::cik im::
http://aliimranzone.blogspot.com

Mari Mengenal Tangkak

Wednesday, July 22, 2009
Nama Tangkak timbul daripada ‘tang merangkak'. Peristiwa itu berlaku ketika seorang peneroka, Long Mahmud bersama tujuh saudara yang dikatakan terpaksa merangkak naik ke tebing Sungai Tangkak menuju ke Bukit Tambak di kawasan Seri Makmur. Tebing-tebing sungai di kawasan Tangkak adalah lembut dan jerlus kerana paya ditumbuhi pokok-pokok resam, sendayan, pakis dan rembia. Kerana kebiasaan tabiat merangkak, penduduk setempat menyebut tang Merangkak bagi merujuk kawasan itu. Ungkapan ‘tang' memang biasa digunakan orang Melayu bagi merujuk suatu tempat.


Bandar Tangkak terletak bersempadan dengan Jasin, Melaka dan lebih kurang 45 minit dari bandar Melaka. Dari Kuala Lumpur, Tangkak hanya kira-kira 2 jam perjalanan melalui Lebuhraya Utara-Selatan. Bandar Tangkak hanya kira-kira 3 minit dari susur keluar tol. Pada masa kini, Tangkak dikenali dengan daerah Ledang walaupun dulunya Ledang adalah sebuah daerah yang berasingan. Penjenamaan semula ini diharap mampu menarik lebih banyak pelancong ke daerah yang terkenal dengan pelbagai lokasi menarik ini.


Tempat-Tempat Menarik

Gunung Ledang

Gunung Ledang yang sememangnya terkenal dengan kisah lagendanya terletak kira-kira 20km dari Pekan Sungai Mati. Kisah Puteri Gunung Ledang yang banyak mengungkap kisah-kisah misteri di Gunung yang tertinggi di Johor ini. Para pengunjung boleh menaiki pengangkutan awam ataupun menaiki kenderaan sendiri untuk ke Gunung Ledang. Air dari gunung ini boleh diminum tanpa masak terutamanya dibahagian tapak perkhemahan Gua Kambing dan Kolam Puteri. Pendaki yang memulakan pendakian dari Sagil tidak perlu risau tentang keperluan makan minum, peralatan khemah dan penginapan. Pihak Gunung Ledang Resort telah menyediakan pelbagai kemudahan atau beli sahaja di mana-mana kedai pekan Sagil.

Syurga Kain

Bandar tekstil cukup sinonim dengan Tangkak. Ia bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk Johor malah turut berjaya menarik para pengunjung luar termasuk Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan negeri-negeri lain. Lihat sahaja di sekitar Jalan utama Bandar ini, banyak kedai-kedai menjual kain dan tidak hairanlah jika ada juga yang menggelarnya 'Syurga Kain. Walaupun pelbagai pusat jualan kain mula dibuka di seluruh negara, rangkaian kedai kain di Tangkak mempunyai tarikan tersendiri kerana harganya yang sangat murah dan berpatutan.

Dataran Ledang

Dataran Ledang memainkan peranan hampir sama dengan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur. Walaupun kapasiti penduduk amat berbeza, aktiviti yang dijalankan di Dataran Ledang begitu rancak sekali. Antara program yang pernah dijalankan di sini ialah Sambutan Kemerdekaan Peringkat Negeri Johor, Sambutan Hari Belia Peringkat Negeri Johor, Karnival Rakan Muda Rakan Wajadiri Peringkat Negeri Johor dan banyak lagi. Di sini juga terletaknya Dewan Jubli Emas Sulatn Ibrahim yang pernah menjadi lokasi pelbagai rancangn realiti dan pusat perhimpunan parti politik dan NGO.

Read On 0 comments

Tabarruj dan Batas Menghindarinya

Monday, July 20, 2009

Islam merupakan agama yang sesuai dengan fitrah manusia. Fitrah seorang wanita adalah menjaga kecantikan. Namun, seorang wanita muslimah sepatutnya mempunyai world view yang berbeza dengan wanita kuffar di dalam soal kecantikan ini. Muslimah pandai menjaga diri, mempunyai rasa ‘malu’ dan nilai kehormatan yang tinggi. Berbeza dengan wanita kuffar yang suka berhias secara berlebihan untuk memaparkan perhiasan yang ada pada dirinya agar lelaki tertarik padanya.


Di dalam Islam, isitlah yang digunakan untuk memaparkan sifat berhias secara berlebihan ini dipanggil ’Tabarruj’. Tabarruj bermaksud sengaja membuka atau menampakkan sesuatu yang sepatutnya disembunyikan untuk dilihat oleh mereka yantg tidak sepatutnya. Sesuatu yang sepatutnya disembunyikan merujuk kepada anggota badan (aurat), pergerakan anggota, cara berinteraksi dan berjalan, ataupun perhiasan berunsurkan benda seperti emas, perak dan lain-lain.


Larangan terhadap tabarruj adalah berdasarkan ayat suci al-Quran yang bermaksud:


”Dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu”


(Surah al-Ahzab: 33)


Pada masa kini majoriti muslimah bukan saja melupakan batas tabarruj, bahkan kewajipan menutup aurat juga masih ditahap yang mendukacitakan. Namun, penulis ingin menukilkan saranan Syeikh Yusuf al-Qaradhawi serta justifikasi penulis tentang beberapa perkara yang boleh mengeluarkan muslimah dari batas tabarruj di atas, antara saranan beliau ialah:


1. Ghad al-Basor yang bermaksud menjaga atau menundukkan pandangan.


Perhiasan muslimah yang paling berharga ialah ’malu’ dan bentuk malu yang terpenting ialah menjaga pandangan seperti firman Allah SWT:


” katakanlah kepada wanita-wanita mukmin hendaklah mereka menundukkan (menjaga) pandangan mereka”


Menundukkan pandangan bukan bermakna berjalan atau melakukan sesuatu perkara sambil tunduk, tetapi lebih kepada menjaga pandangan mata, pergerakan badan dan sebagainya agar ianya tidak mengundang sesuatu yabg tidak sepatutnya terhadap mereka.


2. Menjauhi Pergaulan Bebas.


Pergaulan bebas seakan-akan sudah sebati di dalam masyarakat. Bersentuhan antara yang bukan mahram juga sebahagian daripada pergaulan bebas. Walhal Rasulullah SAW pernah bersabda seperti maksud berikut:


Sesunggunya kepala kamu ditusuk dengan jarum besi itu lebih baik daripada dia menyentuh seorang perempuan yang tidak halal baginya”


(Hadis riwayat Thabrani, Baihagi)


3. Pakaian Selaras dengan Tata Cara Islam.


Pakaian yang mengikut tata cara Islam ialah seperti berikut:


a. Menutup keseluruhan anggota badan, kecuali anggota yang zahir daripadanya. (mengikut pendapat rajih maksud illa ma zahara minha itu merujuk kepada muka dan tapak tangan.


b. Tidak nipis dan tidak membentuk tubuh badan.


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:


”Sesungguhnya yang termasuk di dalam golongan ahli neraka itu adalah perempuan yang (zahirnya) berpakaian, tetapi (hakikatnya) bertelanjang yang suka kepada maksiat serta menarik perhatian orang lain untuk melakukan maksiat bersama mereka, mereka ini tidak akan masuk syurga bahkan tidak akan dapat mencium baunya”


(Hadis Riwayat Muslim)


Persoalan ini pada firasat penulis amat difahami oleh muslimah kini, namun aplikasinya agak berat bagi mereka. Mereka cenderung untuk bertudung secara ringkas (tundung 3 segi sambil mengangkat hujung tudung ke atas, menampakkan bahagian dada), berseluar jeans dan sebagainya yang menampakkan bentuk kaki, menyinsing lengan, T-shirt ketat yang berlengan pendek dan bermacam-macam lagi pakaian ’urf fasid’ yang seharusnya disedari akan mendekatkan diri mereka ke arah kebinasaan seperti mafhum hadis di atas.


c. Tidak memakai pakaian menyerupai lelaki.


Maksudnya ialah muslimah dilarang memakai pakaian khusus untuk lelaki kerana terdapat hadis Rasulullah SAW pernah melaknat perempuan yang menyerupai lelaki dan lelaki yang menyerupai perempuan. Begitu juga Rasulullah pernah melarang perempuan memakai pakaian lelaki dan lelaki memakai pakaian perempuan.


d. Bukan pakaian khusus yang dipakai oleh orang-orang kafir.


Contohnya ialah seperti memakai topi Santa Claus yang merupakan syiar Kristian. Sabda Rasulullah yang bermaksud:


” barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah sebahagian daripada mereka”


( Hadis Riwayat Thabrani)


e. Bersahaja dalam tutur kata dan perbuatan, menjauhi alunan suara dan gerakan yang dibuat- buat agar menarik perhatian bukan muhrim.


f. Tidak memakai bau-bauan atau bunyi-bunyian yang boleh menarik perhatian lelaki terhadapnya.

Firman Allah SWT:


” Janganlah perempuan memukulkan kakinya di tanah supaya diketahui apa yang mereka sembunyikan daripada perhiasan mereka”

(Surah al-Nur: 31)


Sabda Rasulullah SAW:


” Perempuan apabila memakai wangi-wangian, kemudian berjalan melalui majlis (lelaki), maka dia begini-iaitu perempaun lacur”


(Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmizi)







Read On 5 comments

UM Utamakan Pengajian Ijazah Lanjutan

Saturday, July 18, 2009
PETALING JAYA: Universiti Malaya (UM) kini menukar tumpuannya terhadap pengajian ijazah lanjutan dengan menambah jumlah tempat kursus dan mengurangkan pengambilan penuntut ijazah pertama.

Naib Canselornya yang baru, Prof Datuk Dr. Ghauth Jasmon berkata langkah itu selaras dengan usaha universiti tersebut meningkatkan rankingnya pada Times Higher Education Supplement dalam masa dua tahun akan datang.

“Kami mahu graduan ijazah lanjutan yang ramai dan lebih baik serta mengurangkan jumlah bilangan penuntut ijazah pertama, agar kami boleh memperbaiki kualiti penyelidikan.

“Tumpuan kini ialah untuk menaikkan segera UM supaya kami boleh dapatkan semula liga ke-200 universiti utama di dunia menjelang dua tahun akan datang, katanya memberitahu Bernama dalam temubual di pejabatnya di sini.

Kedudukan UM telah menurun sejak 2006, apabila ia menduduki tempat ke-169 pada 2005 dan turun ke tangga 192 pada 2006. Ia menduduki tempat ke245 tahun lepas dan meningkatkan semula ke tempat 230 pada tahun ini.

Dalam tempoh sebulan selepas pelantikan beliau pada 10 Nov, Prof Ghauth sudah ada perancangan beliau untuk universiti itu bagi bergerak menyelesaikan masalah tersebut.

Beliau berkata agenda utama ialah untuk menempatkan lebih tumpuan terhadap penyelidikan dan produktiviti pembangunan.

“Saya sedang melakukan bagi menarik graduan kelas pertama kepujian ke dalam sistem itu, datang berkhidmat dan membuat penyelidikan dan memperbaiki kualiti keluaran penyelidikan.

“Kami juga mahu lebih ramai membabitkan diri dalam penyelidikan, dan ini akan menjadi Indeks Pencapaian Utama (IPU) untuk mengukur pencapaian akademik mereka,” kata beliau.

Katanya graduan kelas pertama juga ditawarkan biasiswa ijazah lanjutan dengan serta merta.

“Kami perlukan mereka untuk mengukuhkan badan akademik kami, ” kata beliau.

Prof Ghauth berkata beliau juga membawa masuk pakar-pakar ke bidang penting seperti perubatan, kejuruteraan, perniagaan dan ekonomi.

Ditanya mengenai penurunan kualiti graduan yang dikeluarkan berbanding pada masa cemerlangnya, beliau berkata masalah itu bukan berlaku di UM sahaja.

Secara amnya, nampaknya ia menjadi satu masalah pada masa ini, tetapi bukan di UM sahaja, tetapi di seluruh negara.

“Orang ramai mengaitkan masalah ini kebanyakannya terhadap kemahiran berkomunikasi yang tidak memuaskan, tetapi satu cara yang dilakukan UM untuk menangani masalah ini ialah dengan mengajar lebih banyak subjek dalam bahasa Inggeris serta menjalankan kerja kursus dan penugasan dalam bahasa Inggeris,” kata beliau.

Katanya kemampuan untuk berinteraksi dan meyakinkan orang ramai juga menjejaskan peluang mendapatkan pekerjaan di pasaran.

Prof Ghauth berkata ini boleh ditangani dengan kerja kemasyarakatan, yang menyediakan latihan yang baik dalam membina kepimpinan dan kemhiran sosial.

“Sebagai contoh, jika mereka melakukan kerja kemasyarakatan, kami mesti berikan markah untuk ini. Jika mereka buat kerja untuk kampungnya, ia mesti diiktiraf,” kata beliau.

Beliau berkata ini boleh dilakukan dengan memperluaskan pilihan aktiviti kokurikular dan meminta bahagian hal ehwal penuntut agar lebih proaktif dengan idea baru bagi mereka menyertai kegiatan di luar bilik kuliah.

Selain itu, Prof Ghauth berkata graduan juga perlu lebih bersikap keusahawanan dan bukan menunggu pekerjaan datang dengan sendiri setelah mereka menamatkan pengajiannya.

Beliau berkata salah satu cara untuk UM menggalakkan graduannya melakukan itu ialah dengan mengadakan program keusahawanan seperti yang dianjurkan Universiti Multimedia, di mana beliau bertugas sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif selama 11 tahun.

“Mereka boleh mengeluarkan idea perniagaan dengan baik di bawah program ini,” kata beliau.Bagaimanapun, katanya, negara ini masih mengiktiraf kualiti graduan UM.

“Statistik graduan kami yang telah mendapat pekerjaan ialah 97 peratus, tetapi ada keperluan untuk memperbaiki ini, terutamanya dengan menukar tumpuan terhadap pengajian ijazah lanjutan.

“Tetapi saya fikir secara amnya, graduan kami adalah lebih baik daripada banyak lagi institusi pengajian tinggi awam lain,” kata Prof Ghauth.-bernama





Read On 0 comments

Wahai Daie Berhikmahlah dalam Berdakwah

Tuesday, July 14, 2009

"Lain kali pakai baju lengan panjang! Pakai seluar panjang! Jangan pakai macam tu lagi. Faham?! Tu bogel namanya!"

Telinga saya menangkap bicara seorang lelaki. Ketika itu saya sedang melihat-lihat makanan apa yang ada untuk saya mengalas perut tengah hari tadi. Saya menoleh ke belakang, 'Oh, ustaz ni rupanya...Siapa yang ustaz tegur tadi?' Soal hati saya. Mata terus memerhati sekeliling kedai makan. Di satu meja saya lihat seorang anak gadis sedang duduk berseorangan menghadap sepinggan nasi.

Saya lihat air muka anak gadis itu muram, hanya merenung nasi di pinggan yang masih tidak terusik. Segera saya meminta izin untuk duduk di hadapannya sambil senyuman di ukir, ingin sekali kesuraman di wajah itu saya singkir pergi.

Saya pasti gadis inilah yang ditegur ustaz sebentar tadi. Ahli keluarga kami dalam komuniti yang kecil ini. Sekalipun sumbangannya umpama pejuang tanpa nama. Agak lama si gadis termenung, tidak mempedulikan saya yang ada di hadapannya. Tidak mahu membiarkan masa terus berlalu dalam keadaan kami membisu sedemikian rupa, saya membuka bicara.

"Cikgu di sini?" Tanya saya. Soalan yang tidak munasabah kerana mustahil saya tidak dapat membezakan penampilan seorang guru dengan penampilan seorang par. Saya cuma berharap dengan soalan saya itu si gadis terasa dia juga ada potensi umpama seorang guru.

"Pelajar?" Soal saya lagi kerana melihatkan wajahnya yang masih muda remaja.

"Bukan." Jawab si gadis mula mengukir senyuman.

"Saya bekerja di....(terpaksa dirahsiakan)" Si gadis menjelaskan.

"Berapa umur?" Soal saya lagi...

Seterusnya kami mula bersembang dan tahulah saya kenapa si gadis begitu.

Kasihan saya melihat gadis ini, anak sulung dalam keluarga, ibu bapa telah bercerai, ayah yang malas bekerja (pastinya tiada nafkah diberikan buat isteri dan anak-anak), ada kesedihan yang disembunyikan ketika dia bercerita kepada saya perihal keluarganya yang porak-peranda. Lebih kasihan bila golongan seperti gadis ini menerima dakwah yang tidak sepatutnya...seperti mana kata-kata ustaz yang saya dengar sebentar tadi...

Saya mendengar cerita si gadis dengan penuh minat, sedaya mungkin saya cuba menyelami isi hati mad'u di hadapan saya ini. Ibu bapa yang asyik bergaduh, sibuk dengan konflik dan krisis suami isteri, mana mungkin ada masa untuk mendidik anak-anak mengenal Allah. Mereka juga perlukan bimbingan.

Benar, di sekolah sudah di ajar bahawa orang Islam wajib menutup aurat, sudah di ajar berdosa bagi orang Islam yang tidak menutup aurat. Tapi kita jenguklah ke kelas-kelas Pendidikan Islam di sekolah-sekolah, bagaimana para ustaz dan ustazah mendidik anak-anak Islam ini? Mereka terikat dengan masa dan silibus! Isi kandungan buku teks hanya mengenyangkan otak sebelum segala isi itu dimuntahkan dalam kertas-kertas peperiksaan seterusnya dilupakan. Saya sendiri muak dengan silibus yang gersang penghayatan, kontang penerapan keyakinan yang menyebabkan matlamat ilmu dipelajari hanya sesingkat untuk peperiksaan, bukan untuk kehidupan duniawi dan ukhrawi juga bukan untuk mencari redha Allah.

Ustaz dan ustazah tersepit. Bagi yang ada kesedaran untuk memimpin anak-anak ummah memahami Islam seperti mana ia disampaikan oleh Rasulullah s.a.w, sedaya upaya tarbiah diberikan di dalam kelas, nasihat demi nasihat, teguran demi teguran dan analogi demi analogi diberikan supaya anak-anak yang masih mentah ini berfikir yang akhirnya menghasilkan yakin. Yakin bahawa syurga dan neraka itu benar. Yakin bahawa dosa dan pahala itu benar. Yakin yang menatijahkan 'amal. Beramal dengan ilmu yang dipelajari, demi mencari redha Rabbi.

Namun berapa kerat sahaja mereka yang sebegini. Selebihnya, hanya hampas! Ustaz ustazah ibarat buih di lautan. Banyak tapi tidak bermakna, menurut sahaja ke mana ombak terhempas. Sampai ke pantai hancur berkecai...

Saya sangat kasihan dengan gadis di depan saya ini. Mahu saja air mata saya mengalir laju, namun tiada gunanya ia dituruti. Tiada siapa yang faham rasa hati saya tika ini, betapa ia memberontak dengan sistem hidup buatan manusia yang rosak. Gadis di depan saya ini salah satu bukti daripada sekian banyak bukti yang ada. Gadis ini rosak kerana persekitarannya rosak. Persekitaran rosak kerana pemerintah tidak memerintah dengan acuan Islam. Urusan umat Islam diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya. Sistem pendidikan turut dicampuri dengan matlamat politik sesetengah pihak. Inilah bahananya...

Sebelum berlalu, saya tinggalkan gadis ini dengan kata-kata:

"Kalau adik pakai tudung lagi cantik." Sambil tersenyum saya terus berlalu. Moga hikmah ini terkesan di hatinya.

..................................................................

Mengenangkan peristiwa itu, cukup untuk membuatkan saya lama berteleku di atas tikar sejadah. Ingin saya mengubah bangsa, tapi apa kudrat yang saya ada. Berseorangan tidak akan mampu mengubah apa-apa. Ayuh teman seperjuangan, kita rapatkan soff jihad kita, kita bina kekuatan, kita hidupkan jemaah, genggam Islam hingga kita terkorban...ataupun menang.
Allahu Akbar!!!


dari blog Ustazah Maliana : www.sinaransyams.blogspot.com





Read On 4 comments

Bertudung dan Ungkapan Hina Hukum?

Monday, July 13, 2009

“Tak pe ustaz kan, pandangan pertama tak berdosakan, cuma kami pandang lama je la ?” tanya seorang pemuda berumur 35 tahun kepada saya sambil tersenyum-senyum selepas dia merenung wanita berskirt di hadapannya.

Ia adalah satu perkara yang amat menyedihkan, ia sebenarnya hasil dari sikap sebahagian umat Islam hari ini mengambil ringan tentang hukum Islam.

Berkenaan larangan melihat kali kedua kepada aurat ini diriwayat dalam beberapa buah hadith, antaranya hadith : “Dari Jarir bin Abdullah, ia berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah s.a. w. tentang melihat (aurat wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka jawab Nabi: Palingkanlah pandanganmu itu!” (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi) – Iaitu, Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua kalinya.

Demikian juga kata Baginda SAW kepada Ali KW :

Ertinya : “Jangan kamu ikuti satu pandangan dengan pandangan yang lain, kerana yang pertama bagimu ( diampunkan) dan tidak bagi yang kedua” ( Riwayat Ahmad, Abu Daud)

Artis & Lawak Hukum

Lebih teruk lagi terdapat artis Malaysia yang sanggup menggunakan lafaz-lafaz Islam seperti ‘MashaAllah’ dan ‘InshaAllah’ serta ‘Allahu Akbar’ dalam lakonan lawak mereka sambil sengaja disebut dalam bentuk yang melucukan. Ini amat jelas memperlawakkan lafaz mulia Islam, ia amat kerap dilakukan oleh satu kumpulan pelawak Malaysia yang terkenal. Moga mereka diberikan hidayah oleh Allah SWT.

Demikian juga dengan ucapan alhamdulillah bagi seorang artis yang berpakaian separuh bogel dikhalayak umum apabila berjaya meraih sesuatu anugerah di media. Atas nama seni dirasakan tindakannya halal. Pada hakikatnya jika lakonannya itu penuh dengan adegan ‘peluk sana sini’ dan ‘dedah sana sini’, maka di ketika itu ia bukanlah lagi sebuah seni mulia yang diiktiraf Islam. Ia adalah seni ‘fasad’ yang berdosa dan tidak layak diraikan dengan ungkapan mulia Islam.

Ketika itu, kemenangan mereka di atas pentas dan melafazkan ucapan sedemikian adalah satu bentuk mempermainkan hukum dan lafaz Islam di tempat yang tidak sewajarnya. Seolah-olah seorang yang ingin merompak membaca ‘Bismilah’ ketika memulakan rompakannya dan mengucapkan ‘Alhamdulillah’ apabila berjaya terlepas dari kejaran polis, atau menyebut ‘Alhamdulillah’ di dalam tandas, atau seperti seorang peminum arak mengucapkan “alhamdulillah” apabila menyelesaikan minumannya.

Menurut kaedahnya, semua ini menambahkan lagi dosa si pelaku terbabit disebabkan wujud unsur penghinaan samada secara langsung atau tidak langsung kepada hukum serta lafaz mulia Islam. Walaupun mereka tidak langsung berniat untuk menghina lafaz mulia itu.

Apabila ia adalah sebuah hukum atau ucapan zikrullah, maka adalah tidak harus sama sekali sesiapa juga mempermainkan atau menyebutnya di tempat yang tidak sewajarnya. Nabi SAW bersabda :-

Ertinya : ” Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka sejauh antara timur dan barat” ( Riwayat Al-Bukhari dengan Fathul Bari, Bab Hifdz Lisan, 11/376 , no 6477)

Imam Ibn Hajar Al-Asqolani menegaskan bahawa erti hadith ini adalah seorang yang bercakap tanpa jelas maksud ayatnya sehingga menjadikan ia boleh membawa maksud yang pelbagai sehingga sebahagiannya boleh mencarikkan sesuatu hukum. (Fath Al-Bari, 11/376)

Hina Islam, Bertudung & Bermaksiat Lebih Besar Dosa

“Amat memalukan la ustaz, saya baru jumpa satu video yang tunjukkan pasangan melayu ditangkap di tasik-tasik dan tempat awam tengah bercumbuan, apa pandangan ustaz, hampir 95 % darinya bertudung jenis tak sempurna tu ustaz, ustaz tau tak?” tanya seorang pendengar kuliah saya sejurus selepas kuliah saya berkenaan aurat.

Kemudian selang beberapa hari, pemuda ini menghantar email kepada saya beserta satu petikan video yang dimaksudkan. La Hawla Wala Quwwata Illa Billah..wa Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun..memang amat mendukacitakan.

Pemuda itu juga menulis seperti ‘kepeningan’ dan ‘kebingungan’ dengan persekitaran ini dengan katanya

“Boleh tak agaknya saya buat kesimpulan bahawa hampir semua wanita yang bertudung pendek atau fesyen, dengan kain belah atau baju sempit atau baju kurung biasa, semua ni jenis yang ‘murah’ dan boleh diajak seks bebas dengan mudah hari ni, apa pandangan ustaz?” Mengurut dada saya mendengar kesimpulan pemuda berpakaian kemas dan bekerjaya profesional ini. Sudah tentu amat marah para wanita dengan kesimpulan si pemuda ini.

“Saya hanya masih percaya dengan wanita yang berjubah dan bertudung labuh sahaja sekarang ini ustaz, harapnya mereka dapat pertahan maruah dan kesucian mereka serta tak jadi macam si pemakai tudung pendek yang terbukti tiada banyak beza dengan free hair” katanya lagi dengan tegas.

Selepas pemuda ini mengutarakan pendiriannya barulah saya memberikan penjelasan panjang lebar. Bagaimanapun saya belum berhasrat menyebutnya di ruangan ini, cukuplah saya dedahkan betapa kecewanya pemuda profesional ini dengan apa yang berlaku di hadapan matanya.

Kesimpulannya, wahai wanita bertudung kembalikan maruah anda dengan tutupan aurat yang sebenarnya, akhlak wanita Islam yang sebenarnya, janganlah merosakkan imej Islam itu dengan maksiat yang amat dimurkai Allah SWT. Sesungguhnya kenikmatan duniawi amat amat sementara, carilah kenikmatan akhirat yang kekal abadi.

Dari sudut hukum pula, hal wanita bertudung yang melakukan maksiat, dosanya sudah tentu lebih hebat dari wanita yang tidak bertudung yang melakukan maksiat. Hal ini boleh difahami dari ayat seperti :-

Ertinya : Wahai isteri-isteri Nabi, barangsiapa di antaramu yang melakukan maksiat dengan jelas, maka di gandakan azab buatmu dua kali ganda” ( Al-Ahzab : 59 )

Memang benar ayat ini ditujukan khas buat isteri-isteri Nabi SAW disebabkan kemulian dan kedudukan mereka yang sangat mulia, bagaimanapun ayat ini sebenarnya menggariskan bahawa setiap kali bergandanya kemuliaan, maka bergandalah dosanya (jika melakukan maksiat), demikian hukuman ke atas wanita bebas lebih berat dari wanita hamba sahaya di zaman silam. Dikatakan sebabnya adalah kerana bertambahnya mudarat dan penghinaan kepada Nabi SAW (Al-Jami’ Li Ahkam AL-Quran ; AL-Qurtubi, 14/ 114 dengan sedikit pindaan )

Demikian jualah bagi wanita bertudung yang telah menaik tarafkan kedudukannya dengan kemuliaan Islam, tetapi kemudiannya melakukan maksiat. Maka jika bersandarkan kaedah di atas, jelaslah dosa mereka bertambah besar kerana maksiat itu sendiri dan merosakkan imej Islam secara jelas. Bertaubatlah. Demikian juga halnya maksiat (termasuk pelaburan internet yang disepakati haram secara sepakat ulama dunia dan Malaysia) yang dilakukan oleh seorang ustaz yang jauh lebih besar dosanya dari dosa oleh lelaki biasa di sebabkan imej dan kedudukan yang dibawanya.

Sekian,

Rujuk: http://www.zaharuddin.net/




Read On 2 comments

Minggu Pertama : Menguji Daya Tahan

Friday, July 10, 2009

Cabaran sebagai pelajar peringkat Sarjana sedikit sebanyak dapat dirasai bahangnya. Minggu pertama mengajar saya erti kepentingan persiapan mental sebelum menghadiri sesuatu kelas. Apa yang dimaksudkan pesiapan mental di sini ialah persiapan intelektual, pemikiran, asas yang kukuh dalam topik yang akan dibincangkan oleh pensyarah sebelum kuliah bermula.

Jika tidak, kita akan berasa sangat kerdil bersama-sama dengan pelajar lain yang rata-ratanya mempunyai ilmu yang tinggi berdasarkan latar belakang akademik, profesion serta pengalaman mereka. Mulut akan terkunci rapat, nak berkata sesuatu pun berfikir banyak kali, takut apa yang diperkatakan nanti merendahkan nilai pandangan orang lain terhadap diri. Maklumlah, rakan sekelas ada yang bergelar Ketua Penolong Mufti, Pensyarah, Peguam, Konsultan, Ketua Jabatan, Pegawai Tinggi, Ustaz dan sebagainya yang membuatkan diri berasa 'gerun!'

Namun, inilah cabaran yang harus ditempuhi. Kebanyakan pelajar lain adalah lulusan Timur Tengah termasuk Mesir, Jordan, Syiria disamping pelajar-pelajar Indonesia dan Singapura. Temtu sahaja pengetahuan di dalam bidang agama lebih-lebih lagi bahasa Arab sangat tinggi. Saya dan beberapa rakan-rakan UM lain pada awalnya berasa agak 'rendah diri', namun selepas melihat idea dan hujah yang diguna pakai oleh pelajar-pelajar lain di dalam membicarakan sesuatu isu, kami mulai yakin bahawasanya pengajian peringkat Sarjana Muda di Universiti Malaya yang kami lalui dulu ada kelebihannya tersendiri.

Berlalulah sudah seminggu tempoh pengenalan kursus. Minggu-minggu mendatang pasti lebih mencabar. Doakan semoga diri terus diberikan kesabaran, kekuatan dan petunjuk di dalam perjalanan menuntut ilmu Allah ini.
Read On 3 comments

Bidadari...

Sunday, July 05, 2009

Kalau orang bertanya saya tentang “Bidadari” idaman hati untuk berkongsi hidup ini….....


Ketika hilang segala yang nyala

Kau hadir dengan pelita hati

Sungguhmu melangkah kesopanan

Tiada bicara dapat dilafazkan


Pulangku kau sambut dengan senyuman

Pemergianku didoakan kemuliaan

Kau sulam kasih sayang ini dengan kemesraan


Walau kesederhanaan yang mampu ku hulurkan

Kau tadah penuh keredhaan

Limpah syukurmu,ku susun rapi

Sunguh dirimu dapat ku hargai

Sebagai bidadari


Kau permaisuri hati

Kau permata suci


Akan ku tatahkan hatiku dengan sinar iman

Akan ku hiasi jiwamu dengan kewajiban

Tanda mensyukuri anugerah Tuhan

Serta anak yang menjadi penawar


Dirimu anugerah Tuhan

Amanah buat insan beriman

Rusuk kiriku dicantumkan

Agar dapat kita bergandingan

Read On 6 comments

Pendaftaran Selesai..

Friday, July 03, 2009

Alhamdulillah proses pendaftaran untuk pengajian Master berjalan lancar siang tadi. Saya kini sah bergelar pelajar Sarjana Syariah, UM. Suasana hari pendaftaran juah berbeza dengan pendaftaran dgree dulu. Rata-rata pelajar baru yang mendaftar nampak sudah berumur dan mungkin ramai yang sudah berkahwin...

Berita agak baik diterima ialah permohonan untuk mendapat pembiayaan di bawah Pakej Ransangan Ekonomi Kedua telah berjaya. Ini bermakna yuran pendaftaran pagi tadi akan dipulangkan kembali kepada saya. *kepada Abah, sabar-sabarlah ye..nanti dah dapat baru im pulangkan..jangan dok sms hari-hari tanya bila akan dapat...hehe


Sekarang saya cuba menyiapkan proposal disertasi master secepat mungkin untuk memohon biasiswa yang ditawarakan oleh pihak Pascasiswazah, UM. Biasiswa yang agak lumayan itu semestinya menjadi idaman saya untuk membiayai kehidupan seharian di kota metropolitan serba mencabar ini...doakanlah saya berjaya...


*Hari pertama di KL selepas cuti panjang di kampung..terasa kelainan...rindu mak abah...rindu Midon..Nazar...Pak Talib...durian.....





Read On 4 comments

::cik im::

My photo
::ialah anak kelahiran Sandakan,Sabah::menetap di Tangkak,Johor::Syariah (Fiqh dan Usul), Akademi Pengajian Islam,Universiti Malaya::

::cik im di sini::


ShoutMix chat widget

::sahabat cik im::

::saudara cik im::

::pilihan cik im::

::pelawat cik im::