::cik im::
http://aliimranzone.blogspot.com

Wajahnya Muslim, Juadahnya Belum Tahu

Tuesday, June 30, 2009

Setiap orang menanggung dosa masing-masing, tiada sesiapa dibebankan dengan dosa orang lain. Itu adalah prinsip asas yang wujud di dalam Islam berdasarkan firman Allah swt : -

"Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudaratannya kembali kepada dirinya sendiri; dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali, dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang kamu perselisihkan" ( Al-An'am : 164 )

Imam Al-Qurtubi menjelaskan, ketiadaan kaitan ini hanya dari sudut dosa di akhirat, mankala di dunia, orang yang tidak melakukan dosa masih terdedah kepada azab yang dikenakan ke atas pelaku dosa. Ia berdalilkan kepada ayat dari Surah Al-Anfaal : 25 iaitu:

"Dan peliharalah dirimu daripada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di kalanganmu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya"

TERIMA HADIAH DAN TANGGUNGJAWAB

"ustaz, saya ada terima hadiah aiskrim dari seorang rakan, tapi sebab saya baru sampai UK, dan tak tahu apa jenama dan kandungan yang halal, saya hanya bergantung kepada dia, boleh tak ustaz?" soal seorang pelajar di United Kingdom

"Ye la, tak kanlah dia nak bagi saya aiskrim ada babi pulak kan" tambahnya lagi sebelum sempat saya memberikan buah fikiran.

"Jika demikian, enta boleh makan aiskrim itu" jawab saya ringkas.

"Tak perlu baca ingredients ke ustaz?"

"Dah tadi anta kata, tak tahu apa yang halal, begini, kalau reti, bacalah dan buat penilaian ikut ilmu serta keyakinan sendiri, jika tiada mampu bergantung sahaja kepada penilaian rakan yang beri tu"

"Perlu tidak saya tanya dia direct,contohnya saya tanya "ni halal ke"?" katanya meminta penjelasan lanjut.

"Dua-dua boleh, nak tanya boleh, tidak tanya pun boleh juga, yang mesti adalah baca bismillah sebelum makan" saya menerangkan, cadangan itu berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w menerima daging dari seorang yang tidak dapat dipastikan sama ada ia disembelih atau tidak, maka diajar oleh Nabi untuk membaca basmalah.

"Kalau rasa kawan tu betul-betul rapat, sudut budaya dan adab pun ok, boleh ajukan pertanyaan, tapi kalau rasa ia sampai boleh menggugat hubungan persaudaraan, senyap saja dan balik semak sendiri dan buat keputusan, saya sendiri pernah simpan hadiah sekotak aiskrim yang orang bagi, akhirnya kami buang kerana tidak yakin, walaupun yang memberi tu rakan Islam juga" tambah saya lagi

MEMANG KERAP

Memang benar, bukan sesekali malah dalam banyak keadaan, kita tidak mampu untuk sentiasa meneliti dan menyemak segala-galanya, khususnya di dalam hal makanan.

Ketika kita memesan makanan di sebuah restoran milik orang Islam, adakah kita pasti ayam, daging lembu yang digunakan untuk menyiapkan hidangan adalah halal?.

Adakah kita dituntut untuk menyelidiki dan bertanya setiap masa, setiap kali? Bagaimana pula jika semasa memilih makanan di bazaar Ramadhan. Adakah semuanya halal ? atau adakah mencukupi hanya bergantung kepada bangsa atau agama penjual? Jika Islam, adakah secara automatic makanannya juga halal ? Bagaimana pula jika penjual itu berbangsa Melayu, adakah secara automatik dia juga Islam dan makanannya halal ? Begitukah sifirnya?

Jawapan yang ideal namun kurang praktikal adalah :

Semua tidak halal kecuali setelah yakin melalui kajian, semua bahan yang digunakan adalah halal.

Memberi jawapan sedemikian memang mudah, namun pelaksanaannya kurang dimampui. Islam tidak diturunkan untuk menyusahkan, namun begitu sebahagian hukum Islam ada yang dirasai sukar, bertujuan menguji sejauh mana keimanan umat Islam terhadap larangan dan suruhan Allah swt.

Pun begitu, semua arahan dan larangan yang dituntut oleh Islam, masih berada di dalam ruang lingkup kemampuan manusia biasa. Tiada arahan yang tidak dimampui oleh tenaga manusia, sebagai contoh wajib sebulan sekali solat di angkasa, puasa mestilah 48 jam berturut-turut tanpa makan dan minum.

Tiada di dalam Islam tuntutan sedemikian. Firman Allah swt : -

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya."

( Al-Baqarah : 286 )

Atas alasan ini, jawapan kepada pelbagai persoalan di atas adalah :-

Semua penjual Islam WAJIB bertanggungjawab menjual barang yang halal sahaja. Oleh itu,

  • Jika dijual ayam : Wajib dipastikan diambil ayam tersebut dari pembekal yang diyakini melaksanakan proses sembelihan yang sempurna.
  • Jika buka restoran : wajib dipastikan ayam, daging dan lain-lain bahan mentah yang dibeli adalah halal, dari pembekal yang halal.
  • Jika buka gerai : wajib bertanggungjawab di hadapan Allah swt akan semua hidangan atau juadah yang dijual. Semuanya menggunakan bahan yang halal dan diadun tanpa sebarang kandungan haram seperti arak dan sepertinya.
  • Jika beri hadiah : Wajib bertanggungjawab bahawa hadiah makanan yang diberi, adalah makanan yang halal, telah dipastikan melalui ilmu, ia tidak mengandungi kandungan haram.
  • Jika buat kenduri, rumah terbuka, jamuan : Wajib bertanggungjawab memastikan semua juadah adalah dari bahan halal, jika caterer yang menyediakan, wajib tuan rumah memastikan caterer bertanggungjawab ke atas perkara tersebut.

Semua pemberi hadiah, penjual makanan dan minuman, penjemput ke majlis dan pembekal memastikan bahan yang mereka sedia dan beri adalah HALAL. Tanggungjawab HALAL tergantung di atas bahu mereka, tiada cop halal JAKIM bagi sepinggan mee mamak, semangkuk mee bandung dan tom yom, secucuk satay dan ayam percik. HALALnya bergantung kepada si penjual dan mereka yang menghidang (jika kenduri).

Saya fikir amat PENTING untuk diingatkan para penjual, pemberi, penjemput, penjamu dan sebagainya berkenaan tanggungjawab mereka ini. Kerana umat Islam sememangnya tidak mampu untuk bertanya dan menyelidiki setiap satu hal di atas.

Saya sebenarnya merasa sedikit bimbang, apabila umat Islam pada ketikanya kelihatan bergantung sepenuhnya kepada bangsa. Jika restoran dilihat dilayan oleh Melayu, tanpa ragu dan bimbang lagi, diyakini semua hidangannya adalah halal. Sebenarnya, ramai Melayu dan Mamak yang bukan lagi Islam, ramai juga peniaga Melayu dan Mamak yang tersangat ambil mudah bab halal, sehingga ada kemungkinan mereka ingin menjimatkan kos dengan membeli ayam bangkai (tidak sembelih yang lebih murah) untuk restorannya, untuk kedai ayam perciknya, untuk jualan di kedai sataynya dan sebagainya.

Maka tulisan ini ingin mengingatkan mereka bahawa TANGGUNGJAWAB di hadapan Allah swt kelak adalah di bahu mereka semata-mata.

Saya masih ingat, beberapa orang ahli Majlis Penasihat Syariah berbangsa Arab di sebuah bank Islam, ketika menghadiri mesyuarat Syariah di Malaysia, mereka menyangka semua makanan di Malaysia adalah halal, disebabkan Malaysia terkenal sebagai sebuah Negara umat Islam. Sehingga mereka tidak sedar, begitu banyak kedai Cina bukan Islam yang menghidangkan makanan haram. Disebabkan tidak tahunya itu, mereka kenyang di kedai Cina. Entah halal atau tidak ...tidalah diketahui.

PROGRAM ISLAM DI HOTEL, MAKANANNYA?

Satu lagi trend masakini adalah menganjurkan program di hotel-hotel besar lima bintang. Syarikat swasta dan tidak terkecuali sektor awam kerajaan kerap menganjutkan program besar di hotel sebegini. Bayangkan satu persidangan ulama Fiqh sedunia dibuat di hotel lima bintang di Putrajaya. Yang hadir adalah kumpulan ulama terhebat di seluruh dunia, apabila tiba waktu makan, mereka semua makan tanpa banyak soal. Semua bersangka baik ia adalah halal, sedangkan berapa banyakkah hotel lima bintang di Malaysia yang mendapat sijil iktiraf makan dan dapurnya bersih serta halal?!

Saya tidak mendakwa ia haram, Cuma ingin menarik perhatian semua bahawa TANGUNGJAWAB memastikan halal adalah penganjur. Mereka menanggungnya di dunia dan akhirat.

PERSIDANGAN KEWANGAN ISLAM DI LONDON PROMOSI ARAK?

Baru-baru ini satu persidangan besar 8th Annual Islamic Finance Summit, dianjurkan di London. Bayangkan di dalam buku kertas kerja, dengan bangganya pihak penganjur memaklumkan dimana letaknya bar-bar yang boleh dikunjungi oleh para peserta. Pelikkan!

Memang ada hujah, kononnya kerana ramai juga peserta yang bukan Islam. Namun ia hujah yang karut lagi salah.

Ada pula yang berkata, "Dah penganjurnya pun bukan syarikat milik Islam, ia hanya sebuah syarikat latihan yang popular dunia, dan diketahui ia bukan milik umat Islam"

Ye, saya faham, ia memang bukan milik Islam, tetapi amat buta syarikat ini sehingga di dalam sebuah konferen kewangan Islam sedunia, di samping pemakluman bertulis tempat solat, borang itu ini, tempat makan dan lain-lain, dengan tidak pekanya mereka memasukkan sekali maklumat berkaitan bar serta restauran jualan arak.

PERSIDANGAN LAIN?

Demikian, sebegitu banyak persidangan berkaitan Kewangan dan Perbankan Islam dianjurkan. Memang sudah menjadi lumrah, ilmu perbankan dan kewangan Islam adalah satu jenis ilmu yang eksklusif sehinggakan persidangan mereka juga amat mahal yurannya dan bertempat di hotel lima bintang.

Sekali lagi diingatkan, penganjur bertanggungjawab memastikan makanan pagi, tengahari dan petang di persidangan itu adalah halal. Para peserta TIDAK AKAN MAMPU BERTANYA, malah sebahagian memang tidak MAHU BERTANYA kerana dijangka akan lebih menyusahkan mereka.

Kita sepatutnya bimbang, akan wujudnya persidangan dan seminar berkaitan hal ehwal dan ilmu Islam, tetapi makanan yang dihidang adalah ayam tidak sembelih, daging bangkai lembu, manisan berperisa arak dan sebagainya. Justeru itu, penganjur perlu lebih peka dan membuat demand serta meletak syarat kepada pihak hotel untuk memastikan semua bahan untuk persiapan makanan adalah HALAL.

Jika tidak, mereka akan bertanggung jawab atas segala dosa makanan haram yang disuap oleh peserta, seluruhnya..

"Eh..bukankah kita tak tanggung dosa orang lain?" soal seorang rakan setelah mendengar penjelasan saya di atas.

"benar, itu jika tiada kaitan, namun mengabaikan tanggungjawab, punyai kaitan, sama seperti seorang bapa mengabaikan nafqah isteri dan pelajaran agama anaknya, bukankah dia berdosa, malah menanggung dosa atas segala sikap buruk dan kejahilan anaknya?" Jelas saya.

Itulah yang disebutkan oleh nabi s.a.w :

Ertinya : "Setiap kamu adalah penjaga dan bertanggungjawab atas perkara yang di bawah jagaan dan tanggungjawabnya" ( Riwayat Al-Bukhari)

Sampaikan ingatan ini kepada seramai mungkin peniaga dan penjual. Ingatkan kepada pemberi hadiah, penjemput kenduri, pengusaha kantin dan caterer bahawa mereka mempunyai TANGGUNGJWAB yang besar. Bukan sekadar kira-kira untung rugi di buku log akaun mereka sahaja yang mesti diambil kira, tetapi KIRA-KIRA DOSA di akhirat lebih wajar dan lebih penting untuk difikirkan.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

30 Jun 2009





Read On 0 comments

Selamat Datang 'Galatico'!

Tuesday, June 30, 2009

‘Galaticos’ merupakan istilah yang digunakan untuk menggambarkan kehebatan pemain-pemain bola sepak hebat di dalam kelab bola sepak Real Madrid. ‘Galaticos’ bermaksud orang dari planet asing merupakan satu sanjungan peminat tehadap reputasi pemain-pemain bertaraf ‘bintang’ pada beberapa musim yang lepas apabila pasukan ini dibarisi oleh pemain-pemain handalan dunia seperti Zinadene Zidane, Luis Figo, Ronaldo, David Beckham, Raul, Roberto Carlos dan sebagainya.


Setelah projek pertama tersebut ‘gagal’, kini sekali lagi Real Madrid dikatakan cuba mencipta pasukan ‘galaticos’ yang kedua apabila sudah mengesahkan (setakat ini) 2 orang pemain terbaik di muka bumi iaitu Kaka dari Brazil dan Cristiano Ronaldo dari Portugal. Kontrak yang bernilai ratuan juta Euro melibatkan dua orang pemain itu merupakan sejarah baru bagi dunia bola sepak.


Semalam Kaka sudah diperkenalkan dihadapan lebih 30 ribu peminat yang hadir menyambut beliau di stadium kebanggaan, Santiagao Bernabeu. Saya yang mengikuti acara tersebut secara langsung di laman web rasmi kelab turut terasa teruja dan tidak sabar untuk menuggu hasil gandingan Kaka dan Ronaldo.


Setiap anak muda yang meminati dunia bola sepak Eropah pasti ada sebuah pasukan yang diminati. Biar apapun cakap-cakap orang tentang ’galaticos’ Real Madrid, reputasi selaku 9 kali juara Eropah patut diimbas untuk menggambarkan pasukan Real Madrid adalah pasukan bola sepak paling cemerlang dalam dunia kelab-kelab bola sepak Eropah untuk wajar digeruni. Selamat datang wahai Kaka, ahlan wasahlan ya Ronaldo!!..;-) ;-p


*Kaka pakai no.8 yang dulunya digunakan oleh Fernando Gago, tak pasti nape xjadi pakai no.5 yang menjadi kebangaan Zidane.


*tulisan ini saja nak bagi penyokong kelab lain panas..hehe



Read On 7 comments

Debar Menunggu Semester Baru Pengajian

Sunday, June 28, 2009
gambar baru amik (saja nak tayang)

Lebih kurang seminggu lagi tempoh ‘cuti’ saya akan tamat. InsyaAllah pada 6.7.2009 semester baru pengajian akan dimulakan. Semester baru ini pasti mendebarkan saya kerana ianya merupakan tingkat pengajian baru yang bakal menguji ketahanan mental serta usaha saya me’master’kan diri di dalam pengajian syariah ini.


Persiapan teknikal giat diusahakan sekarang. Esok saya akan selesaikan yuran pendaftaran serta medical check up. Alhamdulillah untuk pengajian semester baru nanti saya banyak menerima sponsor pakaian. Kesempatan ini bak jugakla ucapkan ribuan terima kasih kepada hamba Allah yang sangat baik hati itu... :) Selain persiapan teknikal, persiapan mental juga saya usahakan dengan mengulang kaji sedikit sebanyak pelajaran-pelajaran peringkat yang lepas serta berusaha memantapkan pengusaan bahasa.


Kelas silat, junior jabatan, budak rumah baru, disertasi, yuran, biasiswa, assigment, presentation, english, arab, bla bla bla...................................semuanya mendebarkan.........sekadar luahan...





Read On 7 comments

Protes Rosmah di UM: 2 ditangkap, 3 masih dijejaki bantu siasatan

Saturday, June 27, 2009

Kuala Lumpur 26 Jun 05:45 p.m│Media hari ini menerima pemkembangan terkini berkenaan isu protes tulisan ‘Altantuya, C4, puaka, pembunuh’ yang ditujukan kepada Wanita Pertama Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor di Universiti Malaya tempoh hari. Menurut sumber polis, setakat ini seramai 2 orang individu telah ditahan manakala 3 lagi masih dicari bagi membantu siasatan.

“2 individu yang ditahan tersebut ialah Mohd Izzudin Hilmi dan Mohd Sharuddin, masing-masing berusia 21 tahun,”ujar pegawai polis yang tidak mahu namanya disiarkan.

Mohd Izzzudin Hilmi telah ditahan polis pada pagi Rabu lalu oleh pihak polis cawangan Brickfield berikutan dilihat berlegar-legar di sekitar akademi tersebut pada awal pagi hari kejadian. Kemudian, Mohd Sharuddin pula ditahan di kediamannya di Lembah Pantai. Kedua-dua suspek ditahan bagi membantu siasatan tersebut.

Media walaubagaimana pun gagal mendapatkan penjelasan mengenai individu yang masih lagi dicari polis.

Dalam pada itu, media cuba menghubungi Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Profesor Dr. Ahmad Hidayat Buang dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar universiti tersebut, Datuk Prof. Madya Dr. Azarae Hj. Idris bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan isu yang membabitkan imej universiti terhadap tokoh tersebut, namun menemui kegagalan.

Setakat ini siasatan masih lagi diteruskan.

Terdahulu, Universiti Malaya gempar apabila tulisan tanda protes terhadap tokoh tersebut ditulis di Akademi Pengajian Islam. Rosmah Mansor yang datang bagi merasmikan Majlis Peramian ‘Gaza Di Bela’ anjuran badan antarabangsa, Power of 10 Sen walaubagaimanapun dipercayai tidak menyedari kejadian tersebut.

Wanita Pertama Malaysia tersebut sebelum ini telah digembar-gemburkan di internet melalui laman video YouTube menggunakan perkhidmatan bomoh dan pawang bagi menguasai kabinet kerajaan Malaysia, dan tingkah-laku suami beliau Dato’ Seri Najib Tun Razak khasnya.-um-today

Read On 0 comments

Senario...................

Thursday, June 18, 2009

berat mata memandang, berat lagi burger yang dipikul


spongebob squarepant


tunai nazar...


bravo kapcai!!


tinggal kenangan...sama tapi x serupa...


budi bahasa budaya kita...

rezeki ada di mana-mana


cnfirm jenis x segar!


nak juah pun agak-agakla beb....

biar papa asalkan bergaya...haha...hidup pengguin jadian!




Read On 3 comments

Allah Selamatkanlah..

Tuesday, June 16, 2009

Krisis peringkat dalaman sebuah gerakan Islam terbesar di Malaysia sudah tidak mampu disorokkan atau tidak diendahkan lagi. Keadaan semasa menunjukkan ianya begitu serius sehingga ke peringkat saranan meninggalkan saf perjuangan. Bagi saya krisis ini berlaku kerana peranan syura dipinggirkan. Muktamar tahunan baru-baru ini walaupun memenangkan golongan perpaduan namun masih kabur mengetengahkan pendirian rajih tentang isu kerajaan perpaduan.


Akhirnya kita dhidangkan dengan berita yang menyakitkan telinga tentang pertembungan ’dahsyat’ saf kepimpinan. Ahli menjadi menjadi berbelah bahagi, penyokong menjadi keliru, masyarakat menjadi tidak keruan tetapi musuh senyum bertepuk tangan. Apapun, harapan saya semua pihak terlibat kembali mengamalkan saranan agama iaitu melalui syura untuk mencari penyelesaian. Firman Allah s.w.t:


”Dan (bagi) orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan mesyuarat diantara mereka”

(surah al-Syura : 38)


Mari kita panjatkan doa agar Allah selamatkan pergerakan Islam ini dari sebarang tipu daya musuh dan perpecahan.





Read On 3 comments

Tidak Wajib Berwudhu' Selepas Mandi Janabah

Tuesday, June 16, 2009

Ibnu Abdil Barr berkata:

“Orang yang mandi junub, apabila tidak berwudhu’, namun jika dia telah membasahi seluruh tubuhnya, maka ia telah melaksanakan wudhu’, berdasarkan firman Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Firman Allah s.w.t: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat … … Jika kamu berjunub, maka mandilah.” (Surah al-Ma’idah, 5: 6)

(Allah hanya memerintahkan supaya mandi. Tidak pula berwudhu’). Ini adalah ijma’, tidak ada perbezaan di antara ulama. Namun mereka juga sepakat akan sunnah berwudhu’ sebelum mandi, kerana berdasarkan (mencontohi) perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Salam. Selain itu, berwudhu’ lebih mempermudahkan mandi dan menjadikan mandi lebih tersa nikmatnya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala menjadikan mandi sebagai mengakhiri larangan solat.

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub, melainkan sekadar berlalu saja, hingga kamu mandi.” (Surah an-Nisaa’, 4: 43)

Apabila seseorang telah mandi, maka ia tidak dilarang untuk melakukan solat. Selain itu, mandi dan wudhu’ adalah dua ibadah yang sejenis, maka yang kecil masuk ke dalam yang besar. Sebagaimana Umrah masuk ke dalam Haji.

Dipetik dari: Ibnu Qudamah, al-Mughni, jil. 1, m/s. 366-367.





Read On 0 comments

Rumahku Syurgaku..

Tuesday, June 16, 2009




Konsep ‘Rumahku Syurgaku’ bukan bermakna ukurannya besar kecil atau mewah miskin sesebuah rumah itu. Bahkan konsep ini meliputi 2 aspek iaitu dari segi kondisi rumah itu sendiri sebagai sebuah tempat yang selamat, aman, tenang dan mendamaikan hati.


Selain itu, aspek terpenting yang dinilai ialah sejauh mana ahli rumah memainkan peranan masing-masing mengikut lunas yang ditunjuk ajar dalam agama. Dengan campuran 2 aspek tadi secara inklusif akan dapat menghasilkan keluarga bahagia yang menjadi idaman setiap orang khususnya orang yang beriman. Mari kita hayati lirik lagu Rumahku Syurgaku di bawah:


Suami perlukan belaian dari isteri yang penyayang
Yang dapat melayani dan menghiburkannya
Serta pandai mengurus rumah tangga
Itulah harapan suami

Isteri juga sangat mengharapkan suami yang penyayang
Bertanggungjawab dan berhikmah dalam mendidik
Anak-anak akan bahagia dan tenang
Apabila ibubapanya berkasih sayang
Bertanggungjawab mengasuh dan mendidik

Ibubapa bahagia kalau anak-anaknya
Menyayangi mentaati dan memuliakan mereka
Rasa kasih murni antara suami isteri boleh rosak
Jika masing-masing tidak berakhlak

Cinta murni antara anak-anak dengan ibubapanya
Diikat kuat oleh cinta tabii
Yang semulajadi akan punah
Jika tidak disuburkan

Cinta suci akan subur
Apabila ada iman dan akhlak yang mulia
Iman dan akhlak mulialah menjadi penyebab
Membentuk keluarga yang bahagia
Dan berkasih sayang...
Sehingga lahirlah
Masyarakat
Penyayang dan negara makmur

Hasil daripada keistimewaan
Kasih sayang dalam rumah tangga





Read On 10 comments

Dr. Fathi Yakan Alami Pelbagai Tribulasi yang Mematangkan Perjuangannya

Monday, June 15, 2009

Latar Belakang Kehidupan Dan Pendidikan

Sosok pejuang ini adalah nama besar yang telah melestarikan dunia Isiam dengan menghasilkan puluhan buku dakwah yang telah mencerahkan langit kebangkitan Islam daripada salah faham terhadap agama ini. Beliau adalah rakan baik gerakan Islam negara ini dan telah beberapa kali hadir dalam majlis muktamar dan juga gerakan Islam. Buku-buku beliau telah ditatap oleh jutaan pembaca di seluruh belahan dunia Islam dan telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa.

Pengaliran pengaruh Ikhwanul Muslimin kepada anak-anak muda termasuk aktivis kampus terutamanya adalah kerana sentuhan tulisan beliau yang sangat cerdas dan mengasyikkan peminat dunia dakwah dan harakah. Dr. Fathi Yakan telah dilahirkan pada 9 Februari I Syabat (kiraan bulanan kuno di negara Lubnan) 1933 di Tripoli Lubnan. Beliau berkahwin dengan Puan Dr. Mona Haddad Yakan dan dikurniakan 5 orang cahaya mata (4 perempuan dan 1 lelaki). Telah berjaya memperolehi PhD di dalam bidang pengajian Islam dan bahasa Arab, walaupun pada peringkat B.A dan M.A beliau belajar bidang kejuruteraan. Pergulatannya secara langsung dalam medan jamaah dan dakwah telah memberikan cahaya akal yang bergemerlapan yang diluncurkan dalam tulisan-tulisan beliau.

Beliau merupakan antara tokoh gerakan Islam di Lubnan dan di dunia Islam bahkan beliau merupakan antara pelopor yang mengasaskan gerakan Islam di Lubnan bersama-sama dengan lebih kurang 50 orang saudaranya yang lain sejurus selepas mereka menziarahi Dr. Mustafa As-Siba’ie Rahimahullahu di Syria.

Beliau telah menyumbang tenaga dalam mempelopori fikrah gerakan Islam di dalam dunia Arab dan beliau juga telah menyebarkan risalah-risalah dan tulisan-tulisan yang berbentuk manhaj dakwah, fikrah amal Islami ke dunia Arab dan Islam sebagai panduan generasi-generasi kebangkitan Islam dan kebanyakan daripada tulisan-tulisan beliau telah diterjemahkan dalam banyak bahasa serta diterbitkan oleh pelbagai penerbitan. Antara tulisannya yang terkenal adalah (Apakah ertinya saya menganut agama Islam), (Masalah yang berkaitan dengan Dakwah dan Pendakwah) dan banyak lagi.

Dr Fathi Yakan tidak melihat Islam dalam konteks teoritis semata-mata tetapi berjaya seorang daie mestilah hadir ditengahtengah medan masyarakat, berpartisipasi dengan penuh iltizam, beliau juga pernah memenangi kerusi pada Pilihanraya Lubnan pada tahun 1992. Beliau juga pernah menyertai Perhimpunan Islam Antarabangsa (International Islamic Conference).

Dr. Fathi -Yakan pernah menimbulkan kontroversi berkaitan penglibatan gerakan Islam dalam pilihanraya. Walaupun satu ketika dahulu beliau tidak bersetuju menyertai pilihanraya, kerana ia merupakan perkara baharu yang tidak pernah berlaku di zaman baginda Raslullah SAW tetapi setelah sering gagal untuk menyatakan Islam kepada para pemerintah, beliau akhirnya akur bahawa pilihanraya adalah satu-satunya wadah penting yang dapat menguasai negara dengan Islam jika menang tanpa sebarang pertumpahan darah berlaku. Malangnya ada teman-teman daripada gerakan Islam yang turut menolak partisipasi dalam pilihanraya termasuk di Malaysia, sebahagian yang lain mulai sedar mengapa perlu menyertai pilihanraya sebagaimana yang telab diputuskan oleh ulama bagi menduduki pos strategik bagi membolehkan Islam dijadikan panduan bernegara.

Lubnan Bukan Negara Arab Yang Membela Islam

Yang menjadi masalah di Lubnan adalah kerana menurut perjanjian Taif ialah pembahagian kuasa secara adil antara golongan-golongan yang terlibat. Oleh itu, Presiden Lubnan mesti merupakan seorang beragama Kristian Maronite, Perdana Menteri adalah dan kalangan seorang pengikur Sunah, dan Speaker Parlimen adalah daripada seorang pengikut Syiah.

Kepelbagaian pegangan agama dan mazhab, menyukarkan perkembangan Islam di Lubnan, kerana orang Islam sentiasa dicengkam dan dipandang serong oleh mereka yang beragama Kristian, khususnya merintah, ditambah pula ketidak sepakatan antara pengikut Sunni dan Syi’ah dalam banyak perkara khususnya yang melibatkan soal akidah dan pendekatan dakwah di Lubnan.

Sebenarnya Lubnan bukanlah negara subur untuk rnenerin seruan dakwah kepada Islam, tidak seperti negara-negara Arab lain yang berjiran dengannya, in kerana pegangan agama pihak berkuasa menjadi jurang yang membezakan antara mereka dengan rakyat yang menganut pelbagai pegangan aliran pemikiran lain seperti kumpulan Druze dan lain-lain yang boleh dianggap sebagai penghalang.

Kesungguhan Dr Fathi Yakan dalam mengaplikasikan Islam sebagai agama yang mesti didaulat, beliau telah menulis buku di atas ‘Apakah ertinya saya menganut Islam?’, dengan kupasan yang cukup mudah difahami bertujuan untuk menyedarkan khususnya rakyat Lubnan beragama Islam untuk kembali berpegang kepada Islam.

Pengalaman bersama al-marhum Dr Mustafa as-Siba’ie yang merupakan pengasas Gerakan Ikhwan Muslimun Syria, telah mematangkan beliau untuk menerapkan pendekatan Ikhwan di Lubnan. Tulisan dan penglibatan beliau bersama gerakan Islam dianggap mengancam kedudukan pihak berkuasa hingga beliau dipenjara malah disiksa dengan diseterika seluruh badannya hingga remuk, ada yang berpendapat bahawa umurnya lebih muda daripada tubuh badannya akibat siksaan yang menimpanya.

Kesempatan masa terluang yang ada, beliau menggunakan semaksimum dengan menulis buku-buku ilmiah berhubung dengan dakwah, justeru beliau menukar bidang pengajian daripada kejuteraan kepada pengajian Islam memandangkan keperluan dan kepentingannya untuk mengajak rakyat negaranya untuk berpegang kepada Islam.

Antara golongan yang menjadi sasaran dalam buku-buku dakwahnya ialah para remaja di kalangan pemuda dan pemudi Islam, beliau menyifatkan mereka adalah aset yang amat bernilai bagi menyambung tugas yang pernah disandang oleh para sahabat Rasulullah SAW yang majoriti terdiri daripada golongan remaja. mi disebabkan tenaga, kesungguhan yang mereka miliki mengatasi golongan-golongan yang telah tua. Beliau sekarang begitu aktif dalam menyampaikan ceramah, pembentangan kertas kerja, forum mengenai Islam selagi dijemput untuk bertindak demikian, beliau juga sering diundang oleh PAS untuk menghadiri MuktamarTahunannya, kerana hubungan akrabnya dengan Presiden PAS sekarang iaitu YB Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang.

Beliau boleh disifatkan sebagai tenaga dakwah yang berjaya kerana pandangan-pandangannya yang jelas mengenai manhaj, prinsip, konsep serta pendekatan dakwah pada era globalisasi ini, apatah lagi bukan daripada graduan Pengajian Islam asalnya, namun kecenderungan yang meluap-luap terhadap Islam menyebabkan beliau menukar bidang dakwah menjadi tesis Ph.D nya. Kenapa Pemuda Islam? Beliau seorang pemikir Islam yang sentiasa merangsang anak-anak muda untuk bersama kebangkitan Islam. Fathi Yakan menjiwai peranan pemuda untuk membahterai harakah Islam. Beliau pernah merakamkan dalam tulisannya:

Islam, apabila ia menekankan supaya para pemuda melaksanakan matlamatnya yang menginginkan perubahan, bererti bukanlah diserahkan tugas itu kepada mana-mana generasi sahaja yang tidak mempunyai ciri-ciri tertentu, tetapi terlebih dahulu dimestikan atau dituntut supaya generasi itu mempunyai sifat-sifat Islam dan berpegang teguh dengan prinsip-prinsip Islam iaitu berkehendakkan generasi Islam yang tulen.

Pemuda ialah suatu tenaga yang digunakan oleh Islam untuk membangunkan dan memakmurkan alam tetapi orang lain mempergunakan mereka untuk meruntuhkan umat manusia.

Sesungguhnya masyarakat manusia hari ini penuh sesak dengan pemuda-pemuda tetapi pemuda-pemuda ini hanyalah yang kosong, hanyut dan terbiar; Pemuda yang tiada peribadi, bersikap seperti kera; Pemuda yang tiada mempunyai akhlak, yang lebih dekat dengan binatang; Pemuda yang dijadikan tentera oleh kuasa-kuasa jahat dan zalim, disusun oleh parti-parti kufur dan syaitan; Pemuda pondan yang tiada kebaikan pada mereka; tetapi keberkatan datang bersama pemuda yang tinggi cita-citanya.

al-Fatihah....


Read On 2 comments

Perginya Seorang Pejuang..

Sunday, June 14, 2009
Semoga Allah merahmati roh almarhum Dr. Fathi Yakan , seorang ulama mujahid terbilang di zaman ini yang telah kembali menemui Penciptanya . Beliau banyak menghabiskan usia di medan perjuangan. Pidato dan karyanya sangat membina dan mendidik ummah . Almarhum adalah ulama bertaraf dunia yang mempunyai saham perjuangan yang cukup besar dan luas. Sedih dan pilu menyelubungi anak murid beliau di seluruh dunia. Kembalinya ke rahmatillah, satu kehilangan besar buat perjuangan ini.


Bagi anggota gerakan Islam yang menekuni Amal Tarbawi bersama penglibatan mereka pasti tidak ketinggalan meneladani satu lagi kitab hasil tangan beliau yang cukup terkenal iaitu [ Apa Ertinya Saya Menganut Islam ] ما ذا يعنى إنتمائي للإسلام


Sesungguhnya pemergian beliau menyenangkan hati yahudi dan Israel laknatullah. Aapa yang penting bagi kita ialah meneruskan perjuangan menegakkan Islam agak Islam kembali di puncak seperti yang diimpikan oleh beliau dan kita semua.


* Jenazah al marhum disembahyangkan pada asar hari ahad 21 jamadul akhir 1430 hijrah di Masjid Tinal dan akan dikebumikan di perkubnran keluarga di Babur Raml. al-Fatihah





Read On 3 comments

::cik im::

My photo
::ialah anak kelahiran Sandakan,Sabah::menetap di Tangkak,Johor::Syariah (Fiqh dan Usul), Akademi Pengajian Islam,Universiti Malaya::

::cik im di sini::


ShoutMix chat widget

::sahabat cik im::

::saudara cik im::

::pilihan cik im::

::pelawat cik im::