dengan menyenaraikan sebanyak mungkin senarai tugasan dan memilih beberapa yang anda fikirkan paling tepat.
Memang amat memalukan jika kita sendiri tidak tahu apakah tugas tugas yang bakal kita lakukan untuk jawatan yang bakal kita pegangi. Pasti si penemuduga juga akan jatuh mood apabila mengetahui anda tidak cukup serius untuk mengambil tahu tentang selok belok jawatan yang kita pohon.
3. Sediakan Senarai Contoh Soalan Temuduga Yang Mungkin Ditanya Kepada Anda
Banyak sumber yang ada menyediakan senarai contoh soalan temuduga yang boleh anda dapati. Salah satu daripadanya ialah dari laman web SKOR Career.
Selain daripada contoh soalan temuduga yang ditulis dalam Bahasa Inggeris, anda juga akan mendapat manfaat berkenaan dengan tip tip serta panduan menghadiri temuduga.
4. Berlatih Hadiri Temuduga Secara Praktikal dan Role Play.
Tiada gunanya kalau kita sekadar mengutip contoh contoh soalan temuduga jika sekiranya kita tidak mempraktikkannya secara praktikal atau role play. Role play di sini bermakna anda mencari seorang pasangan untuk memainkan peranan sebagai penemuduga, manakala anda menjadi calon pekerja. Si penemuduga ini akan bertanyakan soalan kepada anda berdasarkan kepada soalan soalan yang telah anda kumpul dan anda berlatih menjawab soalan soalan tersebut satu demi satu.
Setelah temuduga role play selesai, tibalah masa untuk anda membuat kaji selidik ke atas persembahan anda dalam temuduga tadi. Dapatkan pendapat daripada pasangan anda tentang prestasi temuduga anda, buat analisa terhadap kelemahan anda, dan cuba perbaiki kelemahan itu. Ulang role play sehingga anda dan pasangan anda berasa puas hati. Insyaallah, dengan melakukan role play ini berulang kali, keyakinan anda akan bertambah tinggi. Perasaan gemuruh anda akan berkurang.
5. Cari Maklumat Tentang Penemuduga
Sebaik baiknya cari maklumat tentang penemuduga anda. Anda tidaklah perlu mendapatkan nama mereka, tetapi seboleh bolehnya cuba siasat apakah jawatan yang dipegang oleh si penemuduga tersebut. Ini kerana adalah penting untuk mengetahui penemuduga itu datang dari bahagian mana sama ada dari bahagian Sumber Manusia atau bahagian yang berkaitan dengan jawatan anda. Ini kerana jika penemuduga datang dari bahagian Sumber Manusia, soalan yang bakal dikemukan lebih bersifat menganalisa sifat sifat seperti kemahiran berkomunisi, membuat analisa serta personaliti anda. Jika temuduga melibatkan bakal bos anda, maka soalan temuduga akan digabungkan untuk mengkaji sikap anda serta kemahiran dan pengetahuan anda dalam bidang yang diperlukan oleh jawatan yang dipohon.
6. Ambil tahu jenis temuduga yang bakal anda lalui.
Adalah penting untuk anda mengetahui jenis temuduga yang bakal anda hadiri untuk membolehkan anda membuat persediaan yang rapi dan secukupnya. Persediaan yang rapi membolehkan anda memposisikan diri anda untuk memberi kelebihan berbanding calon temuduga lain.
Adakah temuduga anda merupakan temuduga secara perseorangan (1 to 1)? Adakah ia temuduga secara berpanel dan berkumpulan? Persediaan untuk menghadapi kedua dua jenis temuduga ini adalah berbeza. Jika temuduga itu adalah secara perseorangan, persediaan untuk menghadapinya lebih mudah. Ini kerana temuduga secara perseorangan tidak akan berlangsung terlalu lama. Paling lama pun dalam 2-3 jam. Jadi kita boleh menumpukan persediaan kita terhadap topik yang bakal dibincangkan. Manakala temuduga secara berkumpulan akan membabitkan soalan dalam pelbagai aspek, terutamanya jika temuduga berkumpulan itu memakan masa yang lama dan membabitkan beberapa sesi temuduga.
7. Senaraikan soalan untuk ditanya kepada majikan.
Temuduga kerja bukanlah sejenis interaksi yang hanya membenarkan majikan bertanyakan soalan kepada calon pekerja sahaja. Ia adalah 2-way street. Ini bermakna, selain daripada menjawab soalan, anda juga boleh menanyakan soalan kepada mereka. Ini penting kerana, walaupun mereka menyukai kita dan berhasrat untuk melantik kita memegang jawatan kosong yang ada, keputusan samaada untuk bersetuju berkerja dengan mereka terletak kepada kita. Jika kita mendapati syarikat tersebut tidak sesuai dengan kita berdasarkan beberapa kriteria yang tertentu, maka kita berhak untuk menolak tawaran kerja tersebut.
Jadi ambillah kesempatan ini untuk bertanyakan kepada majikan tersebut tentang beberapa perkara. Contohnya:
- Bagaimanakah potensi saya untuk berkembang di syarikat ini jika saya bekerja di sini? Adakah syarikat ini mempunyai perancangan yang teliti untuk semua pekerja mereka?
- Saya ingin tahu apakan isu isu serta cabaran yang perlu dipikul jika saya memegang jawatan ini.
- Boleh saya tahu kenapa jawatan ini kosong? Adakah ia jawatan yang baru diterbitkan, atau seseorang telah meninggalkan jawatan ini lalu ia menjadi kosong?
Inilah masanya untuk anda mengetahui lebih lanjut tentang maklumat syarikat tersebut yang selama ini anda perlukan jawapan. Sesi temuduga adalah sesi ringkas yang berakhir dalam beberapa jam, tetapi apabila anda bekerja di syarikat tersebut, berkemungkinan anda akan terus bekerja selama 4-5 tahun. Jadi gunakan kesempatan pada waktu temuduga dengan sebaik mungkin.
8. Sediakan resume serta salinan dokumen lain yang lengkap.
Saya cukup kecewa apabila calon temuduga gagal menyediakan dokumen penting seperti resume dan juga salinan fotokopi dokumen lain seperti keputusan peperiksaan dan transkrip. Lebih mengecewakan apabila saya sendiri memberi pesan kepada mereka untuk membawa item yang diperlukan. Kadang kadang mereka datang sambil lewa membawa thumb drive yang mengandungi resume mereka dan pandai pandai pula menyuruh penemuduga untuk mencetak resume mereka. Cara ini sungguh tidak sopan dan biadap.
Sebenarnya, ini jelas menggambarkan sikap atau attitude calon pekerja itu sendiri. Jika mereka tidak serius dalam memohon pekerjaan dan menghadiri temuduga, mereka juga tidak serius dalam bekerja. Jadi penyelesaian kepada masalah ini adalah mudah. Saya akan menjalankan sesi temuduga yang ringkas, beri nasihat kepada calon tersebut dan akan menyuruh mereka pulang. Mereka tidak akan disenarai pendekkan untuk jawatan tersebut, tetapi mereka telah belajar sesuatu yang berguna - iaitu jangan main main dalam mencari pekerjaan.
9. Pastikan anda tahu lokasi temuduga dan buat strategi untuk sampai awal
Jika pada waktu untuk bertolak ke tempat temuduga barulah anda terhegeh hegeh menyemak di mana letaknya lokasi temuduga anda, lambat laun anda akan terlambat sampai ke lokasi. Ini adalah satu lagi sikap ambil mudah yang sering kali terbawa bawa oleh calon pekerja. Jika anda tidak berapa pasti tempat tersebut, ambil usaha untuk melawati sekitar tempat tersebut sehari (atau waktu malamnya) sebelum temuduga yang sebenar.
Ramai calon yang beranggapan, jika mereka lewat, itu tidak mengapa asalkan mereka menelefon majikan yang bakal menemuduga mereka. Alangkah silapnya tanggapan ini. Walaupun panggilan anda dijawab dengan suara dan muka yang manis, anda tidak tahu bagaimanakah persepsi penemuduga terhadap anda. Jika penemuduga tadi telah merancang mesyuarat selepas temuduga bersama anda, ini bermakna, mesyuaratnya akan tertangguh. Jika anda memberi masalah ini kepada penemuduga, nahaslah anda.
Jika perancangan anda silap, anda akan lewat. Apabila anda terlewat, fokus anda akan terganggu. Anda akan cepat gementar dan menggelabah. Bila sudah menggelabah, prestasi temuduga anda akan jelas merosot. Anda bakal menemui kegagalan.
10. Bersedia dengan kod pakaian yang sesuai.
Tidak kiralah anda ini jenis punk, rock, hip hop dan sebagainya, bila tiba waktu temuduga, pastikan kod pakaian yang betul! Untuk lelaki, kemeja cerah yang bertali leher, dan seboleh bolehnya memakai kot gelap. Seluar panjang berwarna hitam atau gelap adalah sesuai, diiringi denga kasut kulit berwarna gelap dan dikilatkan. Pemakaian anda akan memberikan impresi pertama (first impression) kepada penemuduga anda, dan dalam first impression, tiada peluang kedua untuk anda, jadi pastikan anda memberi first impression yang baik.
Untuk wanita pula, sesuai memakai executive blouse berwarna gelap.
Selamat berjaya dalam temuduga kerja anda!
Post a Comment